Zaibo atau nama sebenarnya, Zainal Ariffin Abd. Hamid, 54, selamat diijabkabulkan dengan Hawa Shawal, 45, dengan mas kahwin RM22.50 di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, pukul 3 petang tadi.
"Tempoh perkenalan kami sudah berusia 10 tahun namun hanya tiga tahun kebelakangan ini saya mula rapat dengan Hawa.
"Dua minggu lepas, tiba-tiba hati ini terbuka untuk memperisterikannya dan menamatkan zaman bujang saya yang sudah terlalu lama," katanya ceria ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.
Mengimbas detik perkenalan mereka, Zaibo memberitahu pada mulanya dia hanya menganggap Hawa sebagai adik angkat selepas diperkenalkan oleh kakak isterinya, Hajijah Shawal yang merupakan kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor.
Bagaimanapun, lama-kelamaan perasaan itu bertukar sayang sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk membina mahligai bersama.
"Buat masa ini, saya akan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat memandangkan isteri mempunyai anak yang masih bersekolah di sana," katanya yang agak malu-malu untuk bercerita lanjut mengenai kisah cinta mereka.
Ditanya tentang destinasi bulan madu, Zaibo menjawab: “Itu sangat rahsia. Bagaimanapun, saya akan sibuk dengan penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan terlibat dengan program masakan Pelik Tapi Sedap musim kedua bermula minggu depan.”
Zaibo telah menetapkan untuk mengadakan majlis perkahwinan ringkas tanpa upacara persandingan.
Biarpun begitu, selepas upacara akad nikah, pasangan itu diraikan dalam satu resepsi kecil di rumah pengantin perempuan pada sebelah petangnya di mana tetamu dihiburkan dengan persembahan kuda kepang.
“Saya rasa gembira kerana telah bergelar seorang suami sekarang. Gelaran ini datang dengan maruah dan saya akan menggalas tanggungjawab perkahwinan dengan sebaiknya,” janji pengacara Pelik Tapi Sedap ini yang turut muncul dalam drama Tari Tirana dan Under One Roof
Dalam pada itu, Zaibo turut mengucapkan terima kasih kepada peminat dan juga rakan media yang selama ini banyak menyokong dan mendoakan kesejahteraannya.
No comments:
Post a Comment