MAMPUKAH Sharifah Amani memenangi trofi Anugerah Skrin pertamanya?
Seperti mana yang diketahui umum, penganjuran ASK adalah bertujuan untuk mengiktiraf karya anak tempatan yang telah bertungkus lumus menghasilkan drama serta filem sepanjang tahun lalu.
Setiap tahun, ASK akan menjadi tumpuan peminat dan pemerhati dunia hiburan tanah air yang ternanti-nantikan siapakah yang bakal dijulang dengan gelaran terbaik yang menjadi dambaan setiap anak seni.
Melihatkan kepada senarai drama yang dipertandingkan tahun ini, memang tidak syak lagi kesemuanya bakal memberikan saingan yang cukup sengit.
Pastinya, pihak juri yang ditauliahkan untuk menilai drama yang tercalon kali ini akan pening kepala dalam menentukan pemenang yang paling layak untuk merangkul kejuaraan.
Sekadar mahu menghangatkan ASK2010 yang akan bersiaran pada 24 Disember ini, Hits seperti tahun-tahun sebelum ini, mahu mengajak pembaca setia melihat senarai calon-calon yang dilihat berpotensi untuk memenangi anugerah dalam beberapa kategori utama.
Untuk itu, Hits akan memulakan teka-teki dan spekulasi calon yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk disenaraikan dalam dua kategori iaitu Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Drama Terbaik.
Barangkali ramai yang terlupa, tahun lalu kedua-dua kategori ini menjadi milik Ahmad Tarmimi Siregar dan Norish Ismail yang masing-masing memenanginya menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama serta Tersasar Di Jalanmu.
Siapakah pula aktor dan aktres yang bakal menjejak langkah kedua pelakon itu untuk dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Drama Terbaik ASK2010?
Jika drama yang dicalonkan semuanya memiliki kehebatan dan keistimewaan masing-masing, begitu juga dengan barisan aktor yang disebut-sebut mampu tersenarai dalam lima kelompok terbaik untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Drama Terbaik.
Menariknya, tentang ASK, setiap kali nama mereka yang layak dicalonkan dalam kategori lakonan khususnya drama, kita akan dapat menyaksikan nama-nama hebat dalam senarai lima terbaik itu.
Bukan hanya menyenaraikan nama-nama baru, tetapi aktor senior juga sering kali memberikan saingan yang cukup hebat sekali gus membuktikan sebenarnya pelakon senior memang bukan calang-calang.
Perdebatan yang menarik
Walaupun sirna populariti mereka tidak setanding dengan anak-anak muda namun, bakat lakonan mereka memang tidak boleh dipertikaikan.
Seperti kategori Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik tahun ini, senarai calon-calon yang layak untuk disenaraikan dalam Top 5 semuanya hebat-hebat belaka dan pastinya ini memberikan satu perdebatan yang menarik.
Mereka yang dimaksudkan ialah Hisham Ahmad Tajuddin, Isma Yusoof, Roslan Salleh, Zul Huzaimy, Allahyarham Yalal Chin dan Tony Eusoff.
Harus diingat, segala ramalan tidak akan mempengaruhi keputusan juri dan ia hanyalah sekadar suka-suka dalam menghangatkan ASK2010.
Apabila nama Hisham Ahmad Tajuddin dikhabarkan mampu membolosi senarai pencalonan tahun ini, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Seniman yang seorang ini sudah membuktikan selama berpuluh tahun lamanya dia merupakan antara aktor dalam generasinya yang cukup disegani.
Watak bapa dan datuk yang seringkali diberikannya jarang gagal ditangani dengan baik. Lontaran vokal dan penghayatannya yang mampu menyentuh emosi itulah menjadikan Hisham Ahmad Tajuddin sebagai aktor terbaik.
Siapa tahu selepas berpuluh tahun bergelar seorang seniman, trofi ASK2010 akan menjadi miliknya berdasarkan lakonannya dalam drama Sebelum Akhirat.
Isma Yusoff juga tidak kurang hebatnya dan dia adalah antara bintang muda yang bijak mewarnakan karakter yang diberikan kepadanya.
Tercalon menerusi drama Antara Garisan, lakonan Isma dalam drama arahan Shahrul Ezad itu sememangnya watak yang telah memberikan impak dalam drama yang pernah ditayangkan di Astro Ria itu.
Aktor yang sering diberikan watak antagonis, Roslan Salleh juga mampu mencipta kejutan. Siapa tahu lakonannya dalam drama Kaki mampu memberikannya trofi yang menjadi idaman ramai itu.
