Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Wednesday, March 2, 2011

Anuar Zain Rela Dicium Peminat


Penyanyi terkenal Anuar Zain, 41, yang bakal mengadakan persembahan Amazingly Anuar Zain April's Affair sempena Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 6 April depan, rela diperlakukan apa sahaja oleh peminatnya sekalipun aksi tersebut kurang disenangi segelintir pihak.

Menjawab pertanyaan berhubung reaksi peminat yang teruja sehingga sanggup memeluk, mencium dirinya pada acara yang serupa tahun lalu, Anuar berkata, perkara itu sebaliknya telah disensasikan daripada realiti sebenar.

"Memang benar peminat menyerbu, memeluk dan melakukan macam-macam apabila saya menghampiri mereka dalam persembahan tetapi perkara itu lebih disensasikan daripada kenyataan yang sebenar.

"Sebagai penyanyi, mereka (peminat) adalah keutamaan saya. Saya rela diperlakukan dengan apa juga reaksi spontan mereka," jawabnya sambil menguntumkan senyuman.

Tambah penyanyi yang kini popular dengan lagu Sedetik Lebih itu, dia tiada sebarang masalah dengan keterujaan mereka walaupun ke tahap melakukan aksi yang dianggap keterlaluan oleh segelintir pihak.

"Bukan saya mahu galakkan atau sokong peminat bertindak memeluk dan melakukan aksi yang mungkin dianggap keterlaluan, cuma ia berlaku secara spontan dan tidak boleh dielakkan.

"Acara begini hanya berlangsung setahun sekali dan sememangnya untuk meraikan para peminat daripada golongan setiausaha, jadi biarlah.

"Saya rela dan tidak kisah pun selagi tindakan itu masih boleh dikawal, tidak mengganggu persembahan dan tidak melanggar batas," katanya yang dijangka menyampaikan sepuluh buah lagu dalam majlis itu.

Bertemakan Taman Romantik, majlis makan tengah hari pada 6 April depan itu bakal diacarakan oleh pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad bermula 12 tengah hari hingga 3 petang.

Dalam majlis itu peminat diminta untuk berpakaian mengikut tema warna iaitu putih, merah jambu atau lavender (ungu muda).

Peminat yang mengenakan pakaian terbaik berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik termasuklah lima set rantai mutiara berjumlah RM25,000 sumbangan Rafflesia, pakej penginapan di PNB Darby Park dan percutian ke Paris, Perancis.

Bayaran bagi menyaksikan minggu setiausaha anjuran PNB Darby Park ini dikenakan di antara RM450++ hingga RM550++ bagi setiap orang. Untuk tempahan dan keterangan lanjut, hubungi 03-7490 3443/3496/3579 atau layari www.pnbdarbypark.com.

Ramai Masih Ragu Keupayaan Dira Ganti Fara Fauzana


Pelakon Dira Abu Zahar mengakui ramai yang masih ragu dengan keupayaannya untuk mengendalikan program hiburan popular Melodi menggantikan Fara Fauzana, April depan.

Menurut Dira, dia mengetahui tanggungjawabnya terlalu besar untuk memenuhi harapan penonton selain mengekalkan rating program berkenaan.

“Saya tahu ramai yang masih meragui keupayaan saya untuk mengacarakan rancangan tersebut, saya tidak salahkan mereka kerana saya tahu mereka terlalu sayangkan Melodi.

“Mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa saya bermula sebagai seorang pengacara sebelum menjadi pelakon,” ujar Dira yang pernah mengacarakan rancangan Jom Ronda pada tahun 2008 lalu.

Biarpun mengakui dirinya tidak sehebat pengacara Fara Fauzana, Dira menganggap tanggungjawab yang bakal digalas itu sebagai satu cabaran besar baginya.

“Saya tidak boleh menjanjikan yang terlalu hebat seperti pengacara sebelum ini, tapi saya pastikan saya akan buat yang terbaik.

“Saya akan buat apa yang saya mampu dan jadi diri sendiri. Pihak produksi juga ada memberitahu agar saya mengacarakannya dalam keadaan yang selesa,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Dira, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkara ini ketika disoal media sebelum ini, tetapi hanya mengetahui mengenainya seminggu sebelum diumumkan melalui kenyataan akhbar tersebut.

“Ketika saya dijemput sebagai pengacara jemputan beberapa kali saya ada bertanya kepada produksi tentang itu, tapi mereka tidak buat keputusan dan tidak beritahu apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Dira yang baru melangsungkan pertunangan pada Februari lalu dengan seorang Pengarah Fotografi, Helmi Mohd. Yusof mengakui kehidupannya kini bahagia.

“Saya ambil keputusan untuk bertunang dengannya kerana saya rasa selamat dan selesa ketika bersama lelaki itu.

“Dia menyokong kerjaya saya dalam bidang seni. Saya rasa hubungan ini sangat kuat biarpun baru sahaja rapat dengannya sejak tiga bulan lalu.

