Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Monday, January 10, 2011

Syamsul Mahu Berhenti Mengarah


SEJAK memperoleh kejayaan besar sebagai Pengarah Terbaik Filem menerusi Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) serta Lakon Layar Terbaik Filem bagi Anugerah Skrin ke-25 (ASK25) tahun lalu, nama Syamsul Yusof mula dijulang oleh penggiat seni yang mahu melihatnya menghasilkan filem-filem lebih hebat pada masa akan datang.

Bukan sahaja masyarakat, bapanya sendiri Datuk Yusof Haslam turut meletakkan harapan tinggi terhadap anaknya itu sehingga memberi tekanan buat Syamsul.

Namun, itulah balasan yang harus diterima oleh Syamsul dek kerana kejayaannya memperoleh anugerah berkenaan selain menjadi harapan besar buatnya untuk menjadi lebih kreatif dalam setiap pembikinan filemnya nanti.

Sepanjang sesi fotografi yang diadakan bersama Syamsul di sekitar Menara Star, Khamis lalu, pemuda berusia 26 tahun ini juga tidak tenang memikirkan respons penonton terhadap filem seram pertama arahannya iaitu Khurafat, yang bakal ditayangkan pada 13 Januari ini.

Kata Syamsul, sejak bergelar pengarah, fikirannya hanya diisi dengan idea-idea filem sahaja sehinggakan dia lupa yang umurnya masih muda dan perlukan untuk hidup bersosial seperti orang lain.

“Selain keluarga dan teman rapat kotak fikiran saya hanya berfikir tentang filem sahaja. Malah, hobi saya turut dikaitkan dengan filem seperti menonton wayang.

“Mungkin kerana saya sudah memberi fokus sepenuhnya terhadap filem, saya tidak ada benda lain yang perlu dibuat selain melakukan perkara-perkara yang membabitkan filem.

“Kadang-kala jika saya tidak ada apa-apa urusan, saya akan memandu kereta berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur (KL) sambil memikirkan idea-idea baru,” tuturnya.

Korban zaman remaja


Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu, mungkin kerana cara didikan yang diberi oleh ayahnya, membuatkan dia selesa dengan kehidupannya yang hanya berada dalam dunia perfileman sahaja.

“Saya gembira memiliki ayah yang memberi petunjuk kepada saya. Tanpa dia, mungkin saya tidak akan berjaya seperti sekarang.

“Malah saya juga tidak kesal kerana tidak dapat merasai keseronokan zaman remaja saya. Memang diakui, sekali sekala saya cemburu dengan rakan-rakan yang dapat meluangkan masa melepak sambil menonton bola ataupun meraikan majlis-majlis hari jadi.

“Setiap perkara yang kita inginkan perlu pengorbanan bukan? Jadi saya korbankan sedikit zaman remaja saya dan fokus kepada karier. Saya ada sasaran sendiri di mana apabila usia saya sudah mencecah 35 tahun, saya akan berhenti mengarah mahupun berlakon. Cukup sekadar menyalurkan idea sebagai penerbit filem.

“Kemudian saya ingin memberi perhatian kepada keluarga pula. Mana tahu, mungkin saya akan berkahwin pada umur saya 35 tahun? Perancangan ini dibuat sebab saya tahu kesibukan saya sedikit sebanyak akan mengganggu konsentrasi saya kepada keluarga.

“Kadang kala, saya kasihan juga tengok ayah yang masih lagi bertungkus lumus menyiapkan skrip walaupun sudah berusia. Tapi pada masa sama juga saya kagum dengan kudratnya itu.

“Tapi, saya tak nak jadi sepertinya. Sebab itu saya korbankan masa muda saya dan nikmati masa rehat di usia tua jika saya dipanjangkan umur,” tuturnya.

Kisah sate kambing

Umum tahu, bukan mudah untuk menghasilkan sebuah karya filem yang hebat lebih-lebih lagi membabitkan filem aksi.

Semua itu memerlukan ketabahan dan kecekalan dalam diri seseorang itu. Begitu juga dengan Syamsul yang perlu melalui perit getir menghasilkan setiap karyanya.

