Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Sunday, December 19, 2010

Misteri cinta Juliana & Zizan


MASIH terlalu awal untuk mengisytiharkan dua anak muda ini sepasang kekasih. Bagaimanapun keserasian yang dipamerkan menunjukkan terdapat ikatan istimewa di sebalik hubungan mesra mereka.

Apabila Zizan berjenaka, pasti Juliana menyambut ketawa. Membalas kata dan kemudian disusuli canda-canda yang lain pula. Tidak kurang dari itu, ada pula babak kejar mengejar apabila rasa tidak puas hati menjelma dan mahu pembalasan segera. Alah, cubit-cubit manja sahaja. Sehingga perbuatan mereka menimbulkan tanda tanya.

Apakah sebenar hubungan mereka? Baik Zizan atau Juliana, seolah-olah bersepakat untuk menutup mulut tatkala membicarakan soal hubungan sebenar mereka.

"Sungguh, saya dengan Jue (Juliana) tiada hubungan serius. Sekadar kawan biasa tetapi kami betul-betul rapat. Buat apa kami nak bohong," bicara awal Zizan tatkala soal hati dibangkitkan.

Setakat mana keintiman mereka, pengacara Zizan Show yang bakal ditayangkan tahun depan di saluran Astro ini mengakui bahawa keakraban mereka merangkumi perkongsian masalah dan cerita-cerita harian. Selepas sama-sama berlakon dalam filem Hantu Bonceng, mereka terus menjadi rapat.

Dalam tempoh sebulan, setelah 24 jam bertemu di lokasi, mereka sudah rasi dengan perangai masing-masing. Situasi itu menyebabkan mereka rela memasang telinga, mendengar keluh resah kehidupan di samping memberi pendapat dan semangat. Gambaran kemesraan pasangan pengacara ini turut ditayangkan menerusi rakaman foto profil dalam laman web sosial Twitter dan facebook milik mereka.

Kesannya, ada pihak yang suka dan membenci melihat keakraban tersebut. Ada juga yang memuji kehebatan Zizan yang mampu menawan hati wanita berketurunan Inggeris itu.

"Saya mengakui Juliana memiliki ciri-ciri wanita idaman semua jejaka. Dia cantik dan berpelajaran serta cukup mempersona kalau dilihat menerusi penampilannya. Cukup menggoda sehingga boleh mencairkan iman kaum Adam. Pandangannya cukup mendalam menyebabkan saya kadang-kadang 'goyang' bila tengok dia lama-lama.

"Semua keistimewaan yang ada pada Jue membuatkan saya cukup tertarik kepadanya. Dia sungguh matang dalam melontarkan pandangan walaupun usianya masih muda. Berbanding rakan-rakan seusianya, Jue dilihat lebih berdikari dan bijak mengawal tingkal lakunya. Perkara itu yang menyebabkan saya cukup senang apabila kami keluar bersama," kata Zizan.

Malah tidak keterlaluan buat hero filem Kapoww ini mengidamkan wanita bernama Juliana itu kerana sememangnya dia masih bujang dan tidak ada perempuan istimewa di hatinya. Begitu juga dengan Juliana yang kembali solo selepas kisah cintanya dengan anggota kumpulan Bunkface, Sam berakhir.

"Berada di samping Jue membuatkan saya bertambah yakin menjalani kehidupan. Tambahan kami sekepala dan mempunyai minat yang sama, menyenangkan langkah seiringan. Jue cukup periang, macam tiada masalah. Dia juga suka bagi nasihat kepada saya walaupun dia masih muda. Tetapi yang paling menarik sekarang adalah saya sudah ada tukang ketawa setiap kali membuat lawak," katanya tersenyum makna.

Anak kelahiran Terengganu ini juga tidak kisah seandainya ada pihak yang mempertikaikan kemesraan mereka dengan mengaitkan sebagai publisiti murahan. Dia sememangnya tidak punya kuasa untuk menahan semua tohmahan tersebut kerana ia terpulang kepada telahan masing-masing.

