Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Sunday, January 9, 2011

Lupakan kisah ''hitam'' itu - Ako


DAHULU saya pernah melakukan kesilapan. Sudah pasti saya tidak mungkin melakukannya semula. Saya enjoy puas-puas pada usia muda saya, dan berkahwin walaupun agak lambat. Bagaimanapun, kehidupan saya berubah 100 peratus selepas bergelar suami kepada Kartina Abdullah dan bapa kepada Merissa Tempawan yang baru berusia setahun pada 31 Disember lalu.

''Anak kecil itu telah mengubah seluruh kehidupan saya. Jadi lebih bertanggungjawab dan memikirkan tentang keluarga semata-mata. Kehadiran Merissa ke bumi ini cukup bertuah, membawa masuk rezeki kepada kedua-dua belah keluarga termasuk keluarga mentua.

''Tidak keterlaluan kalau saya cakap bahawa saya sudah tidak kisah dengan apa yang berlaku di keliling saya. Sebab saya sudah punya Merissa dan isteri yang cukup memahami keadaan saya selama ini,'' jujur Ako Mustapha tatkala berbicara mengenai kehidupannya masa kini.

Pelakon drama Halimah Jongang di Astro juga bertuah kerana suri hatinya yang berusia 31 itu bertindak menyokong dan penasihat atas apa sahaja yang diingini.

Wanita yang senang disapa Tina itu juga bertindak sebagai pembantu peribadi, mengingatkan skrip sebelum berlakon dan menyediakan keperluan peribadi suaminya sebelum ke set lokasi.

Sebab itu, pelakon yang bakal menginjak usia 40 tahun pada Februari depan amat memerlukan kehadiran Kartina pada setiap saat.

Baginya, wanita kelahiran Sandakan, Sabah itu juga sangat mustahak untuk sebarang perbincangan, perkongsian pendapat atau apa sahaja demi masa depan keluarga.

Pada masa yang sama, pemilik nama sebenar Muhaizad Ahmad Mustapha ini juga tidak peduli dengan pandangan serong pihak yang masih tak boleh menerima kehadirannya dalam industri dek peristiwa hitam kira-kira tiga tahun lalu.

Tatkala dia terlibat dalam satu kes khalwat dengan seorang jurusolek bukan Islam yang memberi kesan keseluruhan buat suratan hidupnya.

''Manusia selalunya terkeliru dengan apa yang mereka ingini dan begitu juga dengan saya. Selama berada dalam industri 15 tahun ini, saya belajar banyak benda. Mengenali hati sebenar orang bukan satu perkara yang mudah. Sebab itu, saya terima kekhilafan diri ini dan berazam tidak mengulanginya.

''Saya juga tidak hairan kalau ada orang tidak suka dengan saya. Itu adalah hak mereka dan saya tidak punya kuasa untuk menghalang mereka,'' bicaranya dalam nada cukup berhati-hati pada setiap soalan yang dilontarkan.

Dihimpit persoalan sama ada pelakon drama kanak-kanak, Bius Batang Pisang di RTM ini menyesal menjadi figura awam, Ako menafikan sekeras-kerasnya.

Katanya, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dia memilih bidang seni kerana itu adalah minatnya sendiri dan tidak ada sesiapa yang menghalangnya.

Sementelah sudah lama berada dalam industri memungkinkan Ako berpatah semula ke kehidupan orang biasa sebelum ini. Apa yang dilakukan kini adalah membiarkan dirinya 'hanyut' mengikuti peredaran waktu.

Saat ditanya tentang rancangan Ako masa kini setelah mendiamkan diri seketika dari panahan lensa kamera media, lelaki ini memberitahu dia bakal menjadi ahli perniagaan tidak lama lagi.

''Ia masih dalam peringkat perbincangan. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini. Cukuplah untuk mengatakan bahawa ia sudah cukup untuk menjamin kehidupan kami sekeluarga,'' katanya jujur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...