Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Wednesday, February 2, 2011

Aznil mahu tubuh akademi


KETIKA isu pemilihan Pengetua Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) menjadi perdebatan hangat, posisi pengacaranya juga tidak kurang hebatnya apabila ia turut menjadi topik perbualan utama bagi peminat setia rancangan realiti popular itu.

Sudah pasti, nama yang paling disebut-sebut dan menduduki carta tertinggi ketika ini adalah pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi yang dikatakan akan kembali mengemudikan AF9 yang merupakan musim terakhir itu.

Pihak Astro sendiri juga sudah memberi gambaran bahawa AF9 bagaikan dengan mudah menjadi milik Aznil untuk kali keenam selepas meninggalkan program itu pada tahun 2007.

Sememangnya khidmat Aznil sebagai pengacara unggul memang cukup diperlukan untuk menggerakkan AF9 dan barangkali kehadiran personaliti popular itu memang cukup dinanti-nantikan.

Sementelah pula AF9 merupakan yang terakhir, jadi, mengapa tidak Aznil menggalas sahaja tanggungjawab itu dan menghidupkan kembali rancangan yang semakin pudar sirnanya.

Ketika ditanya pendapat Aznil tentang kebenaran di sebalik desas-desus itu, jawapan yang diberikan bagaikan mengesahkan kedudukan itu hampir pasti menjadi miliknya.

"Saya mengakui cukup teruja apabila nama saya kembali disebut-sebut sebagai pengacara AF9 di samping beberapa nama lain. Buat masa ini, saya harus katakan memang tiada sebarang tawaran rasmi daripada pihak Astro.

"Apa yang boleh saya katakan di sini, saya tidak akan menolak seandainya peluang itu diberikan kepada saya untuk kali terakhir sebelum AF melabuhkan tirainya.

"Pernah sekali saya diarahkan oleh Astro untuk mengacarakan sebuah program baru iaitu Kring! Kring! hanya dalam tempoh dua minggu sahaja sebelum ia mula bersiaran.

"Jadi, apakah perkara itu akan terjadi sekali lagi untuk AF9? Hanya masa dan takdir yang akan menentukan," ujar Aznil ketika menjawab pertanyaan media berhubung isu tersebut.

Pengacara berusia 48 tahun itu ditemui pada sidang akhbar Konsert Hore! Hore! Bersama Aznil Nawawi yang diadakan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kenangan manis

Menyambung perbualan, duda beranak dua itu memberitahu AF menyimpan terlalu banyak kenangan manis yang amat sukar untuk dilupakan sehingga merobah kehidupannya secara total.

Tambahnya juga, penglibatan sebagai pengacara AF selama lima musim dari tahun 2003 hingga 2007 telah membuka mata ramai pihak akan kredibilitinya sebagai seorang pengacara unggul sehingga peminat membawa namanya ke mercu kejayaan.

"Bermulanya siaran AF pada tahun 2003, itulah juga detik terindah buat saya apabila sejarah manis mula terlakar dalam diari hidup saya sebagai seorang anak seni.

"Mana tidaknya. Kerana AF jugalah, ia telah melayakkan saya dinobatkan sebagai Pengacara TV Lelaki Popular selama tujuh tahun berturut-turut.

"Bukan itu sahaja, selepas meninggalkan AF juga, kerjaya saya berkembang dengan baik dan diberi peluang mengacarakan rancangan-rancangan yang mempunyai konsep yang pelbagai sehingga diiktiraf di peringkat Asia.

"Semuanya ini hanya bermula selepas 13 tahun saya melibatkan diri dalam dunia seni. Jadi, kalau selepas ini, ada pengacara lain yang akan meraih gelaran itu, saya reda dan terima," kata anak jati Kuala Lumpur itu penuh rendah diri.

Bagi Aznil, dia mahu melihat pengacara baru dipilih sebagai pemenang dan memberi laluan kepada mereka untuk merasai nikmat kejayaan seperti mana yang dirasainya dulu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...