Zizan memberitahu, dia tidak akan membunuh kemesraan yang dibina antara dirinya dengan Juliana kerana chemistry bertambah kuat tatkala menempuh pandangan negatif daripada orang ramai. Filosofi tentang wanita impian lelaki berusia 26 tahun ini cukup mudah iaitu selagi tiada cincin di jari yang mengatakan wanita dimiliki oleh sesiapa, dia bebas untuk berkawan dengannya.

"Sebab itu, saya tidak mahu memaklumkan terlalu awal bahawa kami adalah pasangan kekasih. Sebab saya ada rancangan sendiri. Urusan perkahwinan atau berkaitan dengannya boleh dibicara tatkala usia mencecah 29 atau 31 tahun. Masa itu sudah cukup haul bercerita soal hati. Saya harap semua pihak faham dengan keadaan kami," katanya lagi.

Misi Zizan kini adalah untuk membahagiakan ibu, Anai Ibrahim, 53, dan bapanya, Abdul Razak Hussain, 51. Mahu hantar mereka mengerjakan haji dan melengkapkan keperluan mereka, barulah anak bongsu dari dua beradik ini bersedia untuk menyempurnakan impian diri. Sebagai anak paling rapat dengan ibu, dia mahu urusan masa depannya mendapat restu sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Zizan turut menanam impian untuk menjadi seperti pelakon dan pengarah Afdlin Shauki dan Ahmad Idham yang dilihat cukup berjaya dalam bidang seni. Perasaan semakin melonjak untuk menjadi seperti mereka satu masa nanti.

Dia lelaki baik - Juliana

Bintang filem Hooperz ini mengakui senang berteman rapat dengan Naib Juara pertandingan Juara Lawak musim pertama itu yang cukup mengambil berat tentang dirinya. Dia juga ikhlas dalam setiap bantuan yang dihulurkan tanpa meminta balasan.

"Selama ini, saya cukup skeptikal dengan individu yang bergelar pelawak. Tetapi dengan Zizan, barulah saya tahu bahawa jiwa pelawak itu hidup bukan sahaja di atas pentas, ketika membuat persembahan. Malah turut dirasai ketika berbual biasa.

"Saya turut terhibur setiap kali Zizan membuat lawak. Hilang semua masalah dan dia buat saya selesa bersama. Sikapnya yang sabar juga membuatkan saya hormat dia," katanya tersenyum manja.

Ditanya adakah personaliti Zizan menepati ciri-ciri lelaki idamannya, tiba-tiba sahaja wajah anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini berona merah.

Menarik nafas panjang kemudian barulah pengacara rancangan Era TV di Astro ini menjelaskan bahawa dia sekarang cukup senang dengan istilah 'teman'.

"Bukannya saya mahu mengelak untuk mengaku Zizan adalah kekasih saya, tetapi ia terlalu awal untuk memaklumkannya. Bukan bimbang kalau-kalau saham saya jatuh tetapi saya tidak suka kalau menjadi hipokrit," katanya bersungguh-sungguh.

Diajukan persoalan sama ada wanita berusia 21 tahun ini tidak kisah andai bertemu jodoh di kalangan orang biasa, bukan berwajah pan Asia seperti dirinya, Juliana segera menggeleng kepala.

Katanya, perkara tersebut terlalu sukar untuk dijelaskan kerana dia memang bukan jenis yang terlalu memandang kepada paras rupa sebagai kriteria utama untuk menjadi kekasihnya.

Bagi penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Kolej Sunway ini menyifatkan bahawa tiada syarat spesifik untuk menawan hatinya, asalkan lelaki berkenaan ikhlas dan pandai menjaga hatinya.

google: Zizan facebook, Juliana Evans facebook, zizan dan Juliana Evans bercinta, skandal terbaru Juliana Evans, Juliana Evans artis seksi, skandal terbaru zizan, gosip terbaru zizan, gosip terbaru Juliana Evans

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...