BERSAMA kumpulan Ruffedge, Amer Munawer Yusoff mencipta nama di bidang seni bersama empat lagi anggota asal kumpulan itu iaitu Azan, Zain, Mode dan Cat Farish sebelum berganti ahli memperlihatkan penyertaan Sein sebagai anggota baru.
Perubahan masa memberikan sisi pemikiran yang mengajak jiwanya untuk mencari erti sebenar kehidupan.
Menyedari nilai muzik itu amat penting dan cukup dekat di sanubari, Amer mencari arah untuk berkarya dan menyampaikan mesej-mesej kebaikan dan ketuhanan menerusi lagu-lagu ciptaannya.
Justeru, tiga tahun menyepi bukan bermakna dia hanya duduk diam.
Kelahiran album mini, Seluruh Mahabbah menyaksikan transformasi ketara Amer di bidang seni.
Bertemu Amer pada sesi fotografi baru-baru ini, siapa sangka pemuda yang dahulunya sering mengenakan ‘uniform’ hip hop bersesuai dengan konsep yang dibawa oleh Ruffege kini tampil dengan kopiah di kepala menandakan ada pembaharuan dalam dirinya.
“Alhamdulillah inilah yang Allah berikan kepada saya. Transformasi itu sebenarnya berlaku setiap hari dalam kehidupan manusia di mana daripada yang baik kita menjadi lebih baik.
“Rugilah andai tiada langsung perubahan dan dibiarkan ia hilang begitu sahaja,” kata Amer memulakan bicara.
Seluruh Mahabbah yang mengandungi tiga lagu, Seluruh Mahabbah, Maha Suci Allah dan minus one Seluruh Mahabbah merupakan terbitan syarikatnya sendiri iaitu Mermotto Ventures (M) Sdn. Bhd.
Mengakui dia mula terfikir untuk melakukan perubahan dalam diri sejak menyertai Ruffedge lagi, jelas Amer, perkataan mahabbah atau kasih sayang sebenarnya memberi banyak pengertian dalam dirinya.
Malah, dia sering mengaitkan perkataan kasih sayang itu sendiri dengan sejarah dan cara perjuangan yang dilakukan oleh Rasullullah S.A.W. dalam mengembangkan Islam.
“Bersama Ruffedge dulu saya anggap ia satu ‘universiti’ yang terbaik untuk saya terutama menempuhi perjalanan kerjaya seni.
“Di ‘universiti’ itu banyak yang saya pelajari tentang pelbagai perkara, saya akhirnya menamatkan pengajian dan kini menyusuri jalan seperti mana yang saya mahukan.
“Jika dahulu ketika di ‘universiti’ itu saya tampil dengan imej hip hop, kini saya tampil dengan imej berlainan.
“Kerjaya seni tetap kerjaya seni dan biarpun menjalani perubahan saya tidak tinggalkan semua itu,” kata Amer.
Sebagai manusia, perubahan yang dibawa oleh Amer sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan di hatinya.
Bagaimanapun, kata Amer, dia kini bersedia menerima pelbagai tanggapan negatif yang bakal dilemparkan kepadanya andai perubahan yang berlaku tidak mampu menonjolkan sisi kebaikan dalam dirinya.
“Semua perkara ada ujian tersendiri dan ujian bagi saya ialah apabila nanti ada orang yang meletakkan persepsi yang tinggi.
“Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan orang yang saya jumpa memberikan sokongan kepada saya.
“Ini kerana saya bukan ingin menunjukkan yang saya bagus atau tidak kepada orang tetapi hanya ingin berkongsi tentang perkara yang boleh membawa kebaikan,” kata Amer lagi
No comments:
Post a Comment