Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Saturday, July 16, 2011

Linda Onn Mengaku Sedang Bahagia


Penyampai radio Suria FM, Linda Onn mengakui sedang melalui hari-hari bahagia dengan kerja, bisnes termasuk kehidupan peribadinya.

Bagaimanapun, Linda berkata dia belum sedia berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan tersebut kepada umum.

"Apa yang boleh saya katakan sekarang saya sedang bahagia dengan kehidupan yang saya lalui. Saya bahagia dengan kerja, bisnes termasuk kehidupan peribadi.

"Tentang kata-kata cinta yang saya tulis di Twitter juga menggambarkan perasaan yang ingin saya kongsi dengan peminat, namun maksud di sebalik kata-kata itu biarlah saya sahaja yang tahu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Linda diminta mengulas tentang ayat-ayat cinta dalam laman Twitter miliknya yang menggambarkan sedang melalui sebuah hubungan cinta.

Ketika ditanya, kemungkinan bakal mengadakan sebuah majlis besar pada tahun ini, Linda berkata dia tidak mahu membuat sebarang perancangan.

"Saya rasa jika dikatakan tentang sebuah majlis perkahwinan, saya tidak mahu terlalu merancang. Bagaimanapun jika ia berlaku saya akan beritahunya kelak," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, penyampai radio ini juga bakal membuka dua lagi cawangan perniagaan My Mom Chicken Rice iaitu di Johor Baru dan Cheras.

"Alhamdulillah, perniagaan kini semakin berkembang dan bakal membuka dua cawangan lagi iaitu di Johor Baru dan di Cheras.

"Insya-Allah ia bakal dibuka pada selewat-lewatnya selepas raya ini dan saya juga masih lagi menunggu lesen francais," katanya.

Waran Tangkap : Raja Azmi Nyaris Masuk Penjara


Produser filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman pada Khamis, sekali lagi berdepan dengan Hakim Mahkamah Tinggi yang mengeluarkan waran tangkap kepadanya, pada tahun lalu.

Hakim Datuk Lim Yee Lan sekali lagi mengeluarkan waran tangkap terhadap Raja Azmi selepas wanita tersebut gagal menghadiri perbicaraan selaku saksi di mahkamah di sini.

Difahamkan, pelaksanaan waran tangkap tersebut dibuat di rumah penerbit filem '... Dalam Botol' itu di Taman Ukay Perdana, Ulu Klang, Ampang pada pukul 9.45 pagi dan dia dibawa ke mahkamah pada tengah hari Khamis.

Semasa disoal oleh Lim, Raja Azmi mendakwa ketidakhadirannya di mahkamah adalah disebabkan dia berada di hospital sejak empat hari lalu bagi menjalani pembedahan mata.

Selain itu, isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek itu juga mendakwa dia mengalami masalah di bahagian leher.

Lim: Kamu tidak memberikan sebarang dokumen kepada mahkamah?

Raja Azmi: Pada pagi itu, salah satu tulang saya tidak berada di tempat yang betul dan memberikan kesan kepada saraf dan menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.

Wanita itu seterusnya memberitahu, dia juga menghidapi masalah ketumbuhan kecil di salah satu mata dan seorang doktor mata telah memberi cadangan untuk dia menjalani pembedahan mata menyebabkan dia ditahan di hospital.

Apabila sekali lagi ditanya mengenai dokumen yang dapat mengesahkan ceritanya, Raja Azmi menjawab, “seseorang sedang dalam perjalanan ke mahkamah untuk membawanya”.

Dia juga hanya berulang kali memohon maaf apabila Lim menyifatkan dia tidak mempunyai rasa hormat kepada mahkamah apabila tidak menghadiri prosiding sebanyak tiga kali.

Lim: Permohonan maaf kamu tidak cukup. Saya terpaksa menangguhkan kes ini banyak kali kerana kamu tidak hadir. Ini adalah kes yang sudah lama dan kamu merupakan saksi penting kerana kamu telah membuat akuan bersumpah.

