Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Tuesday, January 4, 2011

Soal menang bukan agenda utama - Faizal Tahir


JIKA mengikut trek rekod Faizal Tahir dalam sejarah Anugerah Juara Lagu (AJL), tahun ini merupakan penyertaannya kali keempat dalam pertandingan anjuran TV3 itu.

Sekadar menyedarkan kembali ingatan pembaca, kali pertama Faizal menyertai AJL adalah pada tahun 2008 dengan dua buah lagu iaitu Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta.

Malangnya, kerana kesilapan dirinya sendiri, Faizal dilarang membuat persembahan gara-gara kes buka bajunya sehingga terpaksa digantikan dengan juara Mentor musim kedua, Fiq serta finalis Akademi Fantasia musim kedua, Bob.

Setahun selepas itu, Faizal menebus kekecewaannya apabila sekali lagi dia bertanding dengan dua buah lagu iaitu Cuba dan Sampai Syurga.

AJL23 menyaksikan rezeki benar-benar berpihak kepada Faizal apabila dia merangkul tiga trofi iaitu Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan juara kategori Balada bagi lagu Sampai Syurga.

Tahun lalu pula boleh dikatakan tahun yang cukup menyiksakan buat Faizal apabila terpaksa bertanding dalam kesakitan kerana penyakit trombosis pembuluh darah (DVT).

Biarpun tewas kepada lagu Pergi ciptaan dan lirik oleh Pete Teo serta Amran Omar, Faizal tetap berpuas hati dengan kemenangan Bencinta di tempat ketiga.

Bagaimana pula tahun ini? Adakah gelaran Juara Lagu 25 akan menjadi milik Faizal sementelah dua buah lagunya, Selamat Malam dan Hanyut berjaya ke AJL25.

Pemerhati dan peminat dunia hiburan tempatan yang kini mula berteka-teki meramalkan AJL25 dengan mudah akan menjadi milik Faizal.

Bertemu dengan empunya badan dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Faizal dengan pantas menggelengkan kepalanya saat diajukan persoalan itu.

Bukan tidak yakin pada dirinya, tetapi dengan penuh rendah diri, Faizal langsung tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi sebarang kategori tahun ini.

Baginya, persaingan kali ini cukup sengit dan dia sendiri terkejut apabila Selamat Malam serta Hanyut menjadi pilihan juri di peringkat separuh akhir sehingga melayakkan dua lagu mara ke pentas akhir.

"Saya menganggap semua ini sebagai rezeki dan saya sendiri tidak menyangka Selamat Malam dan Hanyut berjaya ke AJL25. Saya menyangkakan lagu Adrenalin yang akan terpilih kerana saya percaya dengan kekuatan lagu itu.

"Lagipun, ia sungguh menyeronokkan apabila dapat membuat persembahan dengan lagu yang cukup rancak di pentas akhir.

"Namun, apakan daya dan nampaknya rezeki berpihak kepada Selamat Malam dan Hanyut. Bagi saya kalau satu lagu saya ke peringkat akhir, itu sudah memadai buat saya," kata Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir ini penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...