Enggan mengambil peduli segalanya, bagi Nora, Jejai berhak untuk memilih permaisuri baru di hatinya. Malah percutiannya bersama Jejai dan keluarga baru-baru ini ke Jepun bukanlah penyebab kepada perpisahan tersebut kerana hubungan itu telah pun berkubur dua bulan lalu.
"Saya tak ada hak untuk menghalang dia (Jejai) daripada berkawan dengan sesiapa. Dari mana datangnya info yang mengatakan saya punca perpisahan mereka, saya tak tahu, tapi ingin saya tegaskan bahawa semua itu tak benar belaka dan saya bersyukur kerana Jejai telah mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar tabloid semalam untuk membuktikan perkara sebenar,"
Mengakui berkawan baik dengan Jejai dan sering berkongsi masalah bersama, tegas Nora, hubungan baik tersebut tidak akan sama sekali berakhir ke alam perkahwinan semula.
"Kami memang baik dan dia juga sering bercerita masalah cintanya dengan saya. Tapi saya hanya mampu mendengar dan tak mahu masuk campur dengan urusannya. Apa yang terjadi dalam hidup kami telah mengajar kami banyak perkara dan yang terbaik untuk kami adalah seperti ini iaitu yang hanya baik sebagai kawan dan semuanya demi anak kami (Putera Rayqal). Kami tak mungkin akan bersatu semula sebagai suami isteri kerana rasanya kami lebih baik begini," katanya lagi.
Menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia cuba menggunakan anak dan keluarga Jejai sebagai pancing untuk merobohkan hubungan cinta mereka, kata wanita berusia 29 tahun ini, perkara tersebut tidak pernah terlintas dibenak fikirannya.Tambahnya lagi dia juga kini dalam proses mengenali hati budi seseorang.
"Saya, Jejai dan keluarga dia memang rapat. Kami juga duduk di kawasan rumah yang berdekatan jadi apabila saya ada penggambaran saya akan hantar anak ke rumah mertua. Jadi tak timbul isu mahu menggunakan mereka kerana kami memang rapat. Saya tak pernah halang Jejai atau famili untuk berjumpa Rayqal.
"Memang kami tak akan bersama semula sebagai suami isteri kerana ini adalah takdir dan yang terbaik untuk kami. Malah saya sendiri dalam proses berkawan dengan seseorang. Tapi masih lagi fasa permulaan dan biarlah masa menentukan segalanya," tuturnya yang juga menafikan menerima hadiah rumah daripada mertuanya.
Dalam pada itu, kata pelakon filem Cuti-Cuti Cinta ini, bakal kekasihnya kelak juga perlu menerima hakikat hubungannya bersama Jejai akan baik sehingga ke akhir hayat demi anak mereka.
"Semua kena terima hakikat bahawa kami memang akan baik sampai bila-bila jadi tak kisah sama ada kekasih saya atau kekasih Jejai perlu menerima kenyataan tersebut. Kami memang saling memahami dan semua itu kami lakukan demi Rayqal," katanya yang akan bercuti sehingga bulan Mac depan sebelum kembali ke lokasi penggambaran seterusnya.
Sementara itu, ditanya mengenai kisah dirinya yang dikatakan meminati dan cuba mendekati dua pemain bola sepak kebangsaan iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Safee Sali, Nora sama sekali menafikannya.
"Semuanya berlaku kerana komen saya dalam laman twitter. Saya bukanlah peminat bola sepak dan buat pertama kalinya saya melihat perlawanan bola sepak semasa perlawanan Piala Suzuki AFF 2010 itu. Saya terlalu excited kerana permainan mereka yang cemerlang dan menulis macam-macam di twitter saya. Tapi yang akhir itu bertulis, Fahmi dan Safee call me XOXO. Ayat itu tak membawa maksud saya nak berkawan atau mengatal dengan mereka.
"Saya sendiri tak letak pun nombor telefon saya untuk dihubungi. Kalau mereka telefon saya pun, saya hanya nak cakap saya amat bangga dengan permainan dan kejayaan pasukan bola sepak kita. Tak ada niat nak mengatal atau merosakkan hubungan mereka dengan pasangan masing-masing dan saya mengaku sedih dengan pelbagai tohmahan yang diberikan kepada saya mengenai hal itu," katanya yang mengharapkan spekulasi mengenai perkara tersebut akan berakhir.
No comments:
Post a Comment