TAHUN ini pertandingan mencungkil bakat pelawak, Raja Lawak Astro menyaksikan banyak peningkatan daripada segi kualiti persembahan para pesertanya dan fokus pengisian dalam rancangan terbitan Astro Prima itu.
Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, sejak empat musim rancangan itu diterbitkan, Raja Lawak Astro musim ke-5 (RL5) yang kini memasuki minggu ketiga adalah yang paling mantap berbanding sebelumnya.
"Contohnya tahun ini, RL5 tidak menampilkan aktiviti-aktiviti para pesertanya yang tiada kaitan dengan pertandingan ini. Semua aktiviti santai atau yang dibuat diluar ditiadakan sehinggalah minggu kelima dan ke atas.
"Tujuannya supaya setiap peserta RL5 memberi fokus dengan berlatih sebelum menunjukkan bakat mereka pada Gelanggang Raja Lawak yang diadakan pada setiap Jumaat. Aktiviti luaran itu boleh menganggu tumpuan latihan mereka.
"Bagaimanapun selepas lima minggu ke atas kami mungkin akan menyediakan aktiviti luaran supaya mereka dapat berehat sedikit," katanya kepada Hits semasa ditemui pada pertandingan itu yang diadakan di Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Empat musim RL sebelum ini tidak ketinggalan menampilkan pelbagai aktiviti luaran sejak minggu pertama rancangan itu ke udara di mana ia disiarkan sebagai selingan dalam salah satu segmen pengisiannya.
Ekoran segmen yang dikemaskinikan itu, para peserta RL5 bukan sahaja lebih memberi fokus kepada latihan berlawak, malah mutu persembahan mereka juga semakin meningkat menerusi Gelanggang Raja Lawak.
"Masa para peserta kini lebih banyak berlatih dan berjumpa dengan ramai pelawak undangan yang kami jemput bagi memberi tunjuk ajar kepada mereka. Antaranya Mr. Os, Farouk Hussain, Afdlin Shauki dan Sathiya.
"Sebab itu, saya lihat kualiti persembahan para peserta RL5 semakin meningkat kerana para penonton sekarang semakin bijak menilai. Mereka mahukan lawak yang lebih pelbagai dan bahan-bahan yang berbeza setiap minggu.
"Kami menetapkan tema-tema bahan lawak yang berbeza pada setiap minggu. Ia bagi memastikan supaya para penonton tidak jemu. Kami telah merangka semua itu sejak Mei tahun lalu selepas dua bulan berakhirnya RL4," ujarnya.
Selain kualiti persembahan para peserta dan fokus pengisian rancangan itu tambah Nizam, hadiah untuk para pemenang RL5 juga akan mengutamakan hadiah berbentuk wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM180,000.
Jelasnya, hadiah sampingan berupa barangan seperti peralatan audio dan elektronik juga mungkin akan disediakan sebagai tambahan atas kemenangan setiap peserta pada pertandingan 100 peratus undian SMS penonton itu.
"Tahun ini ada sedikit kelainan di mana kami lebih mengutamakan hadiah wang tunai. Juara RL5 akan menerima wang tunai RM100,000, naib johan (RM50,000) dan tempat ketiga berjumlah RM30,000 serta hadiah-hadiah iringan lain.
"Hadiah wang tunai lebih mudah untuk diberikan dan terpulanglah kepada setiap pemenang untuk menggunakan wang kemenangan yang mereka terima itu. Bermakna tahun ini tiada lagi hadiah kereta untuk pemenang utamanya," katanya.
No comments:
Post a Comment