Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Wednesday, February 2, 2011

Memey lali dengan kontroversi


SEJAK penceraian aktor Norman Hakim dengan Abby Abadi tiga tahun lalu, diari peribadi pelakon drama , Memey Suhaiza, 23, penuh dengan kontroversi.

Susulan dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan pelakon Norman - Abby, satu-persatu Memey menerima tohmahan termasuk daripada peminat yang menyebelahi dan simpati dengan nasib yang menimpa Abby.

Walaupun kisah itu sudah lama berlalu dan sudah mengikat tali pertunangan dengan Norman Hakim, namun hidup Memey tidak pernah tenteram kerana sering dihujani dengan pelbagai cerita panas.

Terbaru, Abby membuat kenyataan di laman sosial Twitternya yang mengatakan Memey bersama bekas suaminya itu tinggal serumah berdasarkan gadis itu menjawab panggilan telefon anaknya di subuh hari.

Lantas, kenyataan Abby itu kembali memanaskan semula perang yang berlarutan antara mereka sehinggakan tiada lagi tanda-tanda yang menunjukkan mereka akan berdamai.

Bahana kontroversi itu, seperti biasa, Memey sudah menduga telefonnya pasti akan berdering tanpa henti kerana mendapat panggilan daripada pihak media yang ingin mengetahui perkara sebenar.

Ternyata Memey semakin matang berhadapan dengan kemelut dan kontroversi yang melanda dirinya dan dilihat lebih bijak menangani situasi tersebut.

Tindakan matang diperlihatkan oleh Memey apabila sejak kebelakangan ini dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas untuk menjawab isu tersebut. Sebaliknya, komen Norman sahaja yang berjaya diperoleh media.

Jawab Norman, ketika panggilan itu dibuat, mereka sedang bersarapan bersama di sebuah restoran.

Kebetulan, dia berada di tandas ketika itu dan telefon bimbitnya ditinggalkan bersama Memey. Apa salahnya jika tunangnya itu menjawab panggilan tersebut.

Begitulah jawapan yang diberikan Norman dalam usahanya untuk menjernihkan situasi panas mengenai persoalan duduk serumah.

Seperti mana rakan media lain, Hits juga tidak mahu ketinggalan mendapatkan kenyataan daripada Memey.

Berkesempatan berjumpa dengan pelakons tersebut di set penggambaran drama bersiri Bola Cinta di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Peluang itu Hits gunakan untuk menyelami hati dan perasaan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu berhubung kontroversi terkini tersebut.

Makian, cacian biar pun tohmahan, semua itu telah menjadi sebahagian daripada hidup Memey sebaik sahaja dia memilih untuk menceburi bidang lakonan dan bergelar anak seni.

Meskipun bukan sengaja dicari tetapi pengalaman dihina dan dicemuh pasti akan hinggap dan tertulis dalam rentetan perjalanan seni bukan sahaja Memey tetapi mereka yang mahu menjadi artis.

Itulah pengalaman yang dirasakan Memey sejak dia bergelar pelakon lebih lima tahun lalu.

Namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Memey untuk terus mempertaruhkan bakat lakonan yang anugerah Tuhan.

Jelas Memey, segala bentuk kekangan yang wujud selama ini dijadikan pembakar semangatnya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.

“Semua yang berlaku, saya jadikan iktibar demi menjadikan diri ini lebih matang dalam menghadapi hidup yang mendatang.

“Saya sudah pun lali dengan segala kontroversi yang hinggap dalam kehidupan peribadi saya. Rasanya, lebih elok jika saya mendiamkan diri daripada terus membuat kenyataan balas.

“Sekurang-kurangnya, ia tidak akan memanjangkan sebarang isu yang timbul. Itulah pendekatan yang saya gunakan sekarang dan alhamdulillah, ia menjadi.

“Keluarga saya pun faham dengan apa jua situasi yang saya alami. Mereka pun dah lali,” ujar Memey yang membawa watak Fiza dalam drama rantaian tersebut.

Tambah Memey, biarlah perkembangan kariernya yang menjadi perbualan umum, bukannya kisah peribadi sekali pun menyedari privasi sebagai seorang artis menarik perhatian ramai.

Kisah peribadinya, kalau boleh kata Memey, biarlah dia dan keluarganya sahaja yang tahu.

Dalam pada itu, Memey tidak menafikan kunjungannya ke Bandung, Indonesia baru-baru ini bersama Norman dan ahli keluarga yang lain adalah atas urusan persiapan perkahwinan mereka.

Ceritanya, dia ke sana untuk membeli barang-barang perkahwinan yang belum diputuskan lagi tarikhnya.

“Setakat ini, persiapan kami baru mencapai tahap 40 peratus sahaja. Tarikh untuk bernikah pun masih belum ditetapkan lagi.

“Tetapi persiapan sudah dirancang awal. Insya-Allah, ada jodoh kami akan jemput,” katanya dengan harapan topik berkaitan peribadinya itu dapat dinoktahkan dengan segera.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...