Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Tuesday, December 21, 2010

ASK2010: Milik Sam dan Fazura?

SHAHEIZY Sam merupakan calon utama untuk memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik

APABILA memperkatakan tentang watak pembantu, usah sesekali memandang sebelah mata kepada mana-mana pelakon yang membawakannya.

Ini kerana ada kalanya watak pembantu itu dilihat lebih menyerlah dan berjaya membayangi pelakon utama seandainya watak yang sering kali dianggap kecil itu dibawa dengan penuh jiwa.

Meskipun kemunculan mereka hanya seketika, sekiranya impak yang diberikan cukup besar, maka, lakonan mereka dianggap berjaya dan akan menjadi momen yang paling diingati sampai bila-bila.

Dalam mana-mana anugerah filem di dunia sekali pun, kategori pembantu merupakan antara kategori utama yang meraih perhatian peminat dan pemerhati dunia perfileman.

Anugerah Skrin (ASK), misalnya hanya mewujudkan kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Filem Terbaik sekitar dua tahun lalu.

Memang wajarlah ASK memperkenalkan kategori tersebut bagi mengiktiraf anak seni yang telah memberikan persembahan terbaik dalam filem lakonan mereka.

Sekadar mengimbas kembali, pemenang pertama untuk dua kategori ini ialah Zaefrul Nordin dan Nasha Aziz yang masing-masing memenanginya menerusi filem 1957 Hati Malaya serta Sepi.

Tahun lalu, dua pelakon hebat iaitu Zul Huzaimy dan Ida Nerina menjulang trofi idaman ramai itu menerusi kecemerlangan mereka dalam filem Wayang serta Susuk.

Siapakah pula aktor dan aktres yang bakal menjejaki langkah keempat-empat pelakon yang sudah pun memaktubkan nama mereka dalam sejarah ASK?

Sayugia diingatkan, apa yang ditulis ini hanyalah sekadar ramalan dan ia tidak langsung mempengaruhi keputusan juri.

Nama pun ramalan. Jadi, kebarangkalian untuk tersasar itu memang cukup besar dan anggaplah ini sekadar permainan untuk menghangatkan ASK2010 yang akan berlangsung Jumaat ini.

Jika dilihat kepada barisan aktor yang menyerlah dalam membawakan watak pembantu menerusi 25 buah filem yang layak bertanding kali ini, memang tidak dinafikan, semuanya hebat-hebat belaka.

Calon utama yang dilihat berpotensi besar untuk menduduki senarai teratas dan seterusnya memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik ialah Shaheizy Sam atau lebih popular dengan panggilan Sam.

Berdasarkan lakonan hebatnya dalam filem Evolusi KL Drift 2, memang tidak mustahil untuk anak muda yang semakin mekar namanya ini membawa pulang trofi tersebut.

Sementelah, Sam juga telah diiktiraf pada Festival Filem Malaysia Ke-23 lalu menerusi filem dan kategori yang sama.

Jadi, kalau Sam menang sekali pun pada malam ASK nanti, tiada apa yang perlu dipertikaikan kerana adik kepada Zizie Ezette ini memang layak menerimanya.

Namun, laluan Sam pastinya tidak semudah yang disangka kerana nama-nama seperti Que Haidar dan Bront Palarae akan membuatkan Sam tidak mampu untuk duduk selesa.

Que yang tidak kurang hebatnya dalam filem Setem dan Lagenda Budak Setan mampu untuk memenangi kategori ini. Siapa tahu juga rezeki akan berpihak kepada Que selepas dua kali memenangi trofi ASK untuk kategori drama.

Usah dipandang enteng kepada lakonan Bront dalam filem V3: Samseng Jalanan dan kalau dia menang pada malam itu nanti, ia bukanlah satu masalah besar.

Atau mungkinkah gelaran Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik akan menjadi milik dua pelakon senior iaitu Rashidi Ishak dan Rizman Khuzaimi yang dicalonkan menerusi filem Setem serta Santau?

Mungkin juga siapa tahu, kemenangan akan berpihak kepada pelakon baru, Shahredza Minhat menerusi filem Pisau Cukur.

Tidak mungkin? Jangan sesekali mempertikaikan kuasa juri yang ternyata lebih bijak membuat penilaian.

Barangkali ada yang terlupa, ASK juga tidak pernah terlepas daripada membuat kejutan yang pasti akan membuat ramai yang melopong mulut kelak.

Beralih kepada Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik, pastinya kategori ini juga antara yang menarik untuk dibincangkan.

Calon utama yang dilihat berpotensi besar untuk dicalonkan ialah Nur Fazura berdasarkan impak lakonannya dalam filem Lagenda Budak Setan.

Walaupun hadirnya seketika dalam beberapa babak, watak Katerina yang dibawakannya telah meninggalkan impak yang bukan sedikit.

Penghayatan dan ekspresi wajahnya cukup menyakinkan. Jadi, siapa tahu rezeki aktres jelita ini untuk memenangi kategori ini pada malam itu nanti.

Pelakon versatil, Noorkhiriah juga mampu mencipta kejutan seandainya pihak juri merasakan aktres tersebut layak untuk dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik.

Kehadirannya dalam filem Papadom memang dirasainya dan lakonannya cukup berkesan yang meninggalkan pelbagai rasa kepada audiens.

Mengenali Noorkhiriah, jarang sekali dia gagal memberikan lakonan yang memberangsangkan dan membuatkan audiens terus mengingati lakonannya itu.

Seorang lagi pelakon Papadom, Scha Al-Yahya juga berpeluang untuk dicalonkan dalam kategori ini. Sebagai Shasha, anak jati Kedah itu memberikan dimensi lakonan yang berbeza lalu membuktikan dia mampu pergi jauh di dalam industri.

Bintang ciptaan Allahyarham Yasmin Ahmad, Sharifah Aleysha juga antara nama yang disebut-sebut mampu menerobosi tembok kebal senarai pencalonan tahun ini.

Biarpun baru pertama kali berlakon, lakonannya dalam filem Muallaf membuktikan Aleysha seolah-olah sudah lama menceburi bidang lakonan.

Dua lagi aktres iaitu Vanidah Imran dan Raja Farah juga berupaya memikat juri untuk menempatkan mereka dalam senarai kedudukan lima terbaik.

Vanidah bertanding atas tiket Setem manakala Raja Farah pula menerusi filem Lagenda Budak Setan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...