SAAT pelbagai kontroversi singgah dalam perkahwinan ramai selebriti dan kemelut yang tidak pernah berakhir melanda hingga ada kalanya terpaksa diheret ke pintu mahkamah, bintang kecil molek, Amy Mastura Suhaimi hanya memerhati dari jauh.
Berbisik jauh di hatinya, siapa pernah menjangka ketentuan yang tersurat. Biar sebesar mana usaha yang sudah diletak, jika jodoh tiada lagi, apa saja penyelesaian akan terhenti.
Buat dirinya sendiri yang kini 10 tahun bergelar isteri kepada Alvin Thamm Suffian, keutamaan dalam sebuah hubungan adalah keserasian dan soal memahami serta bertolak ansur.
SERASI...Amy dan Riezman menghidupkan watak suami isteri dalam Aku Tak Bodoh.
TERSENDIRI...lebih sedekad menjadi anak seni, Amy sentiasa memberi impak dan dimensi yang berbeza.
Penguat kasih sayang yang ada buat penyanyi kelahiran Ipoh, Perak ini adalah dua puteri comel yang banyak mewarisi sifatnya, Adriana, 9 tahun, dan Adalia berusia lima tahun.
Menurut bintang berusia 39 tahun ini, sejak dulu lagi dirinya lebih selesa jika tidak terlalu meletak soal peribadi dan keluarga seiring dengan rencana kerjaya.
Malah sokongan dan restu daripada suami yang tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif menjadi anak seni adalah sebuah cenderahati yang tiada tolok bandingnya.
"Alhamdulillah tidak pernah pula saya diuji dengan kisah negatif sepanjang mendirikan rumah tangga. Mungkin kerana sejak awal perkenalan, suami mengerti soal kerjaya dan saya pula sentiasa memahami keinginannya.
"Justeru tidak akan timbul soal perselisihan faham atau rasa kurang selesa antara kami. Yang penting adalah keserasian dan komunikasi jika timbul masalah. Perbincangan adalah terapi paling mujarab dalam sebuah hubungan.
"Kelakarnya, suami langsung tidak mengambil peduli soal kerjaya saya. Ada kalanya dia tidak pernah tahu filem lakonan saya atau jadual promosi untuk sesebuah filem atau album.
"Yang penting, dia percaya dan kami berdua saling sedar tanggungjawab masing-masing. Benarlah nasihat orang tua, kejujuran dan rasa ikhlas sangat penting untuk terus memimpin hubungan.
"Siapa sangka, saya sendiri terkejut apabila mengimbas kembali perjalanan lebih 10 tahun kami bersama dan membesarkan dua permata hati. Ia adalah sebuah pelayaran terindah buat kami sekeluarga," katanya.
Jika sebelum ini, lama juga penyanyi, pengacara yang juga pelakon popular ini kerap melarikan diri daripada lensa publisiti kerana akur akan tanggungjawab membesarkan anak dan memberi tumpuan pada keluarga, kini Amy mula berani mencatur langkahnya untuk kembali mewarnai kerjayanya yang agak lama bergerak perlahan.
"Memang saya banyak jauhkan diri daripada pelbagai aktiviti seni beberapa tahun kebelakangan ini memandangkan dua puteri saya lebih memerlukan perhatian.
"Maklumlah, soal membesarkan dan mendidik anak bukan perkara mudah, sebaliknya ia memerlukan pemerhatian sempurna. Justeru, lama juga saya meletak fokus kepada mereka dan tidak banyak mengambil undangan atau sebarang tawaran.
"Alhamdulillah sekarang Adriana dan Adalia sudah boleh ditinggalkan dengan pembantu rumah jika saya keluar bekerja. Seronoknya menjadi ibu adalah cabaran yang perlu saya sahut.
"Anak semakin besar dan pelbagai perkara, kerenah dan perangai baru yang mereka akan lakukan. Sebagai ibu, saya juga perlu sentiasa bersedia dengan jawapan atau corak penyelesaian untuk menjawab apa saja persoalan mereka.
"Rezeki dalam lapangan lakonan tidak pernah putus setakat ini. Mungkin kepercayaan orang lain terhadap saya sudah ada. Saya akan mempertimbangkan jika ada tawaran datang atau sebarang undangan nyanyian yang singgah buat saya," katanya.
Bertemu dengannya sempena mempromosi filem terbaru lakonannya, Aku Tak Bodoh yang bakal ditayangkan bermula 2 Disember ini, Amy yang pernah menjulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-14 menerusi Puteri Impian tidak henti-henti bersembang menceritakan perkembangan barunya.
"Filem Aku Tak Bodoh sebuah naskhah tersendiri baik daripada aspek plot ceritanya mahupun pembangunan setiap watak. Saya seronok melakonkan watak seorang ibu kerana jujurnya, ia dekat dengan diri sendiri dan mudah untuk saya terjemahkan emosi yang dikehendaki pengarah.
"Maklumlah, saya sendiri seorang ibu dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri serta karakter bagi mengundang rasa sayang buat anak.
"Saya perlu berdepan masalah dua anak lelaki yang punya karakter berlainan. Silapnya saya sebagai ibu dalam filem ini, kerjaya adalah keutamaan dan tanggungjawab kepada anak dan keluarga diletak kemudian, menyebabkan anak hilang arah dan mencari keseronokan lain di luar.
"Timbul pelbagai konflik dan suami sering menyalahkan isteri dalam isu membesarkan anak. Senario ini adalah situasi yang sering berlaku di kalangan keluarga di bandar dan isteri berkerjaya.
"Setakat ini, saya memang sibuk untuk mempromosi filem ini dan mengajak semua peminat untuk kembali melihat aksi saya di layar perak," katanya yang pernah muncul dalam beberapa filem hebat termasuk Impian, Tragedi Oktober, Trauma, Bintang Hati dan Hooperz sebelum ini.
Tidak hanya itu, penyanyi yang kali terakhir muncul dengan album penuh berjudul Happy tahun lalu ini turut sibuk merencana langkah kerjayanya bagi terus mengukuhkan jenama sedia ada.
"Insya-Allah saya bakal muncul dengan filem arahan Ahmad Idham berjudul Damping Malam tahun depan. Ia sebuah lagi dimensi baru buat diri saya sebagai pelakon, di mana genre yang diangkat adalah seram dan ini akan memberi pengalaman baru buat saya.
"Malah dalam masa sama, saya gigih mengumpul material untuk album baru yang mungkin memulakan proses pembikinan awal tahun depan.
"Alhamdulillah nama saya masih ada dan peminat tidak henti-henti memberi sokongan meskipun wajah baru banyak mewarnai pentas seni.
"Undangan nyanyian juga masih ada dan pastinya saya sentiasa mencari jalan untuk menampilkan sesuatu yang baru kepada peminat di masa depan," katanya yang turut pernah mewarnai pentas teater menerusi Gamat.
Google: Amy Mastura facebook, Amy Mastura twitter, gambar terbaru Amy Mastura, skandal terbaru Amy Mastura, Amy Mastura biodata, Amy Mastura seksi, Amy Mastura berlakon teater, rumahtangga Amy Mastura goyah
No comments:
Post a Comment