Dari jauh lagi, wakil Rap melihat pelakon Zed Zaidi sibuk menyediakan minuman untuk pelanggan di dapur restoran berkenaan sambil dibantu beberapa pekerjanya. Zed yang juga pemilik nama sebenar, Rozaidi Abdul Jamil, 30, tampil segak dengan pakaian seragam dan bertopi chef cukup ramah dan mesra ketika melayan pelanggan dengan menu di tangannya. Ternyata, bergelar tauke restoran bukan bermaksud Zed hanya duduk goyang kaki saja di rumah dan menyerahkan bulat-bulat kepada pekerja atau empat rakan kongsi perniagaannya.
Malah, bintang filem Cuti-Cuti Cinta dan Awan Dania musim baru ini membuktikan dirinya bukan saja bijak merancang masa depan dengan menceburi bidang perniagaan, sebaliknya cekap ketika di dapur.
Bukan saja pelanggan, Zed turut menjamu beberapa rakan artis yang sama-sama bernaung di bawah payung syarikat pengurusannya, Aquila Emas Sdn Bhd, Diana Johor, Hafiz Halim dan Amar Delon serta Pengarah Urusan Aquila Emas, Syarizan Md Isa yang turut memberi sokongan kepadanya. Hadir sama, salah seorang rakan kongsinya, Mohd Nizam Morad.
Berkongsi minatnya dalam bidang bisnes, anak kedua dari empat beradik ini mengakui meminati bidang berkenaan, sejak dulu.
"Saya berasal dari keluarga sederhana dan kami memang dibesarkan untuk hidup berdikari sejak kecil. Kedua ibu bapa juga mendidik kami mencari duit poket sendiri dulu. "Kami dilatih macam askar dan hanya dapat duit poket dengan mencuci tandas atau melipat kain di rumah. Justeru, minat berniaga ini semakin bercambah apabila dewasa dan mula berjinak dengan dunia perniagaan dan menubuhkan syarikat sendiri, Dzed Resources Sdn Bhd, DMB Kembara Sdn Bhd, Bintang Dahlia Sdn Bhd (BDSB). Restoran francais ini juga dibawah BDSB," katanya.
Lebih bermakna, kata Zed, dia membuka francais restoran itu daripada duit titik peluhnya dalam bidang seni.
"Saya juga mengumpul wang selama lima tahun sebagai modal untuk membuka restoran ini. Pada masa sama, saya mempelajari selok-belok bisnes francais ini sebelum yakin untuk menceburinya.
"Idea membuka francais restoran ini tercetus ketika saya melepak bersama rakan di kopitiam. "Pada mulanya, saya merancang membuka restoran lain tapi nampaknya, rezeki saya dan rakan kongsi untuk membuka restoran tempatan ini pula. "Semua rakan kongsi mempunyai pengkhususan tugas masing-masing. Contohnya, saya menguruskan bahagian pengurusan acara dan jokey kerana kami juga menyediakan khidmat untuk majlis hari jadi, sidang akhbar, majlis pelancaran album dan drama artis tempatan.
"Restoran ini mampu menampung 250 orang dalam satu masa. Saya sendiri lebih suka membuat temu janji dengan rakan atau orang lain di sini. Setakat ini juga, restoran ini mendapat sambutan sangat menggalakkan dari pelanggan," katanya. Kata Zed lagi, kelebihan restoran itu ia beroperasi selama 24 jam sehari dan julung kalinya di Malaysia. Lokasi restoran ini dipilih kerana ia strategik manakala harga makanan dan minuman yang dijual juga pada harga yang berpatutan bermula dari RM8.90. "Kami juga mempunyai lebih 30 kakitangan dan seorang pengurus. Antara menu yang mendapat sambutan ramai ialah kuetiau, chicken chop, sarapan seperti roti bakar susu, Papa Bun, minuman Papa Cham, longan susu dengan madu dan ais, Ais Krim Papa Mocha, Papa Cendol dengan aiskrim, puding telur dengan ais krim," katanya. Kesibukan menguruskan restoran tidak menghalang Zed yang berstatus bujang ini berlakon dan menyambung pengajiannya di universiti.
"Karier seni dan pengajian tidak terjejas kerana saya ada syarikat pengurusan yang menguruskan karier lakonan saya. Pada masa sama, saya juga ada pembantu peribadi yang membantu menguruskan pakaian dan di lokasi penggambaran drama dan filem," katanya.
Ditanya kenapa dia menyambung pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), kata Pemangku Timbalan Presiden, Persatuan Seniman ini, dia menunaikan tanggungjawab kepada Seniman.
"Persatuan Seniman yang menganjurkan program pendidikan kepada ahli yang juga artis muda untuk menyambung pengajian dan menjadi artis berilmu.
"Selain saya, ahli persatuan yang menyertai program pendidikan ini di UUM ialah Zahid AF, Zehra Zamri, Noh Hujan dan ramai lagi," katanya.
Zed adalah pemegang Diploma Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Pentadbiran Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dalam perkembangan lain, Zed yang juga pelakon filem Senjakala ini baru selesai penggambaran drama bersiri popular Awan Dania musim baru di Australia. Dia bawa watak kapten Iman yang juga kawan Dania lakonan Scha Al Yahya. Selain itu, dia sudah selesai membantu menerbitkan telefilem Along Gedebe terbitan A Aida Production.
No comments:
Post a Comment