Menurut Fauziah atau nama panggilannya, Ibu, kekecewaan itu bermula apabila kehadirannya lebih-lebih lagi dalam bidang teater diterima masyarakat negara luar, tetapi tidak pula di negara sendiri.
"Pada Oktober tahun lalu, saya dipanggil untuk membuat pementasan solo berjudul Cinta Julia, di Esplanade, Singapura dan Alhamdulillah, seminggu sebelum pementasan, tiket sudah habis dijual.
"Waktu itu saya rasa terharu kerana orang luar menerima saya menghiburkan mereka. Berbeza sekali di sini, jika teater tersebut bukan pementasan berskala besar, tempat duduk penonton pasti banyak yang kosong.
"Ketika di Singapura, yang membuatkan saya rasa sebak, apabila wajah saya yang sudah berumur ini terpampang di luar sekitar Esplanade dan beberapa tempat awam.
"Mungkin ada yang akan marah bila saya cakap begini, tetapi itulah hakikatnya, orang luar lebih menghargai kerja-kerja seni kita," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar teater monolog 3 Wajah di restoran Rebung, di sini, Jumaat.
Tambah Fauziah, walaupun teater berskala kecil masih sukar diterima umum, dia tetap akan setia dengan dunia lakonan teater sehingga akhir hayat.
Sementara itu, selepas kejayaan pementasan Cinta Julia di Singapura, Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) membawa siri kedua monolog tersebut dengan judul baru pula iaitu 3 Wajah.
Ia merupakan gabungan tiga naskah monolog hasil karya Iryanda Mulia Ramli iaitu, Tukang Sapu, Hutang dan Pukul yang diadakan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.
Teater yang dipentaskan secara solo oleh Fauziah sendiri itu membawa mesej kemanusiaan dan kehidupan yang kelihatan agak remeh tetapi memberi impak besar dalam perkembangan dan keseimbangan masyarakat masa kini.
"Bukan mudah membawakan monolog kali ini kerana saya berperanan memegang sebanyak tiga watak.
"Lebih mencabar lagi apabila saya perlu menghafal skrip sebanyak 15 muka surat dan ia bukannya satu perkara yang mudah bagi golongan berusia seperti saya.
"Bagaimanapun, saya percaya ia sebuah karya yang menarik untuk ditonton,"ujarnya.
3 Wajah bakal dipentaskan bermula 30 Mac hingga 3 April depan.
Tiket yang berharga RM50 (dewasa) dan RM15 (pelajar) boleh ditempah menerusi talian 012-6170697/012-2429621 atau melalui e-mel, sanggarstefani@gmail.com.
No comments:
Post a Comment