''Memang benar, saya memang gerun kalau orang perempuan tolak cinta saya. Tapi kalau dia bagi sikit isyarat, barulah saya rasa selamat untuk teruskan hubungan.
''Sebab saya jenis pemalu kalau bab-bab begini. Saya rasa macam tak terjamin sebab kebanyakan wanita yang 'datang' dalam hidup ini macam-macam ragam,'' katanya menyelak lembaran soal hati lelakinya.
Apa yang lebih menarik tentang lelaki kacak ini apabila kebanyakan wanita yang berani mendekatinya di kalangan remaja belasan tahun dan awal 20-an.
Kumpulan usia sebegini lebih berani menyatakan rasa hati mereka berbanding wanita berusia 30-an, yang gemar mengambil langkah tunggu dan lihat.
Pengalaman Yusry berkawan dengan pelbagai wanita setelah menduda kira-kira lima tahun menguatkan benteng alasannya tatkala gosip mengenai pelakon Maya Karin dibangkitkan.
Sementelah hubungan dengan pelakon muda, Kilafairy, yang merupakan anak penyanyi Rohana Jalil pula dikatakan pilihan kedua selepas Yusry menafikan hubungannya dengan Maya.
''Kedua-dua gosip mengaitkan saya dengan mereka tidak benar. Bersama Maya, saya selesa bercerita tentang masalah peribadi tapi kami hanya berada di sempadan zon persahabatan kawan baik saja, tidak lebih dari itu.
''Begitu juga dengan Kilafairy. Saya cuma bertemu dengan dia semasa dipertemukan dalam satu sesi fotografi sebuah majalah. Lepas itu tak ada apa-apa yang berlaku,'' dedahnya lagi.
Ditanya tentang ciri-ciri wanita idaman Yusry, lelaki ini mengakui tidak punya sebarang personaliti yang spesifik.
''Saya tak kisah wanita itu berambut panjang atau apa-apa sahaja berbentuk fizikal. Cuma yang saya harapkan adalah, wanita itu boleh menerima sifat hakiki saya. Suka kehidupan duduk di rumah, sambil menonton televisyen.
''Sebab saya jenis yang sukar untuk keluar rumah. Memang orang tak percaya dan ada cakap saya tak ada kehidupan. Diajak banyak kali pun tapi saya tetap memilih untuk duduk di rumah saja,'' kata pelakon Magika ini berterus-terang.
Ditanya apakah perkara utama yang bakal dilakukan andai bertemu wanita impiannya satu masa nanti, anak kelahiran Perak ini menyungging senyum.
Jelasnya: ''Saya tak akan mengambil masa yang lama untuk soal jodoh ini. Umur pun dah nak masuk 38 tahun. Kalau dah jumpa yang sesuai di hati, perkara pertama yang saya buat adalah menemukan dia dengan ibu bapa, Abdul Halim Kamal dan Zarina AW Fenner. Kalau nak tahu, setelah saya bercerai, belum lagi ada wanita yang saya bawa pulang ke rumah jumpa ibu bapa termasuk Maya,'' katanya jujur.
Bila ditanya tentang kemungkinan cinta bakal berputik bersama Maya kerana mereka pernah dikaitkan satu ketika dahulu, Yusry menidakkan perkara tersebut.
''Gosip itu sudah berbelas-belas tahun lamanya. Saya bukan yang susah nak buka hati, cuma semua wanita yang pernah berkawan dengan saya tak lama. Ada juga yang pernah melalui proses saringan, tapi malangnya, tak ada jodoh,'' katanya yang mengakui kesunyian dengan ketiadaan suri hati tatkala ini.
Debaran kian terasaTarikh 10 Mac ini paling dinantikan penyanyi lagu Dekat Padamu ini kerana Hikayat Merong Mahawangsa bakal menemui penonton di pawagam. Segala titik peluhnya yang dicurahkan dalam menjayakan filem yang menelan kos RM8 juta bakal menjadi topik perbualan peminat filem epik tempatan.
''Saya cuba letakkan figura-figura sejarah zaman sebelum batu bersurat dalam hujahan yang agak longgar. Tidak ada yang rigid dalam filem ini sebab saya tidak mahu penonton rasa tertipu dengan keseluruhan jalan cerita.
''Sebagai pengarah, saya memang mahu sesuatu yang realistik bersama dengan watak-watak tertentu tetapi anda akan melihat perubahan karektor berkembang satu demi satu,'' hujahnya andai ada pihak yang mengatakan filem ketiganya itu berbau mitos.
Menceritakan pengalamannya mengarah filem di Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur, kata Yusry, ia satu perkara yang memeritkan buat pasukan produksi yang belum cukup kuat arif tentang filem bercorak sejarah.
''Disebabkan ada banyak masalah teknikal, ada kalanya saya mahu tarik diri. Banyak juga dugaan yang saya hadapi termasuk perubahan cuaca tetapi tetap tabahkan hati biarpun tekanannya, hanya Tuhan yang tahu.
''Namun, saya berpuas hati dengan hasilnya. Pengalaman selama bekerja dengan Hikayat Merong Mahawangsa banyak memberi input terutama dalam pengajaran kreatif,'' katanya yang bakal mengarahkan filem genre komedi romantik pada bulan ini.
No comments:
Post a Comment