Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Monday, November 29, 2010

Amy 'gegar' Temasek

PADA mulanya mahu menggunakan nama Amy Search dalam poster konsert solonya di Singapura, tetapi selepas melihat sambutan peminat dan betapa hebatnya dia disanjung di republik itu, terbukti Amy sahaja sudah kuat untuk menarik penonton menyaksikan persembahannya. Ternyata Amy atau Amy Search bukan isu besar. Yang pasti, Amy menggoncang Temasek ketika vokalis Search itu beraksi di Dewan Konsert, Esplanade, Singapura, baru-baru ini.

Menjadi sebahagian daripada aksi Pesta Raya 2010 anjuran Panggung Esplanade, Amy menerima jemputan mempamerkan aksi solonya dengan terbuka. Persiapan bermula kira-kira sebulan dari tarikh konsert iaitu 23 Oktober. Semasa pertemuan pra-produksi bersama Rasamusic sebagai penerbit konsert, Amy meluahkan keinginan melanjutkan kesinambungan persembahan ala muzikal yang dilakukannya di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Mac lalu.
Persembahan berskala besar bertajuk Suatu Masa itu mendapat pelbagai komentar dari wartawan dan peminat. Kata Amy, konsert muzikal dan drama arahan Fauziah Datuk Ahmad Daud itu membuka ruang baru bagi ekspresi seninya. Oleh kerana halangan logistik dan kekangan kewangan, persembahan di Esplanade lebih ringkas tetapi tetap menerapkan inti pati arah baru Amy, iaitu lebih berbau kerohanian.

Amy juga terbuka dengan keputusan Mohd Rafi sebagai pengarah muzik sepanjang konsert solonya itu. Semua pemuzik yang dipilih Mohd Rafi terdiri daripada pemuzik profesional dan band jazz etniknya yang bernama Suhu. Rafi yang berpengalaman luas ialah pengarah muzik konsert Suatu Masa di Istana Budaya.

Enam pemain string jemputan, manakala dua gitaris hebat iaitu Aznan Alias atau Nan dari Malaysia dan Paul Danial dari Singapura menjadikan melodi konsert ini lebih menarik dengan petikan penuh estetika mereka.


Kira-kira 10 minit sebelum konsert dimulakan, peminat sudah memenuhi hampir semua 1,400 tempat duduk di Dewan Konsert, Esplanade. Difahamkan tiket ini sudah habis dijual kira-kira seminggu sebelum konsert ini diadakan.
Pengurusan Esplanade pula cekap dan teliti menjalankan tugas. Segala-galanya mengikut masa dan buku! Pemuzik yang sudah berada di belakang pentas melawan resah sendiri, dalam menggalas tugas menjadi tulang belakang Amy malam itu.

Amy juga nampak resah. Bersendirian di ruang gelap belakang pentas apabila pemuzik mengambil tempat. Sekali-sekala dia mengintip dari tabir. Masa gembira dan ketawa dengan rakan-rakan pemuzik sudah tamat, kini tiba masa memberikan jiwanya untuk peminat!

Tepat 8 malam, bermula dengan pengumuman nama Amy. Penonton sudah riuh memanggil namanya. Dewan terbesar di Esplanade ini jadi gemuruh dengan tepukan.
Sebagai pembuka bicara, monolog melankolik Amy yang dirakam di Kuala Lumpur, yang mempamerkan curahan rasa dan gejolak hatinya mengenai rindu pada Tuhan memenuhi ruang dewan dan lantas disambut prelude perlahan: sentuhan lembut ensembel string dan bunyi klasik organ daripada Firdaus dan rakannya Rozario Rasul.

Tiba-tiba, pentas bergetar apabila gitar Nan menjerit diikuti hentakan dram daripada Pa'e dan mainan perkusi Pa'ang. (Lupakan sebentar nama unik mereka). Suasana gempita lagu Pelesit Kota membuatkan dewan lebih gemuruh dan apabila Amy muncul dari kiri pentas, persembahan sebenar bermula...

Segmen pertama menyaksikan lagu Kongkang dan Kepala Sotong dimainkan secara medley, menyambung kepada Aku Dah Bosan. Selepas itu lagu Saat Ku Idamkan meredakan sedikit suasana, tetapi kerancakan diteruskan dengan lagu Kerja Gila, manakala Gita Rama Sita, lagu yang dijana mainan gitar mengangkat semangat estetika tinggi. Lagu Gadis Misteri membuatkan penonton menjerit dan menyanyi bersama, selain lagu Gadisku.

Amy yang teruja melihat semangat penonton, berbual apabila ada ruang masa. Bercerita mengenai pengalamannya bersekolah rendah di Singapura dan betapa amat gembira beraksi di tempat dia membesar. Segmen ini memuatkan dua lagu balada iaitu Rozana dan semestinya Isabella yang menjadi fenomena dalam kebangkitan Search dan Amy di seluruh dunia Melayu sebelah sini.

Sekali lagi, monolog Amy bertajuk Warkah kepada Tuhan berkumandang. Kali ini lebih dihayati, mungkin adrenalin sudah surut, lebih-lebih lagi disambut satu lagi lagu balada nyanyian asal Mayang Sari iaitu Tiada Lagi. Dia membawakan lagu ini dengan sepenuh jiwa, yang hanya dengan iringan bunyi piano. Seterusnya lagu Kalimah Cinta dibawa, diikuti Jangan Musnahkan dan Kepadamu Kekasih.

Selepas monolog penutup, semua pemuzik memberikan ruang untuk Rafi memainkan gitar akustik dan memulakan lagu cukup manis dan hebat, Fantasia Bulan Madu membuatkan suasana dewan senyap sunyi. Dengan penjiwaan tinggi Amy dan petikan bersih klasikal dari Rafi, lagu ini dibawa ke satu tahap lain di konsert ini.

Lagu Fantasia Bulan Madu ini mempunyai nyawa baru. Versi asal lagu ini dimainkan pada pertengahan lagu, terus membuai perasaan penonton apabila mereka bangun, menyanyi bersama dan menuju ke pentas untuk bersalaman dengan ikon rock ini.

Amy yang tersenyum puas, melambai kepada penonton yang jauh di dewan yang mempunyai empat tingkat tempat duduk. Dia menghilangkan diri sebentar ke belakang pentas manakala pemuzik pengiring terus membawakan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur. Rafi sebagai maestro mengawal suasana pentas dengan penuh ekspresi dan bersungguh-sungguh.

Amy muncul semula membawakan lagu terakhir ini dengan vokal bertenaga dan penuh makna iaitu Mentari Merah Di ufuk Timur untuk menutup persembahan tanpa rehat yang memakan masa dua jam enam minit ini.

Keseluruhannya, aksi Amy di Esplanade, Singapura dianggap sebagai persembahan cukup hidup, kerana penyerahan jiwa sepenuhnya dari setiap unit pemuzik undangan serta corak lagu yang lebih 'adventure'. Ia tidak kedengaran seperti dalam album rakaman kerana dibawakan lebih eksperimental dan berani. Laungan vokal Amy dalam lagu rancak memang keras tetapi penjiwaan terhadap lagu-lagu balada amat luar biasa sekali interpretasi dan luahannya.

google: Amy Search facebook, Amy Search twitter, foto terbaru Amy Search, skandal terbaru Amy Search, Amy Search biodata

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...