ERRY Putra nak menyanyi balik? Biar betul? Sedap sangatkah suara dia sampai nak menyanyi balik? Dulu masa bersama kumpulan Boys R Us pun tak berapa nak popular. Lagi mahu menyanyi yer?
Bukan seorang dua yang berkata, tapi ramai. Ramai juga yang menyindir usaha yang dilakukan oleh Erry nak kembali ke dalam bidang nyanyian.
Tak mahu termakan dengan kata-kata orang, Erry tahu apa yang dilakukannya. Kata Erry ramai yang memberi sokongan dan galakan kepada dirinya untuk memeriahkan industri seni tempatan.
Mungkin ada yang tidak sedar, kemunculan Erry dalam bidang seni tanah ari bermula dengan bidang nyanyian. Biarpun rezekinya lebih tertumpah kepada bidang lakonan, dia tidak pernah memadam hasrat untuk kembali menyanyi.
Kali terakhir merakamkan lagi ketika bersama dengan kumpulan Boys R Us pada tahun 2004. Kini sesudah enam tahun berlalu, Erry bertekad untuk kembali ke landasan asal yang pernah dilewatinya satu ketika dahulu.
Cukup bangga dengan single Jangan Kau Pergi yang dinyanyikan bersama dengan Shajiry dan Azreen, lagu tersebut sudahpun masuk radio dan diputarkan tanpa sebarang prejudis.
“Inilah yang cukup menggembirakan saya. Pada saat orang lain terhimpit dengan masalah lagu tak disiarkan oleh stesen radio, ia tidak menjadi masalah buat saya.
“Malah saya berbangga dengan kemunculan semula saya ke lapangan ini. Inilah yang saya idam-idamkan sejak berpecah enam tahun yang lalu,” kata Erry dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Jelas Erry, bukan mudah untuk meneruskan kesinambungan dalam bidang seni. Terlalu banyak jalan bengkang-bengkok yang terpaksa dilalui olehnya untuk berjaya dalam bidang nyanyian.
Itu belum lagi menerima kutukan peminat yang kurang yakin dengan dirinya. Tapi sebagai manusia biasa, itulah lumrah yang perlu dilalui.
“Lantaklah apa orang nak cakap. Kalau dengar cakap orang sampai bila-bila pun saya tak akan maju. Kalau ada yang mengkritik cara nyanyian saya boleh ambil untuk perbaiki diri.
“Saya pun bukan sempurna mana. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari sebelum menjadi penyanyi yang baik. Kalau tak diberi peluang sampai bila saya nak jadi bagus.
“Macam masa mula-mula berlakon dulu. Ada yang cakap saya berlakon keras macam kayulah. Tapi lama-lama saya perbaiki lakonan saya dari semasa ke semasa.
“Dalam bidang nyanyian pun saya mengharapkan perkara yang sama. Mahu berjaya dan setidak-tidaknya mengembangkan minat yang ada tertanam dalam diri sejak dahulu lagi,” kata Erry tanpa berselindung.
Sepanjang menyepikan diri dalam bidang nyanyian, Erry masih lagi menerima banyak undangan pentas yang mahukan dirinya menyanyi. Malah semasa Konsert Pancaindera di Bentong dan Bera, Pahang pertengahan tahun yang lalu, dia juga membuat persembahan.
Ternyata sambutan yang diterima oleh anak kelahiran Kelantan ini cukup baik dan membakar semangatnya untuk terus menggapai impian.
Ujarnya, sejak dua tiga tahun yang lalu, dia sudahpun merakamkan hampir 10 buah lagu tetapi tidak diputarkan di radio.
“Saya mahu melihat sambutan peminat terhadap lagu Jangan Kau Pergi dulu. Kalau semuanya berjalan seperti mana yang saya harapkan saya akan muncul dengan single yang seterusnya.
“Mungkin sehingga lima single saya menemui peminat barulah saya mahu keluar dengan album penuh. Ini sasaran saya setakat ini,” kata Erry yang bakal dilantik sebagai duta produk berasaskan sarang burung tak lama lagi.
Bercerita mengenai bidang lakonan pula, Erry yang pernah mencetuskan kontroversi ‘dagu cucuk’ cukup selektif memilih watak ketika ini memandangkan banyak perkara yang perlu dilakukan setiap hujung minggu.
“Saya sudah pun terlibat dengan promosi produk sarang burung tersebut. Setiap minggu ada sahaja road tour yang saya kena ikut. Ini termasuklah promosi single tersebut.
“Jadi masa untuk berlakon pun semakin terhad. Kalau ada produksi yang mahu mengambil saya berlakon, mereka kenalah melepaskan saya setiap hujung minggu,” kata Erry
google: erry putra facebook, erry putra twitter, skandal terbaru erry putra, gambar terbaru erry putra
No comments:
Post a Comment