“Mungkin ini yang sudah tertulis. Untuk majlis pernikahan, insya-Allah saya akan beritahu kelak,” ujarnya yang masih merahsiakan tarikh tersebut.

Tambah Dira, apa yang penting hubungan percintaan mereka kini direstui oleh kedua-dua belah keluarga serta anaknya iaitu Tengku Anggun Deandra Tengku Tengku Shafiz-Rullah, yang berusia dua tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Astro Batal Hasrat Lantik Ahmad Dhani Pengetua AF9


Pihak Astro dikatakan sudah membuat keputusan untuk tidak melantik penyanyi dari Indonesia, Ahmad Dhani sebagai pengetua rancangan Akademi Fantasia ke sembilan (AF9) seperti yang dihebohkan sebelum ini.

Sumber memberitahu, keputusan itu dibuat selepas ia mendapat bantahan ramai selain imej penyanyi itu yang dikatakan tidak bersesuaian kerana kelantangannya mengkritik agama Islam.

“Disahkan, Ahmad Dhani bukan pengetua AF9,” kata sumber tersebut.

Terbaru, Ahmad Dhani dilaporkan mengasari dua wartawan termasuk jurukamera sebuah stesen televisyen di Jakarta.

Laporan akhbar menyebut Dhani dan lima rakannya dipercayai menghalang tugas wartawan berkenaan dengan melakukan penganiayaan serta merosakkan kamera mereka.

Kejadian itu berlaku ketika wartawan tersebut sedang merakamkan visual persekitaran rumah penyanyi Mulan Jameela yang juga isteri Dhani bagi mendapatkan pengesahan berita kehamilannya.

Turut difahamkan, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi telah pergi ke Jakarta beberapa minggu lalu untuk membatalkan pelantikan Dhani sebagai Pengetua AF9.

Pada 7 Mac ini, pihak Astro akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan perkembangan terbaru rancangan realiti itu termasuk mengumumkan pengacara rancangan berkenaan yang dikatakan akan turut diterajui semula oleh Aznil Nawawi.

Sunday, February 27, 2011

Siti Sarah Sah Bergelar Isteri Shuib


Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Sarah Raisuddin, 27, kini sah bergelar isteri kepada salah seorang ahli kumpulan Sepah, Shahmira Muhahamad (Shuib), pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di Jeumpa D'Ramo, Bangsar, di sini, Sabtu.

Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 5.45 petang oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nizar Mohd Nadzir, yang juga merupakan Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Sarah kelihatan anggun dengan busana rekaan Hatta Dolmat berwarna salmon peach menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 serta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan berbalas tujuh dulang.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.


Momen bersejarah pasangan mempelai itu disaksikan oleh kira-kira 200 orang tetamu termasuklah ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat mereka.

Ditemui selepas majlis berakhir, Sarah yang kelihatan gembira sebaik selesai akad nikah itu melahirkan rasa syukur kerana hubungan cinta mereka yang terjalin selama enam bulan itu berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.

"Alhamdulillah, segala perancangan berjalan dengan lancar. Sepanjang saya mengenali Shuib, dia seorang yang jujur dan telus.

"Kami seperti mempunyai satu hala tuju yang sama,” tutur Sarah.

Sementara itu, Shuib juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar suami kepada Sarah.


“Saya harap hubungan ini berkekalan hingga akhir hayat. Sarah merupakan wanita pertama yang membuka hati saya untuk lebih serius dalam hubungan.

"Dia seorang yang sangat istimewa dan bukan mudah untuk saya dapatkannya. Pernah sekali saya sanggup berhentikan kereta di tepi lebuh raya semata-mata untuk memberitahu saya cintakan dia.

"Kalau nak tahu dia memang susah nak sebut perkataan sayang atau I Luv U. Sepanjang setahun tiga bulan perkenalan, hampir setahun saya terpaksa menunggu untuk dengar perkataan sayang daripada mulutnya," tutur Shuib sambil mengukir senyuman.

Bercerita tentang percutian bulan madu, Sarah dan Shuib ingin bercuti ke negara Ireland, tetapi masih belum tahu tarikh sesuai untuk ke nagara tersebut.

Beralih kepada soal anak, Sarah tidak menolak untuk mempunyai anak pada bila-bila masa memandangkan suaminya juga sangat menyukai kanak-kanak.

Sementara itu, bagi majlis resepsi pula, pasangan itu masih lagi mencari tarikh sesuai untuk meraikan hari bahagia mereka.


google: siti sarah facebook, gambar nikah siti sarah, gambar kahwin siti sarah, perkahwinan siti sarah, pernikahan siti sarah, majlis perkahwinan siti sarah, majlis resepsi siti sarah, majlis kahwin shuib sepah, shuib sepah kahwin, gambar isteri shuib, video majlis kahwin siti sarah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...