Dan pada satu tahap, Syamsul tidak dapat melalui dugaan dan cabaran tersebut sehingga dia terdetik untuk berhenti daripada dunia perfileman.

“Sepanjang berkarya, filem Evolusi KL Drift 2 adalah filem yang paling mencabar dalam hidup saya. Terlalu banyak kenangan pahit dan manis dalam filem itu di mana saya pernah kemalangan kerana melakukan aksi pada satu babak.

“Kemudian selepas penggambaran, saya mengambil masa yang agak lama untuk suntingan kerana bergaduh dengan ayah. Waktu itu saya terlalu kecewa sehinggakan tiada fikiran positif dalam diri saya.

“Sampaikan saya bercadang untuk berhenti dan ingin membuat perniagaan lain iaitu menjual sate kambing kerana tidak boleh menerima tekanan lagi.

“Mungkin pada ketika itu saya tidak matang sepenuhnya lagi, saya agak sukar untuk mengawal tekanan yang dialami. Selepas berfikir semula, rasa rugi pula bila mencuba perniagaan baru kerana saya perlu bermula dari bawah semula.

“Dan kerana pengalaman perit getir yang dilalui ketika penghasilan filem Evolusi KL Drift 2 ini jugalah saya merangkul dua buah trofi pada FFM25 dan ASK25 baru-baru ini,” katanya.

Bersyukur dengan segala kejayaan yang diperoleh hasil daripada didikan ayahnya, bagi Syamsul dia bukanlah seorang yang digelar ‘anak bapak’ di mana dia mengikut cara kerja yang dibuat oleh ayahnya itu.

Namun, Syamsul menggunakan kemudahan serta didikan yang diterima untuk menjadi pengarah dengan cara tersendiri tanpa bayangan ayahnya yang sudah berpengalaman menghasilkan filem sejak tahun 1990-an.

“Saya bersyukur kerana punyai ayah yang sudah ada nama dan pada masa yang sama dia mengajar saya setiap pengalaman yang dilalui.

“Tapi kami memiliki fahaman dan idea yang berbeza, sebab itu kami sering bertelingkah bila melibatkan kerja.

“Benar saya belajar daripadanya tapi pelajaran yang saya terima itu saya ubahsuaikan mengikut saya yang tersendiri. Kadang-kala geram juga bila dia marahkan saya sama seperti dia marahkan pekerjanya.

“Tapi biasalah, sebagai seorang ayah dia tahu kemampuan anaknya. Rasanya kalau dia tidak bertegas dengan saya, mungkin saya akan jadi malas. Dia suka mencabar saya dan saya pula pantang dicabar dan akan sahut cabaran itu,” tuturnya sambil tersenyum mengenang kembali gelagat ayahnya itu.

Sisi kelakar Syamsul

Menyingkap sisi karakter lain yang dimiliki pengarah ini, Syamsul mempunyai karakter kelakar yang ramai orang tidak tahu.

Kata Syamsul, karakter itu lebih ditonjolkan kepada keluarganya sahaja serta teman yang rapat dengannya.

Pada masa yang sama, turut diakui, dia agak sensitif jika melibatkan orang yang disayanginya seperti keluarga, kekasih dan teman rapat.

“Ramai yang menganggap saya seorang yang sombong tapi sebenarnya saya suka berjenaka dan mengacau adik beradik saya. Malah dengan kekasih juga saya suka mengacau dan seorang yang “sempoi”.

“Saya juga seorang yang sensitif jika melibatkan orang yang saya sayang. Tetapi lain pula apabila berhadapan dengan kekasih, saya akan bersikap tegas.

“Hubungan saya sebelum ini banyak mengajar saya dan bila saya tak suka kelakuan teman wanita saya itu, saya akan beritahu. Saya akan layan kekasih sebagaimana saya menjadi suami nanti,” katanya yang ingin mencari seorang kekasih yang menerima pendiriannya serta akan memakai tudung apabila kahwin kelak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...