Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Monday, June 20, 2011

Kemelut Pekida-Skop selesai

Kemelut yang melanda Skop Production dan Pekida selesai secara aman dalam satu majlis kesyukuran dan musyawarah yang diadakan di Restoran Haslam, Kuala Lumpur malam tadi.

Datuk Yusof Haslam dalam ucapannya membuat deklerasi bahawa pihaknya tidak pernah berniat mempersendakan pertubuhan itu melalui filem box office arahan anaknya Shamsul, KL Gangster yang menimbulkan rasa tak puas hati pihak Pekida.

"Saya tak ada masalah merendahkan diri menyusun jari sepuluh memohon maaf sekiranya apa yang telah berlaku menyentuh hati pihak Pekida," kata Yusof dalam majlis itu.

Selesai ucapan kedua-dua pihak dalam majlis yang turut terbuka kepada media itu, mereka saling bersalam-salaman tanda tiada sengketa di antara mereka. Malah Yusof juga membuat akujanji membuat penelitian lebih rapi kepada prekuel filem itu yang juga akan diarahkan oleh Shamsul.

Isu itu timbul apabila perkataan Ayahanda, Abang Long dan beberapa gelaran yang digunakan dalam beberapa dialog filem itu yang dirasakan menyentuh sensitiviti pertubuhan Pekida. Gelaran tersebut antara pangkat yang digunakan dalam pertubuhan itu.

"Saya tak tahu sangat pasal gelaran dalam Pekida ini, kalau saya tahu, sayalah orang pertama yang akan menapis dan menghalang ia digunakan dalam filem KL Gangster.

"Saya difahamkan ada juga individu yang terlibat dalam filem itu yang juga ahli Pekida, tapi mereka juga tidak membuat teguran semasa penggambaran filem dijalankan," kata Yusof.

SHAMSUL BERJANJI AKAN LEBIH PEKA ISU SENSITIF.

Sementara itu Shamsul pula turut meminta maaf kepada pihak yang tersinggung dengan filemnya. Dia juga mengakui kurang peka kepada sensitiviti pihak lain semasa mengarah filem itu.

"Kejadian ini memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati terutamanya perkara yang membabitkan isu sensitif. Saya akui saya kurang peka kerana tidak pernah terfikir ia menyentuh hati pihak lain.

"Saya berjanji tak akan guna lagi perkataan yang menyentuh hati mereka. Sebenarnya semasa awal-awal isu ini dibangkitkan, saya sudah bersedia meminta maaf kerana saya bukannya berniat untuk mempersendakan mana-mana pihak.

"Bila bapa saya mengaturkan majlis ini, saya sangat bersyukur sebab kalau kita membuat kenyataan demi kenyataan kepada media, saya takut perkara ini akan jadi lebih rumit," kata pengarah filem yang bakal mencatatkan sejarah kutipan terbanyak industri filem hujung minggu ini.

KL Gangster dijangka mengutip lebih RM12 juta menjelang hujung minggu ini. Sehingga hari ini kutipannya melebihi RM8 juta. Sasaran itu hampir menjadi realiti berdasarkan sambutan semasa yang masih memberangsangkan.

Filem lakonan Shamsul, Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Raja Lawak, Sofi Jikan dan Sheera Iskandar itu mendapat pujian ramai kerana konsep yang dipersembahkan. Walaupun tanpa adegan cinta, filem aksi itu tetap mendapat sambutan.

Ditebak sama ada isu ketidakpuasan hati Pekida antara yang meningkatkan lagi kutipan filemnya, Shamsul segera mengelak kerana tidak mahu kenyataannya disalahanggap.

"Sekarang kami baru menyelesaikan satu masalah, jadi saya tak mahu menyentuh lagi pasalnya kerana tak mahu isu lain pula yang bakal timbul pula," kata Shamsul mengelak daripada memberi jawapan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...