Kata Sam, walaupun secara dasarnya kontrak tersebut ditandatangani untuk tempoh lima tahun, dia masih diberi kelonggaran untuk memperbaharui kontrak tersebut secara tahunan mengikut keselesaan kedua-dua belah pihak.
"Secara rasminya, kontrak pengurusan jadual seni saya bersama MiG Talents berkuatkuasa bermula hujung November lalu untuk tempoh lima tahun.
"Bagaimanapun, David Teo selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu memberikan kelonggaran kepada saya untuk memperbaharui kontrak tersebut secara tahunan.
"Seandainya kedua-dua belah pihak tidak berhadapan sebarang masalah, saya tidak keberatan untuk menyambung kontrak pada tahun kedua. Buat masa ini, ia boleh dianggap sebagai tempoh percubaan dulu tapi saya yakin mereka (MiG) memang profesional dalam pengurusan artis," katanya.
Mengulas lanjut, Sam berkata, keputusan tersebut didorong oleh beberapa faktor. Selain hubungan baik yang terjalin dengan syarikat itu, dia sendiri sememangnya memerlukan pihak pengurusan bagi menyelia jadual kerjanya.
"Saya seorang yang bermasalah apabila membabitkan isu masa. Apabila terlalu banyak tawaran lakonan yang datang serentak, saya mudah keliru dan adakalanya terlupa tentang komitmen yang perlu diberikan keutamaan.
"Bagi melancarkan segala urusan, keputusan untuk berada di bawah sesebuah pengurusan adalah jalan yang terbaik.
"Saya percaya pihak MiG mampu melebarkan profil seni saya pada cabang yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu pada bidang lakonan saja," katanya yang ditemui pada majlis tamat penggambaran filem Songlap di Bangsar, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment