Bagaimanapun, ia tidak berlaku kepada penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Mohd Alias, 26, atau Nana dan bekas suami juga seorang dramatis, Mohd Faizal Yusup.
SAYANG...Nana dan Faizal sama-sama memikul tanggungjawab memelihara Rayyan.
Menariknya, Nana mahupun Faizal sama-sama memikul tanggungjawab menjaga anak tunggal mereka Muhammad Rayyan Nakhaie atau Rayyan dan tetap menjaga hubungan baik yang terjalin antara keluarga kedua-dua belah pihak.
Ditemui di sesi fotografi khas bersama Rap baru-baru ini, Nana memberitahu, ketika mengambil keputusan untuk bercerai cara baik, mereka sudah memutuskan untuk memberi hak penjagaan Rayyan sama rata iaitu 10 hari untuk Faizal dan 18 hari buat Nana.
Pasangan ini berkahwin pada April 2006 dan bercerai Ogos 2009. Punca perceraian tidak diketahui dan kedua-duanya lebih senang tidak mendedahkannya demi menjaga hati banyak pihak. Kata Nana, dia senang apabila hubungan baik antara mereka dapat dikekalkan walaupun Faizal sudah berkahwin lain.
Malah, Faizal mahupun dirinya tidak mempunyai sebarang isu dan apa yang lebih penting bagi mereka adalah Rayyan dapat dibesarkan dalam suasana baik. Perkara seperti ini perlu diberikan penekanan pasangan sudah bercerai bagi membolehkan anak mereka membesar seperti kanak-kanak lain.
“Saya juga berterima kasih pada Faizal kerana tidak keberatan menjaga Rayyan apabila saya sibuk bekerja. Seperti hari ini, apabila saya perlu menjalani sesi fotografi dan kemudian menjalani penggambaran drama selama tiga hari di Johor, dia akan menjaga anak kami.
“Rayyan sebenarnya rapat dengan ayah dan ibunya. Bagi saya sendiri lebih baik begini agar anak tidak renggang dengan Faizal mahupun saya. Rayyan sendiri seorang anak yang bijak. Walaupun usianya baru mencecah dua setengah tahun, tetapi dia sudah pandai mengambil hati kami berdua,” katanya menceritakan keletah anak tunggalnya itu.
Nana juga menegaskan hubungannya dengan keluarga mentua juga baik. Dia juga sering menghantar Rayyan ke sana. Dia tidak pernah berasa kekok apabila berada di rumah Faizal dan mereka melayannya seperti ahli keluarga sendiri.
“Saya dan bekas ibu mentua juga rapat. Kalau ke rumah mereka, pasti saya dijamu dengan sajian kegemaran. Syukur kerana mereka masih melayan saya dengan baik,” katanya.
Menyentuh mengenai pasangan hidup dan jodoh selepas berpisah dengan Faizal, kata Nana, dia tidak pernah memikirkan soal itu sebaliknya menyerahkan ia kepada ketentuan Tuhan.
“Apa yang saya fikirkan sekarang ini adalah Rayyan. Saya baru hendak memulakan hidup baru dan kembali aktif menyanyi. Saya akan muncul dengan single terbaru dan perlu memberikan tumpuan penuh pada karier,” katanya enggan mengulas lanjut.
Bagaimanapun, kembalinya Nana ke industri muzik tempatan berserta dengan isu kontroversi apabila gambarnya berimej seksi ketika menghadiri majlis dianjurkan majalah bertemakan gaya hidup tempatan, hangat diperkatakan.
Ramai yang mengakui Nana sudah berubah, tidak kurang ada pihak mendakwa ia sebahagian daripada strategi untuk meraih kembali populariti selepas hampir setahun menyepikan diri.
“Sebenarnya, saya tidak pernah menyepikan diri. Ketika bertugas sebagai kaunselor pendidikan di City Universiti College of Science and Technology, di Petaling Jaya, saya masih memenuhi undangan menyanyi. Cuma apa yang saya lakukan itu tidak dihebohkan kepada pihak media. Sebab itu ada yang beranggapan saya mahu meninggalkan bidang seni.
“Pada masa sama, baju yang digayakan pada majlis itu sesuai dengan temanya. Kalau saya di luar tidak begitu. Apabila memenuhi undangan persembahan, gaya saya masih seperti dulu.
“Peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan saya cukup faham mengenai perkara itu. Saya tidak nafikan selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Cuma kalau saya menghadiri majlis, saya perlulah bergaya mengikut tema ditetapkan bagi menghormati majlis berkenaan,” katanya.
Menyentuh mengenai karier seni, tambah penyanyi berasal dari Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini, dia telah mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai kaunselor pendidikan di City Universiti College of Science and Technology dua bulan lalu. Selain menyanyi, dia turut aktif berlakon drama.
Masih bernaung di bawah syarikat rakaman FMC, Nana berkata, bagi memperkenalkan kembali dirinya kepada peminat beberapa perubahan turut dilakukan termasuklah imej dan konsep muzik.
“Imej saya hari ini juga berkait rapat dengan muzik ditampilkan. Ia lebih moden dan terkini. Mengambil contoh single terbaru yang ditampilkan dalam album kompilasi berjudul Tak Tahan menampilkan konsep alternatif rock.
“Ia sesuatu yang baru bagi saya dan lebih segar. Walaupun konsepnya baru, tetapi saya percaya peminat boleh menerima. Di samping itu, pihak syarikat rakaman cuba meluaskan pengaruh saya dengan cuba memenangi hati peminat baru,” katanya.
Namun begitu, kata Nana, dia tidak pernah melupakan peminat asalnya dengan menghadiahkan satu lagu balada yang dicipta Azlan Abu Hassan berjudul Semakin Jelas dan turut dimuatkan dalam album sama.
Bercerita mengenai perancangan kerjayanya untuk lima tahun akan datang, kata Nana, kerana berkahwin dalam usia muda dan kemudian berehat panjang untuk memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan anak menyebabkan ada perkara yang hendak dilakukan tidak dapat dipenuhi.
“Sekarang apabila sudah kembali solo, saya punya banyak masa untuk diri sendiri. Justeru, semuanya akan saya tumpukan kepada kerjaya seni.
“Terima kasih juga kepada syarikat rakaman yang memberikan peluang pada saya untuk menghasilkan lagu dengan konsep berbeza. Saya sukakan diri saya yang baru. Selain itu, saya mahu mencuba pelbagai bidang seni termasuklah lakonan.
“Diharapkan tahun hadapan, rezeki akan kembali menyebelahi saya dan perubahan dilakukan ini diterima peminat dengan tangan terbuka,” katanya.
PROFIL
NAMA PENUH: Siti Nordiana Mohd Alias
PANGGILAN KIMERSIAL: Siti Nordiana atau Nana
ASAL: Felda Sendayan, Negeri Sembilan
TARIKH LAHIR: 22 November 1984
UMUR: 26 tahun
STATUS: Ibu tunggal
KERJAYA: Penyanyi dan Pelakon
ANAK: Muhammad Rayyan Nakhaie (dua setengah tahun)
ALBUM: Gurindam Rindu Berkasih (1999), Luahan Hati Kekasih (2000), Bingkisan Kasih (2001), Pelangi (2004), Cahaya Kekasih (2007)
Firus (2001- duet bersama Syura), Istimewa Untukmu (2003- duet bersama Achik), Benang Emas (2006 - duet bersama Achik) dan The Best of Siti Nordiana (2002).
DRAMA: Wad 04, Helah, 3 Dara Pingitan dan Aku Budak Minang 2 (13 episod)
google: Nana facebook, nana artis seksi, siti nordiana artis seksi, gambar terbaru nana, skandal terbaru nana dan faizal
No comments:
Post a Comment