Memang tidak dapat dinafikan semuanya kerana penangan drama bersiri hebat Nur Kasih yang sebetulnya meledakkan nama Tiz Zaqyah di puncak dalam masa yang singkat.
Namun laluan yang diselusurinya tidak seindah seperti mana yang diharapkannya apabila namanya perlahan-lahan dihimpit kontroversi yang sedikit sebanyak mencalarkan kredibilitinya sebagai seorang pelakon.
Walaupun bukan itu yang dimintanya pada hari pertama dia berikrar untuk bergelar seorang pelakon, namun sebagai seorang artis, Tiz tidak mampu menolak kehendak takdir.
Jika dielak sekalipun tetapi sudah tertulis namanya akan terpalit dengan cerita panas yang sememangnya cukup merimaskan dirinya. Tiz cukup sedar itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang artis popular sepertinya.
Terbaru, nama Tiz sekali lagi hangat diperkatakan apabila dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang anak VVIP dari Terengganu.
Apa yang menguatkan cerita itu apabila ada pihak yang ternampak Tiz dan individu yang dimaksudkan itu menikmati makan malam di sebuah restoran mewah dalam keadaan yang cukup mesra.
Tidak habis cerita itu, timbul pula cerita panas yang cukup mengejutkan apabila Tiz dikatakan tinggal sebumbung dengan pelakon kacak, Remy Ishak.
Saat diajukan persoalan itu kepada Tiz, dia tidak melatah mahupun melenting. Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang sambil membetulkan posisinya di atas kerusi sebelum memulakan bicaranya.
“Saya sebenarnya sedih dan penat apabila tidak pernah sudah kisah yang memburuk-burukkan saya sedangkan saya sendiri tidak tahu dari manakah cerita palsu ini semua timbul.
“Dalam hal seperti ini, saya hanya mampu berkata barangkali ia adalah pelanduk dua serupa. Saya enggan memikirkan lagi cerita-cerita seperti ini kerana tiada faedahnya untuk saya berbuat demikian.
“Disebabkan itu, saya lebih selesa untuk bercerita tentang perihal kerjaya saya berbanding kehidupan peribadi kerana tidak mahu orang akan menjadi muak dan jelik mendengarkannya. Jadi, cukup-cukuplah menjaja cerita yang tidak betul tentang diri saya,” ujarnya tenang namun tegas sewaktu memberikan penjelasannya.
Tiz berkata demikian sewaktu ditemui usai majlis pelancaran drama bersiri Gemilang di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sensasi
menyambung bicara, disebabkan terlalu banyak kisah palsu yang disensasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, pemilik nama penuh Siti Zaqyah Abdul Razak itu lebih selesa untuk mendiamkan diri.
Lebih senang kata Tiz, untuk dia mengambil pendekatan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri daripada terlalu tertekan memikirkan kisah-kisah itu.
“Untuk itu, saya menyibukkan diri saya dengan kerja tanpa perlu mengambil sedikit pun apa yang diperkatakan untuk dimasukkan ke dalam otak saya.
“Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, saya hanya mahu bekerja dan memberikan lakonan yang terbaik tanpa mahu dibayangi dengan cerita yang bukan-bukan.
“Biarlah peminat menerima saya kerana bakat dan lakonan saya. Bukannya kerana kisah sensasi yang tidak pernah berkesudahan,” ujar Tiz berkali-kali.
Mengalih bicara kepada perkembangan kariernya, Tiz benar-benar bersyukur kerana peminat masih lagi mempercayai bakat lakonannya dan menerima maklum balas serta kritikan daripada peminatnya.
Mana tidaknya. Tiz yang merupakan seorang pengguna tegar Twitter merupakan salah seorang artis yang rajin berkomunikasi dengan peminatnya dan mendapat maklum balas secara spontan daripada mereka.
Memilih
jika dilihat kepada portfolio Tiz sebagai seorang aktres, si jelita berusia 22 tahun ini telah membintangi drama dan drama bersiri yang benar-benar berkualiti dan telah meninggalkan impak yang bukan sedikit.
Selain Nur Kasih, drama bersiri Asmaradana dan beberapa telefilem juga telah berjaya melonjakkan nama Tiz sehingga dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun lalu.
Hanya tersenyum, Tiz bersyukur dengan peluang yang diberikannya setakat ini dan kepercayaan setiap penerbit serta pengarah terhadap bakat lakonannya.
Bukan mahu mendabik dada atau menjadi seorang yang bongkak, Tiz memberitahu memang sejak azali dia sudah menjadi seorang yang begitu memilih dalam setiap hasil kerjayanya.
Apa yang dipentingkannya adalah kepuasan dalam berlakon.
Tiz sendiri mengakui, dia seorang yang cukup fokus dalam setiap tawaran yang diterimanya.
Begitu juga dengan skrip dan watak yang ditawarkan.
Tiz memberitahu dia seboleh-bolehnya tidak mahu membawakan watak yang klise sehingga tidak dapat menonjolkan bakat lakonannya yang sebenar.
“Saya tidak boleh berlakon dua hingga tiga projek sekali gus kerana ia akan membuatkan saya tidak fokus dan akan menjejaskan kualiti lakonan saya. Kalau berlakon, biarlah saya komited kepada satu dan kemudiannya baru memilih tawaran yang lain pula.
“Kesan daripada Nur Kasih juga telah membuatkan ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi kepada saya. Ingin saya katakan di sini, saya masih baru sebagai seorang pelakon dan banyak yang perlu saya belajar. Perjalanan saya juga masih terlalu jauh dalam bidang ini.
“Tetapi, saya harus akui banyak yang saya belajar sepanjang bergelar pelakon terutama teknik lakonan daripada pengarah-pengarah.
“Itu membuatkan saya rasa saya mungkin bertuah sebagai seorang pelakon baru,” jelas Tiz yang baru sahaja membintangi drama 7 Lagu bersama Farid Kamil dan Emelda Rosmila yang diarahkan oleh Kabir Bhatia.
No comments:
Post a Comment