Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Friday, December 17, 2010

'Anak Ikan', Filem Gay Terbaru Raja Azmi


Selepas melalui pelbagai kontroversi menghasilkan filem ...Dalam Botol, penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman,50, masih tidak serik-serik apabila mahu menerbitkan sebuah lagi filem gay berjudul Anak Ikan.

Kata Raja Azmi kepada mStar Online, filem itu mempunyai tema serupa seperti ...Dalam Botol tetapi kali ini ia lebih menonjolkan bagaimana senario kehidupan lelaki gay yang sudah berumur tetapi menjalin hubungan cinta dengan lelaki muda.

"Saya dalam perancangan untuk menerbitkan filem terbaru yang berjudul Anak Ikan. Filem ini saya jangkakan akan mencetuskan kontroversi lagi selepas ...Dalam Botol kerana ia tetap berkisah mengenai kehidupan gay.

"Bagi golongan gay, istilah 'anak ikan' membawa maksud lelaki muda yang menjalinkan hubungan cinta dan seks dengan lelaki yang lebih tua dari mereka.

"Saya sedang meneliti skrip tersebut dan ia memerlukan beberapa pindaan. Selepas ini, saya akan mula mencari lelaki muda yang kacak pula untuk memainkan watak 'anak ikan' itu," katanya berseloroh.

Ditanya mengenai keterujaan untuk menerbitkan sebuah lagi filem yang bakal mencetuskan kontroversi, Raja Azmi berkata, filem terbaru itu dihasilkan bukan untuk mencari publisiti murahan atau kontroversi.

Sebaliknya, ia adalah paparan realiti kehidupan yang membelenggu golongan homoseksual serta turut mempunyai mesej yang baik di sebalik apa yang ingin dipaparkan.

"Saya bukan suka-suka buat filem sebegini untuk cari publisiti atau kontroversi. Sebaliknya, ada mesej yang ingin saya kongsi bersama penonton tentang senario hidup golongan itu.

"Ini adalah realiti sebenar kehidupan selain saya ingin cuba menyuntik kesedaran kepada penonton," katanya yang ditemui pada pratonton filem Damping Malam di sini, Rabu.

Tunda ...Dalam Botol

Sementara itu, Raja Azmi turut memberitahu filem ...Dalam Botol yang dijadualkan menjengah pawagam pada 10 Februari depan telah ditunda ke tarikh baru pada Mac 2011 ekoran kelewatannya melunaskan baki bayaran proses akhir filem itu di Studio Digital Mixstage di Finas baru-baru ini.

"Saya terpaksa akur dengan anjakan tarikh untuk filem ...Dalam Botol kerana baru saja melunaskan baki bayaran kos proses akhir filem itu sebanyak RM96,000 di Finas baru-baru ini.

"Oleh kerana saya lambat bayar, Skim Wajib Tayang harus memberikan keutamaan pada filem lain yang sudah lengkap sepenuhnya berbanding filem saya.

"Bagaimanapun, saya berharap perubahan tarikh tayangan filem itu tidak akan memberi sebarang kesan untuk menarik penonton ke pawagam apabila ditayangkan nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...