Raja Azmi: Saya tidak diberitahu oleh peguam bahawa saya adalah seorang saksi penting.

Lim: Kamu adalah salah seorang defendan yang dinamakan dalam kes ini dan kamu menerima sepina sebagai saksi kepada plaintif. Kamu berada di sini kerana waran tangkap dikeluarkan dan saya tidak boleh membebaskan kamu tanpa jaminan.

Raja Azmi: Saya tahu, tetapi saya tidak mempunyai apa-apa.

Lim: Saya tahu, tetapi kamu telah memberikan banyak alasan. Saya boleh membebaskan kamu dengan ikat jamin supaya saya boleh menyelesaikan kes ini.

Raja Azmi: Saya tidak boleh memberikan jaminan selain daripada jaminan mulut.

Bagaimanapun, Lim tetap dengan keputusannya dan menetapkan agar Raja Azmi menjelaskan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua orang penjamin bagi memastikan kehadirannya pada tarikh akan datang, iaitu 22 Julai ini.

Sebaik sahaja mendengar jumlah tersebut, Raja Azmi dalam nada suara yang agak sebak memberitahu bahawa dia tidak mampu untuk menjelaskan wang jaminan sebanyak itu.

Lim atas budi bicara beliau, menangguhkan prosiding mahkamah untuk sementara waktu bagi membolehkan Raja Azmi mencari wang tersebut.

Difahamkan, Raja Azmi menjelaskan jaminan tersebut pada pukul 4 petang.

Pada 19 Ogos 2010, Raja Azmi bermalam di lokap wanita Balai Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini sebelum dibawa ke hadapan Lim pada 20 Ogos 2010 ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ekoran kegagalannya untuk menghadiri mahkamah.

Semasa itu, Lim memerintahkan Raja Azmi menjelaskan jaminan RM8,000 bagi memastikan kehadirannya.

Kes itu bermula selepas seorang pemaju tanah, Hamzah Abdul Majid memfailkan saman terhadap Raja Azmi dan Jalani berhubung penjualan dua saham tunggal milik syarikat mereka, Equal Alliance Sdn Bhd yang memiliki tanah seluas 35 ekar di Balakong, dekat sini yang dipersetujui pada harga RM4.9 juta.

Perjanjian urus niaga itu ditandatangani pada 21 Mei 1996. Bagaimanapun Hamzah mendakwa dia mendapat tahu pasangan itu telah menandatangani perjanjian untuk menjual hartanah yang sama kepada dua pihak yang lain pada 6 Jun 1996 dengan harga RM5.9 juta.

Dua pihak tersebut ialah syarikat pemaju hartanah, LBS Bina Holdings Sdn Bhd dan salah seorang pengarah syarikat tersebut, Joey Lim @ Lim Hock Guan.

Justeru itu, Hamzah yang mempunyai pertalian jauh dengan Raja Azmi melalui ikatan perkahwinan memfailkan saman kali pertama pada 10 Disember 1998 di mana Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2001, Datuk Kang Hwee Gee memutuskan bahawa perjanjian dengan Hamzah adalah berkuat kuasa.

Kang juga memerintahkan pasangan itu untuk membayar ganti rugi kepada Hamzah kerana melanggar perjanjian sekiranya hartanah itu diperoleh oleh LBS Bina Holdings.

Hamzah seterusnya memfailkan satu lagi saman menamakan pasangan itu, Equal Alliance, LBS Holdings dan Joey kerana mendakwa semua mereka telah secara salah sama ada sendiri atau bersama untuk melakukan penipuan terhadapnya bagi menghalang dia mendapat hartanah tersebut.

Kes itu dibicarakan kali pertama pada 26 April 2010.

Farah (AF2) Selamat Bernikah Dengan Usahawan


Dengan sekali lafaz, penyanyi Farah Diana Anuar, 26, (Farah AF2)sah bergelar isteri kepada usahawan Johan Johari, 26, di atas kapal Cruise Tasik, di sini, Jumaat.

