Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Tuesday, January 4, 2011

Perginya Achik, Faizal Yusup Beri Impak Pada Siti Nordiana



Tidak pernah menduga segalanya berlaku dengan terlalu cepat, dalam sekelip mata penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana atau lebih dikenali dengan Nana telah kehilangan dua orang yang disayanginya secara bertimpa-timpa.

Bermula dengan pemergian rakan duetnya yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, pada April tahun lalu kini bekas suaminya yang juga pelakon, Mohd Faizal Yusup pula pergi meninggalkannya untuk selamanya pada Sabtu lalu.

Biarpun berat untuk menerimanya, pelatun lagu Kasihmu Seakan Berubah ini akhirnya redha menerima ia sebagai satu ketentuan dan ujian daripada Ilahi terhadap dirinya supaya dirinya lebih kuat dan matang pada masa yang mendatang.

"Saya rasa kehilangan mereka ini sebagai satu peringatan daripada Allah buat saya. Semua yang berlaku telah menyedarkan diri saya bahawa sesiapa sahaja boleh pergi pada bila-bila masa kerana Allah mempunyai kuasa untuk menarik nyawa hambanya tanpa mengira masa dan usia.

"Apa yang pasti ianya sedikit sebanyak telah menginsafkan diri saya untuk sentiasa ingat kepada kematian. Pada saya semua yang berlaku atau yang ditentukan Tuhan itu pasti ada hikmahnya dan saya redha," katanya.

Bercakap mengenai pemergian bekas suaminya, Nana menyifatkan ia sedikit sebanyak telah memberi impak yang mendalam terhadap dirinya kerana Faizal telah menunjukkan tanda-tanda awal yang dia akan perggi untuk selamanya tetapi dia sedikit pun tidak pernah mempedulikannya.

"Bayangkanlah terlalu banyak tanda-tanda yang diberikan kepada saya untuk memberitahu yang dia akan pergi untuk selamanya. Sejak sebulan yang lalu perangainya bagi saya ibarat seperti seorang yang buang tabiat. Sejak akhir-akhir ini dia sangat mengambil berat tentang diri saya serta selalu memberi semangat kepada saya untuk lebih kuat dalam menempuh hidup serta dalam masa yang mendatang.

"Sikapnya sangat berbeza kerana selama ini dia bukan sahaja jarang nak ambil tahu apa yang saya lakukan malah tak pernah pun kisah tentang diri saya sejak kami berpisah. Sampai satu tahap saya seperti ingin bertanyakan sendiri mengapa dia bersikap terlalu baik kepada saya, cuma ia tidak terungkap sehinggalah dia pergi," jelasnya.

Berbeza dengan apa yang dia rasa selepas kehilangan Faizal, perginya rakan duetnya, Achik telah membuatkan dirinya betul-betul berada dalam keadaan yang sangat tertekan.

"Kehilangan Faizal setidak-tidaknya saya dapat rasakan perubahannya tetapi kehilangan Achik benar-benar mengejutkan saya. Sehinggakan saya sangat tertekan dan sesak nafas ketika itu kerana ia berlaku dengan terlalu pantas dan saya orang terakhir berjumpa dengannya.

"Bukan terkilan tetapi perkara terakhir yang kami rancang hanya tinggal kenangan. Kami plan nak buat lagu duet tradisional kerana saya suka dengan suaranya yang sangat merdu apabila menyanyikan lagu-lagu irama Malaysia. Namun ia tidak kesampaian kerana dia pergi sebelum kami dapat menunaikan hasrat kami itu. .

Dalam pada itu, Nana juga berasa sesal kerana tidak memenuhi permintaan arwah bekas suaminya pada saat-saat akhir sebelum dia pergi.

"Sedikit terkilan apabila dua hari sebelum dia meningggal dunia saya tidak benarkan dia untuk mengambil anak saya bermula pada 4 hingga 7 Januari 2011 kerana saya baru sahaja dapat meluangkan bersama anak saya selepas selesai menjayakan pengambaran drama Nenas Dan Ikanku untu RTM selama dua bulan. Lagipun, selama dua bulan yang lalu Rayyan berada dibawah jagaannya.

"Lebih terkilan lagi petang sehari sebelum dia meninggal dunia dia ada meminta untuk membuat panggilan 3G bersama Rayyan tetapi disebabkan saya waktu itu sedang sibuk, sampaikan saya sendiri terlupa untuk menghubunginya semula pada malam hari tersebut. Kemudian, keesokan harinya saya terus dapat tahu yang arwah sudah tiada," sesalnya.

Walaubagaimanapun, Nana masih lagi bersyukur kerana kewujudkan Muhammad Rayyan Nakhaie, 2, yang merupakan anak hasil perkongsian hidupnya dengan Faizal sedikit sebanyak telah membuatkan dirinya berasa dekat dengan arwah.

"Saya masih bersyukur kerana tuhan telah mengurniakan kami anak walaupun kami akhirnya berpisah. Setidak tidaknya Rayyan boleh menjadi peneman dan pengganti Faizal dalam hidup saya kini. Bila saya lihat Rayyan saya teringatkan Faizal kerana rupanya dan segala gerak-geri Rayyan amat serupa dengan Faizal," tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...