Memiliki pakej lengkap sebagai selebriti, Jue bagaimanapun berpendapat ia sekadar bonus tetapi bukan jaminan untuk mengecap kejayaan dalam karier.
Malah, berulang kali dia menegaskan lebih selesa untuk tidak terlalu menonjol dan cukup hanya dikenali menerusi kerja seni yang diperdagangkan.
“Lahir sebagai gadis kacukan mungkin satu kelebihan dan bonus terutamanya dalam bidang seni. Namun, saya sentiasa berfikiran sebaliknya. Saya tidak pernah fikir kecantikan atau berdarah kacukan adalah satu bonus pun.
“Kelebihan ini bukan alasan untuk berasa selesa dan puas dengan apa yang sudah saya lakukan. Sebaliknya, saya perlu kerja keras dan meningkatkan mutu kerja dari masa ke semasa untuk menjadi lebih baik.
“Senjata untuk bertahan dan terus dihargai dalam bidang ini sebenarnya berbalik kepada perkara asas iaitu bakat dan karisma yang ditampilkan,” ujarnya.
Biarpun kurniaan yang dimilikinya itu menjadi idaman ramai gadis, Jue pula menyifatkan ia bukan satu kelebihan untuk berasa bangga diri atau ‘terbuai’.
“Kejelitaan yang saya miliki hari ini tidak akan berkekalan. Apa yang lebih bermakna dalam hidup adalah keperibadian dan kerja yang kita lakukan.
“Saya tidak pernah anggap kecantikan atau berdarah kacukan sebagai satu kelebihan. Semestinya saya bersyukur tapi ia bukan tiket untuk berbangga sehingga riak atau besar kepala.
“Saya lebih bangga jika orang menghargai kerja dan pencapaian kerjaya berbanding kecantikan saya. Tiada ertinya memiliki kecantikan jika tidak mampu meyakinkan penonton melalui hasil kerja saya,” jelasnya.
Tidak ambil pusing
Benar dan harus diakui, secara luarannya, Jue tidak punya alasan untuk menolak pandangan itu.
Menjadi selebriti yang cantik dan berdarah kacukan pasti menjadi buruan media, menghiasi muka depan majalah mahupun akhbar, popular dan mendapat tawaran kerja yang melimpah-ruah.
Ironinya, senario itu tidak berlaku pada gadis ini. Di sebalik kelebihan itu, Jue sebenarnya seorang selebriti yang tidak ambil pusing terhadap aspek kecantikan mahupun populariti.
Apabila diimbas semula kronologi seninya sejak lima tahun lalu, ada benarnya jawapan gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini. Walaupun memiliki kelebihan itu, dia tidak sewenangnya mengeksploitasi aspek itu demi populariti.
“Saya tidak nafikan populariti itu penting tetapi ia juga boleh membatasi pergerakan kita sebagai manusia. Lebih malang lagi apabila populariti itu boleh mencalarkan maruah dan kerjaya jika tersilap percaturan.
“Sebab itu, saya selesa untuk tidak terlalu menonjol dan hanya dikenali menerusi kerja saja. Saya lebih senang sebegitu kerana tak perlu runsing apabila berada di luar kerana diperhatikan atas nama selebriti,” katanya.
Kumpul duit untuk belajar
Ibarat kata pepatah Melayu ‘sambil menyelam, minum air’, prinsip itu menjadi junjungan pelakon yang sedang menuntut dalam bidang komunikasi massa di Kolej Sunway, Petaling Jaya, Selangor, ini.
Meskipun dia teruja dan gembira dengan pembabitannya dalam bidang seni namun tanpa ragu Jue mengakui arena glamor ini hanyalah persinggahan sementara.
Selagi masih muda dan diperlukan dalam bidang seni, dia akan merebut segala peluang yang terhidang untuk mengumpul wang.
Matlamat Jue adalah untuk menamatkan pengajiannya. Sebelum terbang ke Amerika Syarikat pada Ogos tahun depan bagi melengkapkan pengajian, dia perlu mengumpul wang sebanyak mungkin bagi membiayai pengajian di sana kelak.
“Saya menceburi bidang seni bukan untuk menjadi ‘hamba’ populariti atau kontroversi. Memang saya cintakan bidang ini cuma ia adalah batu loncatan untuk mengumpul duit bagi menampung pengajian.
“Saya tidak pernah terfikir untuk terus kekal dalam bidang ini. Mungkin hari ini saya diperlukan tetapi pada masa akan datang tiada jaminan untuk terus bertahan.
“Seandainya tidak diperlukan lagi pada masa depan, sekurang-kurangnya saya telah melengkapkan diri dengan ilmu dan pengalaman,” katanya yang teringin untuk bergelar pengarah filem atau penulis skrip.
Natrah cabar diri
Berpeluang menggalas watak Natrah dalam drama bersiri tersebut merupakan satu rahmat buat Jue. Bagi pelakon baru dan belum kukuh sepertinya, dia mengakui bersyukur dan berbesar hati dengan tawaran itu.
Biarpun tidak mampu menangkis perbandingan yang diperkatakan terhadap drama itu dengan teater Natrah arahan Erma Fatima, dia mengakui pembabitannya dalam drama bersiri berkenaan mampu membuatkan dia untuk berdiri dengan sendirinya.
“Mungkin kerana teater Natrah dipentaskan ketika drama bersiri ini dihasilkan, maka perbandingan itu hangat diperkatakan. Perkara itu adalah lumrah yang tidak boleh disangkal.
“Namun, sebagai pendukung watak dalam drama bersiri ini, saya berani katakan kedua-dua naskhah ini berbeza dan berdiri dengan sendirinya.
“Kita sudah melihat pendekatan Erma Fatima menerusi teater Natrah yang lebih menyingkap cerita cinta Natrah. Sebaliknya, dalam drama bersiri ini pula, ia lebih menekankan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak,” katanya.
Tambah Jue, pembabitannya dalam drama tersebut bukan saja memberikan pengalaman berbeza, malah turut membentangkan cabaran terbesar buatnya sepanjang bergelar anak seni.
“Watak Natrah cukup istimewa dan merupakan cabaran terbesar sepanjang bergelar pelakon. Pengalamannya cukup luar biasa.
“Menggalas Natrah bukan sekadar berlakon tetapi ia melibatkan pemahaman dan emosi yang mendalam. Sebagai orang baru, masih terlalu banyak aspek lakonan yang perlu dipertingkatkan.
“Saya bekerja keras untuk mengenali karakter ini. Pada masa yang sama, saya juga perlu bijak menterjemahkan lakonan itu agar berkesan.
“Ia bukan tugas mudah tetapi saya gembira di atas peluang yang ditawarkan. Saya harap penampilan dalam drama ini dapat membuka mata umum akan kebolehan saya selain mengukuhkan lagi profil seni,” katanya.
Selain Jue, drama arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin ini turut membariskan Sherie Merlis (sebagai Che Aminah), Natasha Hudson (Adeline Hertog) dan Fikree Bakar (Mansor Adabi).
Drama berdurasi satu jam itu bakal bersiaran sebanyak empat episod menerusi slot Suatu Ketika bermula 2 Januari 2011, setiap Ahad pukul 9 malam menerusi saluran Astro Citra.
google: Juliana Evans facebook, Juliana Evans artis seksi, Juliana Evans artis hot, Juliana Evans bercinta, skandal terkini Juliana Evans, gosip terkini Juliana Evans, gambar terkini Juliana Evans, Juliana Evans wanita idaman
No comments:
Post a Comment