Farah yang bertunang pada Disember lalu dengan ahli perniagaan berasal dari negeri itu dijangka akan menamatkan zaman bujang pada September depan.
“Memandangkan bakal suami saya bekerja di Pulau Pinang, saya akan mengikutnya berpindah ke sana dan akan berulang-alik jika mempunyai urusan kerja serta melawat keluarga di Kuala Lumpur.
“Saya rasa tiada masalah untuk berulang kerana setakat ini saya hanya terikat untuk mengacara program Nasi Lemak Kopi ‘O’ pada setiap Jumaat di TV9.
“Selain itu, saya masih bergelar hos program Rasa Halal yang sedang memaparkan tentang negara Vietnam di Astro Oasis (saluran 106). Selepas ini, mungkin saya akan Korea atau Laos untuk mengikuti penggambaran program tersebut.
“Saya juga ditawarkan mengacara program Sekolah Saya Hebat untuk TV AlHijrah,” kata Farah.
Farah yang baru setahun mengacarakan program bual bicara pada waktu pagi itu akui rezekinya semakin menyerlah dalam bidang pengacaraan.
Malah dia seronok kerana banyak menimba ilmu tentang bagaimana untuk mengendalikan program secara langsung menerusi pengacara senior Aziz Desa.
“Apabila bergelar pengacara, banyak perkara yang saya perlu tahu kerana tugas saya bukan hanya berkomunikasi di depan kamera, tetapi saya perlu banyak membaca dan mengetahui tentang isu semasa bagi mengelakkan daripada berbual kosong.
“Dengan bimbingan Aziz Desa yang sangat berpengalaman bukan sahaja dalam bidang pengacaraan, tetapi juga pernah menjadi pembaca berita televisyen, ia juga sedikit sebanyak membantu saya,” ujarnya yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kedua.
Aziz juga berpendapat Farah merupakan seorang yang bijak berkomunikasi, berbakat, santai dan mudah serasi untuk bergandingan dengannya.
No comments:
Post a Comment