Memang sudah sampai waktunya Roslan diiktiraf dengan gelaran terbaik sementelah namanya sering dilihat sebagai calon bukan pilihan (underdog) dalam mana-mana acara anugerah.
Barangkali juga, dengan pencalonan dalam ASK tahun ini ia akan membuka mata ramai pihak akan bakat yang dimiliki oleh aktor itu.
Aktor yang seorang ini memang tidak perlu dipertikaikan kehebatan lakonannya di dalam seluloid dan dia juga merupakan antara aktor muda yang mampu pergi jauh di dalam industri seni.
Zul Huzaimy memang bukan nama asing. Baik watak antagonis mahupun protagonis, aktor ini jarang sekali gagal mengecewakan dan dia mengikut acuannya sendiri tanpa dibayangi mana-mana aktor terdahulu.
Mungkinkah lakonannya dalam drama Dendam Seorang Isteri bakal memberikannya trofi ASK yang kedua? Mungkin ada yang terlupa Zul Huzaimy pernah menjulang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik menerusi lakonan hebatnya dalam filem Wayang tahun lalu.
Biarpun sudah meninggal dunia, bakat Allahyarham Yalal Chin masih lagi dikenang dan untuk ASK edisi terbaru ini, namanya juga disebut-sebut akan menduduki lima tempat terbaik sekali gus berpeluang untuk merangkul kejuaraan.
Apa mungkin drama Bagaikan Sumayyah akan memberikan trofi ASK pertaman untuknya? Semuanya bakal terjawab pada malam bersejarah itu nanti.
Seorang lagi calon, Tony Eusoff juga antara nama yang dikatakan mampu menerobosi tembok kebal pencalonan tahun ini. Dia yang bertanding atas tiket drama Perempuan itu juga dilihat berpeluang untuk memikat juri untuk tersenarai sebagai calon terbaik.
Jika Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama menyaksikan nama-nama hebat dalam dunia penerbitan drama, kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama juga bukan calang-calang.
Mana tidaknya. Nama-nama yang disebut semuanya hebat belaka dan telah membuktikan kehebatan mereka di layar kaca.
Enam nama yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk dicalonkan kali ini ialah Sharifah Amani, Fadilah Mansor, Fauziah Nawi, Wan Nor Azlin, Rozie Rashid dan Rozie Othman.
Apabila memperkatakan tentang Sharifah Amani, siapa yang mampu menidakkan kehebatan lakonannya. Dia juga merupakan antara aktres generasi baru yang bakal meneruskan legasi aktres hebat terdahulu.
Lakonannya dalam Antara Garisan sudah cukup membuktikan Sharifah Amani memang tidak pernah gagal memberikan lakonan yang berkesan. Adakah menerusi drama itu nanti akan memberikan Sharifah Amani trofi ASK pertamanya untuk kategori drama?
Namun, usah pula dipandang enteng kepad kehebatan Fadilah Mansor yang bertanding atas drama Sebelum Akhirat. Watak ibu yang sering diberikan kepadanya juga tidak pernah gagal ditangannya.
Atau mungkin trofi yang bermotifkan pucuk rebung dan songket itu akan menjadi milik aktres hebat, Fauziah Nawi yang memberikan lakonan mantap dalam drama Kaki.
Memang sudah termaktub dalam direktori seni tempatan, Fauziah dikategorikan sebagai aktres terbaik kerana berjaya membawakan apa sahaja watak dengan berkesan dan meninggalkan impak yang bukan kecil kepada audiens.
Adakah juga dengan kebangkitan Wan Nor Azlin dalam persada seni tanah air akan memberinya kemenangan pada malam ASK nanti? Usah diperkecilkan kehebatan Wan Nor Azlin yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Sri Angkasa 2001 dalam drama Dalil Cinta.
Begitu juga dengan Rozie Rashid yang mampu mencipta kejutan pada malam itu nanti berdasarkan kecemerlangannya dalam drama Perempuan. Siapa tahu dengan kemenangannya pada malam itu nanti, Rozie dapat mengumpul trofi ASK keduanya selepas memenangi kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik menerusi filem Gubra pada tahun 2006 .
Aktres serba boleh, Rozie Othman juga berpotensi tersenarai dalam kategori ini jika juri merasakan lakonannya dalam drama Masyitah layak untuk memasuki senarai akhir.
No comments:
Post a Comment