Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Thursday, December 16, 2010

Bapa Hanya Tolong Kalau Dafi Bangkrap


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menegaskan beliau tidak akan membantu anaknya, Dafi atau Gadaffi, 22, mengeluarkan sebarang wang modal untuk membangunkan syarikat Lough Out Loud Entertainment Sdn Bhd (LOLE).

Menurut Ismail Sabri, dia mahu Dafi berdikari untuk merasai bagaimana susah untuk membina sebuah perniagaan menggunakan wang hasil titik peluh sendiri.

"Saya suka bila anak saya buat sesuatu atas usaha sendiri kerana saya juga dulu bukannya datang daripada keluarga yang senang. Jadi saya biarkan dan melihat dari jauh perniagaannya itu. Bila Dafi bankrap baru saya tolong.

"Apa-apa pun saya bangga kerana dia mula berfikir tentang perniagaan pada usia yang muda. Saya sendiri tidak sangka dia begitu cepat membuka sebuah syarikat.

"Bagus juga dia menceburkan diri dalam perniagaan. Jika mula berniaga awal, dan mungkin satu hari nanti gagal, sekurang-kurangnya dia ada masa untuk memulihkan syarikatnya itu.

"Saya harap dia bersungguh-sungguh dengan perniagaan barunya itu. Saya selalu berkata kepada Dafi supaya jadikan Norman KRU sebagai contoh kerana Norman berjaya dalam perniagaan kerana kreativiti yang dimiliki.

"Justeru, Dafi juga perlu kreatif dan mempunyai produk perniagaan lain daripada yang lain jika ingin berjaya," katanya pada majlis ulang tahun hari lahir Dafi yang ke 22 dan pelancaran LOLE bertemakan Masquarade Nite-The New Beginning, di sini, Selasa.


Majlis hari jadi dan pelancaran LOLE yang dianjurkan merupakan hadiah yang besar buat Dafi.

Pada majlis yang diadakan dengan kerjasama Kelab Peminat Dafi Malaysia (DFCM), pelbagai kejutan dibuat khas untuk penyanyi itu.

Pada permulaan majlis, sekumpulan model memperagakan pakaian rekaan salah seorang ahli DFCM sebagai gimik pelancaran LOLE.

Kemudian, kemunculan pelakon Rozita Che Wan yang membawa sejambak bunga buat Dafi dan rakan kongsinya, Afeeq, serta Marsha yang menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi. Ternyata ia agak mengejutkan Dafi.
Tambah pula apabila artis kegemaran Dafi iaitu One Nation Emcees, turut hadir tanpa pengetahuannya.

Sementara itu, beritahu Dafi, dia gembira dengan majlis yang dianjurkan dan menganggap pelancaran LOLE merupakah hadiah yang paling besar yang pernah diterimanya.

"Saya juga menerima pelbagai hadiah daripada peminat dan ada yang saya tak sempat buka lagi.

"Tapi yang paling menggembirakan ialah pelancaran syarikat saya yang turut dibantu oleh DFCM lagi.

"Dalam usia saya yang sudah berumur 22 tahun ini, saya berharap ingin menjadi peniaga yang berjaya di masa akan datang nanti dan sasaran saya untuk tahun depan, saya ingin membeli sebuah rumah menggunakan wang titik peluh saya sendiri," nekad Dafi.

Sehari sebelum majlis, keluarga Dafi turut meraikan hari lahirnya itu di sekitar Bangsar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...