Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Friday, February 4, 2011

Kutip RM7 Juta, Syamsul Boleh Tidur Lena


Kutipan filem Khurafat – Perjanjian Syaitan yang mencecah RM7 juta sehingga Selasa membuatkan pengarah Syamsul Yusof merancang untuk mengarah filem Khurafat 2 pada tahun ini.

Dengan kejayaan sambutan filem tersebut sejak ditayangkan di pawagam pada 13 Januari lalu, Syamsul sudah dapat menarik nafas lega dan mula lena tidur.

Kutipan filem tersebut telah melepasi kos produksi sebanyak RM1.7 juta.

Selain Syamsul sendiri, Khurafat – Perjanjian Syaitan turut dilakonkan oleh Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Fauziah Nawi, Salina Saibi, Ezendy Aziz dan seniwati Mariani.

Menyentuh tentang filem Khurafat 2, anak kepada penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam itu berkata ia bukanlah sekuel kepada Khurafat – Perjanjian Syaitan.

“Filem tersebut 100 peratus berlainan dan tiada kaitan dengan Khurafat. Saya cuma mengekalkan tajuk Khurafat itu lagi pun perkara khurafat meliputi pelbagai jenis,” katanya yang sedang dalam proses menyiapkan filem terbaru arahannya, Bohsia 2 – Jalan Kembali.

Selepas itu, pada bulan April dia akan mengarah filem komedi pertamanya yang buat pertama kali menggandingkan pelawak Johan dan Zizan (Raja Lawak) dalam sebuah filem.

Berbalik kepada kejayaan Khurafat – Perjanjian Syaitan yang masih ditayangkan di pawagam dalam tempoh dua minggu ini, Syamsul akui gembira dan bersyukur namun bagaimanapun tidak bermakna dia sudah boleh mendabik dada sebagai tanda berpuas hati dengan kerjanya.

“Saya menganggap semua ini seperti suatu kejutan demi kejutan sejak memenangi beberapa anugerah baru-baru ini.

“Semuanya berlaku dengan pantas dan saya seperti tidak percaya dengan kejayaan ini. Lagipun, saya perhatikan penonton lebih menggemari filem komedi berbanding seram sejak akhir-akhir ini.

“Tetapi mungkin penonton sudah bijak berfikir dan memilih filem yang menepati cita rasa dan memberi kepuasan kepada mereka,” ujarnya.

Tambahnya: “Apabila sambutan bagus, ia sekali gus memberikan cabaran kepada saya untuk mengekalkan kejayaan untuk filem seterusnya.

“Saya tidak akan leka dengan kejayaan sebaliknya lebih berhati-hati untuk mengatur langkah selepas ini.”

Malah Syamsul juga tidak menolak kemungkinan dan percaya filem Khurafat – Perjanjian Syaitan mampu diketengahkan ke luar negara seperti Thailand dan negara Asia lain.

Namun segalanya bergantung kepada keputusan bapanya yang bertindak selaku penerbit filem tersebut.

Menduga Syamsul yang didakwa telah berjaya mengatasi kutipan filem arahan bapanya, Sembilu iaitu sebanyak RM6.2 juta, dengan merendah diri dia belum berasa "sudah menang".

“Saya rasa masih belum boleh mengalahkan kejayaan filem ayah saya kerana jika dibandingkan harga tiket dulu dengan sekarang sangat jauh berbeza. Pada waktu filem Sembilu ditayangkan, saya agak tiket dijual pada harga RM5 hingga RM6.

“Jadi, kalau kira jumlah penonton, pasti saya kalah kerana tiket sekarang dijual pada harga RM8 hingga RM11 yang membuatkan mudah untuk saya dapat capai sasaran,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syamsul sedang menantikan kemunculan filem arahannya berjudul KL Gangster di pawagam pada bulan Jun ini dan seterusnya filem Aku Bukan Tomboi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...