Shahir telah dilabel sebagai seorang artis yang tidak berdisiplin gara-gara kerap menghilangkan diri pada saat-saat akhir dalam mana-mana majlis yang membabitkan penyertaannya.
Tidak cukup dengan itu, anak jati Perak Darul Ridzuan ini juga mula buat hal dengan pihak media apabila didakwa gemar membatalkan temu janji pada saat akhir.
Tidak cukup dengan itu, Shahir juga kononnya bagaikan kaduk naik junjung apabila dikatakan sudah pandai meminta bayaran jika mahukan dirinya muncul dalam mana-mana penerbitan.
Memang tindakan Shahir itu cukup berani untuk artis yang tidak sampai setahun berkecimpung dalam lapangan seni. Sedangkan artis senior ternama tidak pernah berbuat demikian.
Apa sudah jadi sebenarnya dengan Shahir? Benarkah dia sudah menjadi seorang yang lupa daratan?
Bukan hanya kisah masalah disiplinnya yang dijaja di media massa sehingga menyebabkan peminat setianya tidak tenteram, tetapi ada lagi kisah
hangat yang diperkatakan tentang anak muda ini.
Bayangkan, tidak sampai setahun menjadi artis, Shahir sudah mampu memandu kereta mahal dan mewah serta mendiami rumah banglo yang dikatakan bernilai lebih RM1 juta.
Kalau fikir secara logik, mana mungkin dan memang mustahil untuk artis baru dan mentah seperti Shahir untuk memiliki kemewahan seperti itu.
Kalau ada yang mampu sekali pun, barangkali hanya akan dapat dimiliki oleh sesetengah artis popular mungkin dalam tempoh tiga hingga tujuh tahun menjadi anak seni.
Jadi, adakah benar Shahir dibela dan ditaja oleh seseorang sehingga mampu hidup dalam kemewahan sebegitu rupa?
Persoalan demi persoalan mula timbul dan untuk mendapatkan penjelasan dari mulut Shahir sendiri memang sukar dalam tempoh ‘kehilangannya’ beberapa bulan kebelakangan ini.
Menyedari dia tidak lagi mampu bersembunyi atau meyimpan rahsia yang dipendam itu, Shahir bingkas bangkit dan tampil ke depan untuk menjernihkan keadaan sebelum menjadi lebih keruh seperti Sungai Gombak.
Tidak berasas
Begitu juga dengan kisah hidupnya ditaja oleh seorang yang berpangkat VIP gara-gara memandu kereta mewah dan tinggal di banglo yang tersergam indah.
Tidak langsung meninggikan suaranya atau menunjukkan reaksi tidak selesa tatkala diajukan dengan soalan panas itu, Shahir memberikan justifikasi terhadap cerita yang disifatkannya tidak berasas itu.
Walhal kata Shahir, kereta dan banglo yang diperkatakan ramai itu sebenarnya milik keluarga angkatnya yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarganya di Kampar, Perak.
“Jujurnya, kisah saya ditaja itu tidak benar sama sekali. Saya tahu semuanya bermula selepas kereta saya mengalami kemalangan dan kemudiannya saya memandu pula kereta BMW.
“Jadi, semua itu adalah milik keluarga angkat saya. Kebetulan ketika kereta saya rosak teruk, ibu angkat saya membenarkan saya menggunakan kereta barunya itu kerana hadiah kereta sewaktu menang AF8 masih belum diterima.
“Begitu juga kisah tentang rumah banglo, semuanya dusta kerana di situlah tempat saya menumpang teduh. Keluarga saya di Perak memang tahu dan kenal rapat dengan keluarga angkat saya itu.
“Tiada lebih yang saya minta agar semua kisah dusta ini tidak lagi dibangkitkan kerana ia memang tidak benar sama sekali. Kini, saya sudah menggunakan kereta kemenangan saya sebagai Juara AF8 iaitu Peugeot 207,” katanya sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi selepas membuka pendakap giginya pada November lalu.
Harapan
Dengan penuh harapan yang tinggi menggunung, Shahir mengharapkan tahun 2011 akan memberi sinar baru yang terus menerangi perjalanannya sepanjang tahun ini.
Malah, Shahir juga cukup sedar jika bukan kerana peminat dan pihak media, tidak mungkin dia terus berdiri teguh di persada seni tanah air untuk menjadi seorang penyanyi yang disegani ramai.
“Saya harap dengan penjelasan saya ini akan dapat memberi gambaran sebenar kepada masyarakat apa sebenarnya yang berlaku dalam kehidupan saya kebelakangan ini.
“Tiada apa yang merisaukan saya kerana hanya saya dan Allah SWT sahaja yang tahu apa yang berlaku. Saya juga sedar sampai bila harus saya mendiamkan diri kerana saya perlu tampil untuk menjelaskan perkara sebenar.
“Istilah menyesal juga tidak ada dalam kamus hidup saya kerana saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Saya akan menyesal kalau tiada kerja untuk saya lakukan lagi selepas ini,” ujar Shahir dalam nada yang cukup optimis.
No comments:
Post a Comment