Pasangan ini dinikahkan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohd Datuk Sheikh Abd Aziz berwalikan bapa Farah, Anuar Ali dengan mas kahwin RM2,500 dan wang hantaran RM25,185 sempena hari lahir Farah.

Turut sama menyaksikan majlis tersebut adalah ibu Farah, Farizah Majid, ibu Johan, Salmah Sulaiman dan keluarga serta saudara-mara kedua-dua belah pihak.

Farah menerima tujuh hantaran seperti cincin, gelang, iPad, minyak wangi, beg tangan manakala Johan mendapat sembilan hantaran seperti cincin, kek, sirih junjung, jam, tali pinggang, kemeja dan manisan.

Farah dan Johan sengaja memilih untuk bernikah di atas kapal untuk mencari kelainan berbanding pasangan lain yang lebih memilih untuk bernikah di masjid atau rumah.

"Saya dan Johan begitu teruja apabila mendengar idea daripada kawan kami, Afiq untuk melangsungkan majlis nikah ini di atas kapal kerana sebelum ini saya pernah juga bercita-cita untuk berkahwin atas kapal..

"Lagipun sebelum ini saya selalu menaiki bot ketika melakukan penggambaran program ‘Rasa Halal Orient’. Jadi, impian saya tercapai jua pada hari ini," kata Farah yang cantik menyarungkan busana moden berwarna putih rekaan Zery Zamry.

Sebelum ini Farah banyak berahsia tentang hubungannya dengan Johan namun dia bersedia menceritakan semuanya di hari pernikahannya.

Kata Farah, dia dan suami mula berjumpa pada tahun 2005 pada sebuah majlis di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Di pendekkan cerita, Farah mula terpikat dengan senyuman Johan apabila mereka selalu berselisih di Hotel Equatorial di situ yang biasanya menjadi lokasi percutian Farah dan keluarga, tambahan pula kawan Johan merupakan penganjur acara itu.

"Saya rasa seperti jatuh cinta pandang pertama dengan Johan dan mula teringatkan dia selepas pulang dari acara itu.

"Suatu malam, saya nampak dia berbual dengan abah di kedai makan. Selepas itu, saya menyamar menghubungi Johan menerusi telefon setelah mencuri nombor telefon daripada abah," cerita Farah.

Selang lebih sebulan menyamar, penyanyi lagu ‘Antara Dua’ itu menceritakan mengenai identitinya dan mereka mula berkawan sehinggalah bercinta empat bulan selepas itu.

"Pada tahun 2008, Johan melamar saya dan kami mengikat tali pertunangan pada tahun lepas.

"Saya tak sangka hubungan kami berkekalan hingga ke jinjang pelamin sedangkan pada mulanya saya tidak percaya dengan cinta jarak jauh setelah mendengar pengalaman orang lain.

"Namun hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya apabila mendapati dia sangat sabar dan lebih menyayangi diri saya seadanya. Walaupun pernah sekali saya mendiamkan diri selama enam bulan, dia tetap setia menghubungi dan menghantar SMS kepada saya," ujar pengacara ‘Ustazah Pilihan’ ini.

Sementara Johan pula tertarik dengan sikap Farah yang menghormati dan pandai mengambil hati keluarganya serta mendengar kata.

"Saya tidak terlalu mengenali Farah sebelum ini walaupun dia sudah bergelar artis. Selepas mengenalinya baru saya menonton Farah di televisyen.

"Selepas ini, saya tiada halangan untuk membenarkan Farah meneruskan karier seninya. Dia akan mengikut tinggal bersama-sama saya di Pulau Pinang dan apabila mempunyai komitmen kerja baru dia akan berulang-alik ke Kuala Lumpur," ujar Johan.

Sebagai kejutan kepada suami, Farah turut mengumumkan percutian bulan madunya ke Maldives sebelum bulan Ramadan ini.

Majlis resepsi perkahwinan sebelah pengantin perempuan akan berlangsung pada Sabtu di Pullman, di sini manakala sebelah pihak lelaki pada 24 Julai di Pulau Pinang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...