Begitulah yang turut dirasai oleh pelakon dan penyanyi, Aqasha, 28, dan isterinya, Noor Baizura Mohd. Sabri, 27, yang secara rasminya bergelar suami isteri pada 10 Oktober tahun lalu.
Setelah tiga bulan melayari bahtera perkahwinan akhirnya Aqasha yang bernama sebenar, Firdee Aqasha Rosli itu dikurniakan hadiah tahun baru yang cukup berharga dari Ilahi apabila doktor mengesahkan isterinya kini hamil lima minggu.
Bertemu Aqasha pada majlis ramah mesra bersama pelakon dan pengarah siri Dia Bukan Maryam di Sri Pentas, Damansara baru-baru ini, jelas Aqasha dia cukup teruja dengan khabar tersebut dan kini menggandakan tanggungjawab sebagai seorang suami.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira dengan berita ini. Rasa selepas ini tanggungjawab saya akan jadi lebih besar. Apatah lagi nak sambut anak nanti perlukan banyak persediaan.
"Persediaan sebagai seorang ayah dalam agama Islam bagi saya banyak menyedarkan dan ini pengalaman yang cukup bagus buat saya," katanya.
Menurut Aqasha, dia telah mula menyukai kanak-kanak sejak empat tahun lalu malah, melangkah ke gerbang perkahwinan membuatkan dia banyak berdoa agar dikurniakan zuriat.
Jelas Aqasha, isterinya itu masih belum mengalami alahan yang teruk namun, dia banyak mendapatkan khidmat nasihat doktor dalam menangani emosi isteri yang sedang mengalami perubahan hormon.
"Apa yang doktor sering beritahu pada saya, peringkat awal kehamilan ramai isteri yang akan berasa tidak selesa dengan suami mereka. Malah, doktor dan keluarga banyak menasihatkan saya agar tidak terikut-ikut dengan perubahan emosi isteri pada peringkat ini.
"Alhamdulillah, setakat ini isteri mahupun saya sendiri masih belum mengalami apa-apa alahan cuma selera makan semakin bertambah," kata pelakon filem Embun itu lagi.
Menyingkap perkembangan terkini kerjaya seni Aqasha, dia kini sedang mengikuti pengambaran siri terbaru arahan pengarah berpengalaman, Erma Fatima, Dia Bukan Maryam yang turut dijayakan oleh Eja, Lisdawati dan Fahrin Ahmad.
Rantaian 26 episod yang bakal memulakan siarannya menerusi slot Ratu di TV9 pada setiap hari Isnin dan Selasa, menyaksikan pelakon tersebut memegang watak sebagai Shafiq, seorang yang bersikap skeptis dengan cinta.
Bagaimanapun, kehadiran Zaimah yang dilakonkan oleh Lisdawati, mula membuka pintu hatinya untuk kembali mengenal cinta.
Bercerita tentang siri yang sarat emosi dan air mata itu kata Aqasha, dia hanya akan muncul menerusi siri tersebut pada 13 episod yang terakhir.
Dalam perkembangan lain, Aqasha bakal terlibat dalam sebuah drama berkisarkan percintaan arahan Rashid Sibir pada Mac ini.
No comments:
Post a Comment