Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Tuesday, October 4, 2011

Norman & Memey Masih Rasa Kekok


TATKALA masuk sahaja ke dewan majlis resepsi pasangan popular Norman Hakim dan Memey Suhaiza di Hotel Crowne Plaza Mutiara Rabu lalu, mata tetamu terus tertumpu ke hiasan dewan yang berkonsepkan warna hitam dan putih ala New York Look itu.

Cantik dan elegan dekorasi hiasannya ditambah pula lantai dewan yang ditabur dengan kelopak bunga ros putih, majlis perkahwinan pasangan mempelai ini tampak mewah.

Memey dan Norman kelihatan anggun dan kacak dengan busana yang ditaja oleh jenama barangan kemas terkemuka, Rafflesia dan Lord’s Taylor.

Dan seperti umum tahu, majlis pasangan merpati dua sejoli ini ditaja sepenuhnya oleh dua jenama popular berkenaan yang berjumlah RM12 juta.

Dalam pada itu, selama seminggu sudah bergelar isteri kepada Norman, Memey berkata dia masih lagi kekok dengan gelaran ‘isteri orang’ selain mula merasakan tanggungjawab besarnya dalam menjaga keharmonian rumah tangga.

“Alhamdulillah, akhirnya kami selamat bergelar suami isteri dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang sudi menaja majlis perkahwinan kami baik di kampung saya, Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan di Crowne Plaza.

“Bagaimanapun, seminggu bergelar isteri, terasa kekok sangat. Biasalah, sebelum ini apabila berdepan dengan keluarga atau keluar bersama, kami tidaklah begitu rapat atau berpegangan tangan.

“Selepas berkahwin, lupa pula yang kami sudah mempunyai ikatan yang sah. Sampaikan saudara mara bertanya, ‘kenapa duduk jauh-jauh? Kan dah kahwin...’

“Alhamdulillah kami masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan fasa baru perhubungan kami ini. Saya harap kami dapat melalui ‘kemanisan’ rumah tangga sehingga ke akhir hayat,” kata Memey.

Tambah Memey, dia juga kini sudah memikirkan menu makanan yang perlu dimasak buat suami tercinta memandangkan Norman seorang yang kuat makan.

Selain itu, pasangan ini juga ingin membina rumah tangganya menjadi lebih sempurna dengan mempunyai seramai empat orang anak.

“Kalau nak diikutkan, kami tidak merancang untuk memiliki anak dalam masa terdekat ini, tetapi rezeki adalah ketentuan Tuhan bukan. Cuma pada masa akan datang kami merancang untuk memperoleh seramai empat orang cahaya mata,” ujar Norman pula.

Kedua-dua mereka sah diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 24 September lalu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...