Mempercayai bakat dan kredibiliti yang ada pada Anuar, membuatkan mereka sekali lagi melamar penyanyi berusia 40 tahun itu, untuk tampil sebagai penyanyi lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa, Sedetik Lebih.
Menerima pelawaan KRU dengan hati yang terbuka, jelas penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini, kesediaannya menyanyikan lagu tema filem yang menelan kos RM 8 juta itu, disebabkan keindahan lirik dan melodi ciptaan Edry Abdul Halim itu.
"Pertama kali dengar lagu ini saya terus suka. Liriknya yang puitis dan melodi yang indah yang mampu menyentuh perasaan orang yang mendengarnya. Apabila dihayati ia mampu memberi kesan kepada diri kita iaitu perasaan sayu, sedih dan yang bestnya ada elemen cute dalam lagu itu kerana ia merupakan sentuhan KRU kan. Dicampurkan kesemuanya menjadi sebuah lagu yang sangat menarik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan klip video lagu tersebut di ibu kota.
Menepis dakwaan menerima bayaran yang tinggi antara punca dia menerima tawaran tersebut kata Anuar, "Tak adalah saya terima kerana kekuatan lagu tersebut. Menepati kehendak dan kemahuan saya maka terjalinlah kerjasama antara kami. Lagipun sebelum saya menerima lagu tersebut saya sendiri sudah membuat kajian mengenai filem ini dan saya tertarik apabila melihat hasilnya,".
Dicipta dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris (The Memories Remain) untuk pasaran antarabangsa, tutur Anuar bukanlah mudah baginya merakamkan kedua-dua versi lagu itu.
"Lagu ini sangat susah untuk dirakam tapi saya cuba juga memberikan yang terbaik. Saya perlu menjaga pernafasan dan lenggoknya. Bagi versi Inggeris pula, tak sama dengan bahasa Melayu. Saya perlu menjaga sebutan dan gaya penyampaiannya juga berbeza," ujar penggemar kedai mamak ini.
Berkongsi cerita mengenai rakaman klip video tersebut kata pemilik nama sebenar, Shahrul Anuar Zain ini, ia hanya mengambil masa satu hari sahaja.
"Baru hari ini saya melihat hasil klip video ini dan saya sangat bangga, gembira dan tak sangka kerana lagu dan jalan ceritanya kena dan seiring. Saya rasa klip video ini antara yang terbaik buat diri saya. Meksipun kami merakamkan video yang hampir sama, agak mencabar sewaktu rakaman klip video versi Inggeris tersebut. Lagu baru kita perlu miming dan pada masa yang sama kita perlu hafaz lirik supaya tak lari dari gerak mulut kita," katanya yang mengagumi hasil kerja Yusry selaku pengarah klip video itu.
Sementara itu jelas Norman Abdul Halim, pemilihan Anuar Zain sebagai penyanyi lagu tema filem tersebut amat bertepatan memandangkan filem tersebut bakal di pasaran antarabangsa.
"Anuar Zain ada kelas tersendiri dan saya yakin peminat dia bukan hanya masyarakat bandar bahkan kampung. Dia juga mempunyai peminat di kalangan bukan Melayu jadi ia secara tak langsung mampu menarik mereka semua untuk menyaksikannya filem ini. Saya yakin lagu nyanyian Anuar ini mampu diterima oleh masyarakat di luar juga apabila ia ditayangkan di luar negara kerana vokal dan kredibiliti dirinya sendiri. ," katanya.
Malah jelas Norman lagi, sebagai salah satu rangka promosi filem tersebut, lagu tema versi Inggeris itu akan dipasaran menerusi sosial network antaranya itunes.
No comments:
Post a Comment