Dek kerana persamaan itu, pelakon dan penyanyi ini telah terpilih untuk memegang watak Lat dalam Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 16 Mac hingga 3 April ini.
Malah, Awie mengakui sendiri persamaan itu telah memberikan keyakinan untuknya menerima tawaran berlakon dalam muzikal tersebut .
"Terus-terang katakan, pada awalnya saya sendiri terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memegang watak paling besar dalam muzikal ini iaitu watak Lat. Malah, pada awalnya, saya juga terpaksa menolak tawaran ini kerana sibuk dengan komitmen terhadap konsert Double Trouble pada November dan Disember lalu.
"Ini kerana, pada asalnya produksi mahu memulakan latihan pada hujung tahun lalu. Namun setelah dipertimbangkan semula, akhirnya pihak penerbit bersedia untuk menukar tarikh dan saya terus berubah fikiran.
"Lebih-lebih lagi selepas ditunjukkan dengan gambar Datuk Lat pada usia 30-an yang nampaknya hampir serupa dengan rambut panjang dan gaya saya. Cuma beazanya, dia tidak berjanggut dan bermisai seperti saya.
"Mungkin bila ia dipentaskan nanti saya perlu mencukur misai dan janggut untuk kelihatan serupa dengannya," jelasnya yang ditemui selepas sidang media Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal yang telah berlangsung di Istana Budaya, semalam.
Menurut Awie lagi, dia turut meminta pandangan daripada adik kepada Datuk Lat iaitu pengarah filem, Mamat Khalid sebelum dia menerima tawaran tersebut.
"Bagi saya, tawaran ini amat besar dan saya terimanya sebagai satu penghargaan buat diri saya kerana bukan senang peluang ini nak datang dalam setiap pelakon dan penyanyi. Jadi saya pun menerimanya. Nyata saya mendapat maklum balas yang baik daripada sifu saya iaitu abang Mamat Khalid," katanya lagi.
Teater terbitan bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Tall Order Production (TOP) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu merupakan teater pertama yang diadaptasi daripada sebuah novel grafik ke bentuk teater muzikal.
Menurut penerbit TOP yang juga merangkap pengarah teater tersebut, Hans Isaac berkata pementasan teater itu juga bersempena ulang tahun kelahiran Lat k- 60 yang bakal disambut pada 5 Mac 2011 ini.
"Bukan mudah untuk menerbitkan teater ini. Saya dan Harith Iskander (pengarah bersama) telah berjumpa dengan Lat di rumahnya di Ipoh, Perak dan kami tinggal di sana selama tiga hari untuk mengenali Lat secara lebih dekat.
"Kemudian, Harith telah membuat skrip tersebut dan ia kemudian diberikan kepada beberapa penggiat seni lain antaranya Mamat Khalid dan Adlin Aman Ramlie untuk dinilai serta dikaji dengan lebih teliti dulu.
"Bayangkan skrip tersebut telah ditulis semula sebanyak 15 kali, semata-mata untuk memantapkan lagi pementasan teater tersebut," katanya kepada murai.com.my.
Tambah Hans, kos teater tersebut adalah lebih besar berbanding pementasan Cuci The Musical yang diterbitkannya pada tahun lalu.
Ini kerana penggunaan barangan teknikal baru akan dimasukkan dalam teater tersebut untuk menghasilkan efek bunyi yang mantap serta visual-visual yang dilihat seperti sebuah teater animasi.
"Memang sukar untuk menggambarkan bagaimana teater ini dipentaskan kerana ia membabitkan lakonan realiti serta visual animasi yang saya sendiri juga tidak tahu hasilnya. Ini kerana kami menggunakan sepenuhnya barangan teknikal terbaru semata-mata untuk pementasan ini.
"Selain itu sebanyak 10 buah lagu baru akan dicipta khas sempena pementasan teater ini. Lagu yang dihasilkan nanti pastinya di luar jangkaan sesiapa pun," katanya.
Antara pelakon yang bakal menyertai pementasan Lat Kampung Boy ialah Awie sebagai Lat, Atilia (Faizah - isteri Lat), Jalil Hamid (Bapa Lat), Datuk Rahim Razali (Pak Samad), Douglas Lim (Franky, kawan baik Lat) dan Sandra Sodhi sebagai Mrs Hiew.
Tiket berharga dari RM30 hingga RM230 boleh dibeli menerusi laman web Ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.
No comments:
Post a Comment