Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Tuesday, January 4, 2011

Selamat tinggal dunia lakonan – Dafi


Rozita Che Wan menghadiahkan sejambak bunga buat Dafi yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-22.

PADA 14 Disember lalu, genaplah usia penyanyi remaja, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi mencecah usia 22 tahun. Diam tak diam, sudah tiga tahun pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu menceburkan diri dalam bidang seni sejurus dia keluar daripada rancangan realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

Bagi dirinya, 2010 yang baru sahaja melabuhkan tirainya beberapa hari lalu telah meninggalkan momen indah buat Dafi untuk dicatatkan dalam memori seninya.

Tanpa disedari Dafi sendiri, dia kini sudah pun bergelar pelakon lantaran penglibatannya menerusi beberapa buah drama yang ditayangkan sepanjang 2010.

Katanya, lakonan adalah satu cabang seni yang sememangnya diimpikan untuk diceburinya.

“Bermula dengan Hotel Mania, tawaran untuk berlakon datang satu demi satu selepas itu dan saya cukup seronok dengan pengalaman itu.

“Ia adalah peluang yang saya nanti-nantikan sejak keluar daripada AF. Kini, satu lagi impian saya sudah tercapai dan saya bersyukur kerana diberi peluang itu.

“Jadi, tahun hadapan saya akan berhenti daripada berlakon untuk fokus pada karier nyanyian saya,” cerita Dafi yang ditemui pada majlis ulang tahun kelahirannya dan upacara perasmian syarikat pengurusan artis dan acara miliknya, Laugh Out Loud Entertainment Sdn. Bhd. (LOL) di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lalu, kehadiran 2011 dijadikan platform buat anak kelahiran Pahang itu untuk membangkitkan kembali karier nyanyiannya yang telah ditinggalkannya sejak beberapa bulan lalu.

Selepas hasrat untuk menceburi dunia lakonan terlaksana menerusi drama Hotel Mania, Opah Popular, Misteri Alam Hitam dan Kecoh Bendul, Dafi kini hanya menyimpan hasrat mencuba nasib di pentas teater pula.

“Pentas teater memberikan pengalaman dan pandangan yang berbeza di samping boleh mencantikkan lagi portfolio seni saya.

“Saya dapat rasakan teater memberi cabaran kepada pelakonnya dan ia mengujakan saya,” tambahnya.

Namun, sejak terlibat dengan lakonan, dia merasakan karier nyanyiannya agak terpinggir dan dia berazam untuk membentuk semula kerjaya utamanya itu dengan identiti dan imej yang lebih segar.

Dalam perbualan itu juga, Dafi menjelaskan, itulah faktor utama penubuhan LOL yang bertanggungjawab untuk menguruskan hala tuju hidupnya dalam seni suara yang diceburinya tiga tahun lalu.

Dafi bankrap, baru saya tolong - Ismail Sabri

LANTARAN kematangan usianya itu, Dafi yang juga anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu kini melangkah setapak lagi untuk bergelar usahawan.

Ironinya, upacara perasmian syarikat miliknya itu disempurnakan sendiri oleh ayahnya, Ismail Sabri yang hadir bersama ibu Dafi, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin serta tiga adik-beradiknya yang lain.

Berkesempatan bertemu dengan Ismail Sabri pada majlis tersebut, peluang itu digunakan untuk merungkai persoalan adakah beliau yang menjadi penyuntik modal buat Dafi menubuhkan syarikat itu.

Namun, Ismail Sabri menafikan kenyataan itu dan menyatakan bahawa beliau hanya akan menolong Dafi jika anaknya itu diisytiharkan bankrap.

Walaupun nadanya dalam keadaan berseloroh, tapi tegas Ismail Sabri, beliau ingin mengajar anak kesayangannya itu merasai sendiri betapa susahnya untuk bergelar seorang usahawan berjaya.

“Saya mahu melihat Dafi berdikari dalam membina sebuah empayar perniagaan menggunakan titik peluhnya sendiri.

“Saya sendiri bukannya dilahirkan dalam keluarga yang senang. Jadi, saya harap dia boleh belajar untuk bersusah-susah dahulu sebelum bersenang-senang kemudian.

“Bagaimana pun, saya akan bantu dengan memberi sokongan moral dan juga berkongsi petua kejayaan bersamanya,” ujarnya sejurus merasmikan majlis pelancaran LOL yang bertemakan Masquarade Nite - The New Beginning itu.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga menyarankan agar Dafi mencontohi usahawan industri seni yang berjaya seperti Norman KRU.

Katanya, beliau ingin Dafi menjadikan Norman sebagai mentornya dalam meluaskan jaringan perniagaan LOL.

“Dafi juga perlulah kreatif dalam menyediakan khidmat atau produk perniagaannya. Biarlah ia sesuatu yang lain daripada yang lain,” nasihat Ismail Sabri buat anak keduanya.

Sementara itu, Dafi yang begitu gembira dengan pelancaran syarikat sulung miliknya itu, mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat peminatnya yang turut sama menganjurkan majlis berkenaan.

Katanya, LOL bekerjasama dengan Kelab Peminat Dafi Malaysia (DFCM) dalam menguruskan acara pada petang itu dan ia adalah projek pertama kendalian LOL.

Selaku Pengarah Urusan LOL, Dafi juga berterima kasih kepada seluruh ahli keluarganya yang memberi sokongan padu buatnya untuk menubuhkan syarikat itu.

Selain itu, tambah Dafi, rakan kongsinya Afeeq Wahab turut menjadi tunjang belakangnya dalam memastikan penubuhan syarikat itu berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

“Alhamdulillah, syarikat ini dah beroperasi sejak enam bulan lalu dan semuanya mengikut perancangan,” kata Dafi.

google: dafi facebook, dafi twitter, skandal terbaru dafi, dafi bercinta, gambar terbaru dafi, gosip terbaru dafi, dafi berhenti berlakon, album baru dafi, dafi terbit album

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...