Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Thursday, January 6, 2011

Saksofon RM10,000 iringi Jamal Abdillah


DEMI Jamal Abdillah, komposer Datuk Dr. Ahmad Nawab sanggup mengeluarkan RM10,000 semata-mata untuk membeli saksofon baru bagi mengiringi persembahan Jamal pada Konsert J2011-Lagenda di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam esok sehingga 10 Januari.

Diterbangkan dari Florida, Amerika Syarikat, kata Ahmad Nawab, dia sebenarnya sudah lama mengidam untuk membeli saksofon jenama LA Sax itu.

Disebabkan itulah, beliau bukan sahaja perlu membuat tempahan awal tetapi juga terpaksa menunggu lama ketibaan pakej berharga itu.

Penantian Ahmad Nawab berakhir kira-kira sebulan lalu yang mana saksofon barunya itu tiba dan boleh digunakan.

"Terdetik di hati saya untuk membeli saksofon baru ini atas dua sebab. Pertama, kerana rupanya cantik... kombinasi dua warna hitam dan keemasan membuatkan saya tidak dapat menolak untuk membuat pesanan melalui e-bay.

"Kedua, saksofon ini akan saya gunakan buat pertama kalinya ketika membuat persembahan dan mengiringi Jamal pada konsertnya, malam esok," kata Ahmad Nawab.

Begitulah istimewanya insan seni bernama Jamal Abdillah di hati komposer merangkap penerbit album tersohor ini yang sanggup membeli saksofon baru untuk Konsert J2011-Lagenda.

Ditanya apakah beliau sanggup terbang ke Florida untuk membeli saksofon itu sekiranya tiada khidmat penghantaran terus?

Ahmad Nawab berkata, "Jika saya terpaksa terbang ke Florida untuk membeli saksofon itu, saya sanggup lakukannya.

"Bagaimanapun apabila e-bay boleh menerima tempahan dan membuat penghantaran terus kepada saya, maka tidak perlulah saya terbang ke sana,'' katanya sambil ketawa.

Kemunculan Ahmad Nawab di segmen kedua selama satu jam di Konsert J2011-Lagenda, nanti memperlihatkan persembahan dua lagu secara instrumental manakala empat lagu lagi mengiringi Jamal Abdillah.

Alunan LA Sax hitam keemasan itu dijangka mengulit halwa telinga peminat Jamal Abdillah menerusi beberapa buah lagu antaranya Jeritan Batinku, Dimana Kan Ku Cari Ganti dan Jangan Tinggal Daku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...