Susan memiliki personaliti dan aura tersendiri setiap kali beraksi di kaca televisyen mahupun layar lebar.
Maka itu, tidak hairanlah jika Susan diangkat sebagai salah seorang pelakon bukan Melayu yang paling berjaya dan terbaik dalam generasinya.
Tidak keterlaluan dikatakan, kejayaannya juga dilihat sebagai pendorong kepada pelakon bangsa lain untuk menjejaki langkahnya dalam bidang seni.
Lantas, apabila berpeluang berbual dengan Susan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, ia membawa penulis peluang mendekati jiwa seninya.
Pada usia 48 tahun, Susan masih memiliki pesona seorang aktres. Gaya pertuturannya tetap sama seperti mana yang pernah ditonton dalam mana-mana medium ketika di zaman kegemilangannya.
Kepada Susan, penulis bertanya mengenai kehilangannya dari gelanggang seni yang menjadi tanda-tanya ramai peminat hiburan dan juga pengamal media.
Sambil menguntum senyum, Susan memberitahu, dia sebenarnya masih lagi aktif dalam bidang seni.
"Ini bidang yang saya cinta. Mana mungkin saya melupakannya begitu sahaja. Walaupun tidak lagi membintangi mana-mana drama mahupun filem, tetapi saya masih bergiat dalam dunia teater sebagai seorang penulis skrip dan filem.
"Pada masa yang sama, saya sibuk mengendalikan dua perniagaan saya dalam bidang hiasan dalaman dan landskap yang sudah saya usahakan lebih lima tahun.
"Sengaja saya mencari peluang perniagaan di luar bidang seni kerana saya mahu melakukan sesuatu yang saya minati sejak dulu lagi," katanya yang fasih berbahasa Melayu.
Bosan
Dalam kerancakan berbual, Susan tiba-tiba meluahkan isi hatinya apabila ditanya apakah benar dia merajuk seperti yang disangka ramai.
Katanya, istilah itu tidak pernah ada dalam dirinya sebaliknya, dia berasa bosan apabila sering diberikan watak dan skrip yang sama.
Memiliki darah campuran sepertinya, jelas Susan, bukan mudah seperti yang disangka kerana acap kali dia dilambakkan dengan watak-watak yang begitu klise.
Kemuncak kebosanan Susan ialah sekitar tahun 1994 apabila ketika itu dia sibuk mempromosi album sulungnya, Takdir dan pada masa yang sama dia menerima tawaran berlakon yang cukup banyak.
Dalam kesibukan itu, sempat dia meneliti semua skrip yang diterima namun tiada satu pun yang memikat hatinya kerana hampir kesemuanya menawarkan watak yang sama.
Sehinggalah dia menerima tawaran daripada Rashid Sibir untuk membintangi filem Sutera Putih pada tahun 1996 di samping penyanyi Shima dan Bonnie Sta Maria.
"Saya menerima tawaran Rashid kerana watak dalam filem itu memang cukup mencabar. Saya juga pernah membintangi sebuah telemovie arahannya dengan membawakan watak sebagai seorang superstar yang cukup saya suka.
"Setelah selesai semuanya, saya mengambil keputusan untuk merehatkan diri dan melupakan dunia glamor dengan membawa diri merantau jauh ke seluruh dunia.
"Selama hampir 20 tahun menjadi anak seni, saya sudah penat kerana bekerja tanpa henti. Dan, benarlah kata orang, apabila menjadi seorang yang popular, adalah menjadi tugas kita untuk menghiburkan mereka.
"Tetapi, apabila pulang ke rumah, hidup kita menjadi kosong dan tiada siapa yang menggembirakan kita. Kerana itulah, saya berkelana jauh dan ia benar-benar buat saya gembira.
"Selain dapat melihat negara orang, saya juga dapat menambah kenalan baru dan mempelajari bahasa asing yang tidak kesempatan saya lakukan sebelum ini. Semua itu cukup menggembirakan dan mengisi hati saya yang kosong itu," ujar anak sulung daripada dua beradik ini yang boleh bertutur dalam bahasa Perancis dan Sepanyol.
Google: Susan facebook, susan twitter, gambar terkini susan, susan yang seksi, skandal terbaru susan
No comments:
Post a Comment