Kisahnya bermula apabila krew Riuh Pagi Era yang dikendalikan oleh Aznil Nawawi, Ray dan Hanif memberi peluang kepada pendengar radio itu untuk meluahkan impian yang mahu dilaksanakan sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya.
Daripada puluhan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima sepanjang dua jam segmen itu bersiaran, impian seorang pendengar bernama Siti Nurshiela Shahidan antara yang paling menarik perhatian Aznil selaku ‘kepala’ Riuh Pagi Era.
Impiannya yang mahu bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bagi Aznil merupakan satu peluang yang cukup dinanti-nantikan oleh bukan hanya dirinya tetapi juga semua rakyat Malaysia.
Malah, Aznil sendiri mengakui dia belum pernah bertemu empat mata dengan negarawan ulung kesayangan ramai itu. Sebelum ini pun, dia hanya bertemu dan menyapa Tun Mahathir di majlis-majlis tertentu sahaja.
Lalu, Aznil merasakan ini juga peluang terbaiknya untuk bersua muka dengan Tun Mahathir yang diangkatnya sebagai idola selain memberi peluang kepada pendengar Era FM untuk merealisasikan impiannya.
Akhirnya, doa Aznil dimakbulkan Allah SWT dan baru-baru ini, Aznil bersama-sama krew Riuh Pagi Era dan Siti Nurshiela telah berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya untuk bertemu dengan tokoh yang disanjung tinggi itu.
“Apabila mendengar impian yang disuarakan oleh Siti Nurshiela yang mahu bertemu dengan Dr. Mahathir, saya juga berasa gembira dan teruja. Dan, saya juga menganggap ini sebagai satu cabaran.
“Cabaran yang saya maksudkan di sini ialah proses yang perlu dilalui sebelum tibanya hari pertemuan dengan Dr. Mahathir. Saya sendiri mahu merasai bagaimanakah perasaan dan barangkali tekanan untuk mengadakan temu janji bersamanya.
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka proses berjalan dengan lancar dan dengan bantuan pembantu peribadi Dr. Mahathir, pertemuan kami diatur. Memang kalau boleh, saya mahu masa yang lama untuk saya berbual dengan beliau.
“Tetapi, saya sedar, beliau seorang yang cukup sibuk. Jadi, kalau dapat seketika bersamanya pun sudah memadai buat saya,” jelas Aznil penuh bersungguh ketika diminta menceritakan detik-detik sebelum pertemuan dengan Dr. Mahathir baru-abru ini.
Kagum
Memang terpancar jelas kegembiraan yang luar biasa di wajah Aznil yang juga pengacara nombor satu negara itu apabila dapat berbual-bual dan bertanyakan soalan yang sudah lama dipendamkan.
Kata Aznil, dia cukup kagum dengan keberanian dan kekuatan daya fikiran Dr. Mahathir yang mampu berfikir jauh ke hadapan.
Sebagai seorang selebriti, dia sendiri telah mengamalkan prinsip idolanya itu dalam karier seninya dan memang sudah terang lagi bersuluh, Aznil memang seorang yang berani mengambil risiko dalam setiap keputusannya.
Mengambil transisi imejnya sebagai contoh, Aznil sendiri pernah dikritik dan dikecam dengan hebat kerana tampil dengan imej yang dilihat merepek serta tidak menonjolkan personalitinya ketika di awal kemunculannya.
“Jadi, apabila Dr. Mahathir berkata setiap keputusan yang diambil itu mempunyai risikonya yang mampu membawa kepada kegagalan dan kerugian, ia menjawab segala persoalan saya selama ini.
“Apa sahaja yang beliau lakukan sebelum ini bukannya tidak pernah dikritik tetapi semangat positif yang ada dalam dirinya itu membuatkan ramai yang kagum dan hormat pada dirinya.
“Kata beliau lagi, bukan semua yang kita lakukan itu akan mendapat sokongan padu daripada semua pihak. Jadi, kita harus berani mengambil risiko dan membuktikan kepada mereka dengan penuh bersungguh,” ujar Aznil panjang lebar.
Ketawa
Dalam pertemuan yang memakan masa lebih kurang 15 minit itu juga, Aznil sempat mengajukan beberapa soalan yang dikirimkan oleh pendengar setia Era FM di mana jawapan diberikan telah membuat suasana hening di dalam bilik mesyuarat itu dipecahkan dengan hilai tawa mereka yang hadir.
Salah satu soalannya adalah tentang lawak jenaka yang baru sahaja didengar oleh Dr. Mahathir. Barangkali ia mungkin dianggap biasa oleh kita sebagai orang biasa.
Tetapi, apabila mendengarkan daripada mulut negarawan itu sendiri, ia menjadi sesuatu yang cukup berbeza dan bermakna sekali.
“Baru-baru ini, ada seorang kawan saya memberitahu bagaimana nama sejenis kuih itu dinamakan pulut udang sedangkan apabila dia membelinya, tiada pun seekor udang dalam intinya.
“Dia juga kata bila dia beli cucur badak, intinya juga tiada daging badak. Jadi bagaimana namanya menjadi cucur badak,” kata Aznil mengulang kembali ungkapan Dr. Mahathir yang kemudiannya disambut dengan deraian ketawa tetamunya pada pagi itu.
Sempat juga bekas Perdana Menteri itu ditanya tentang pandangannya terhadap Aznil.
Berani
Ujar beliau secara generik, ketika di zaman pemerintahannya, bidang penyiaran ketika itu masih lagi dibelenggu dengan perasaan malu dan belum bersedia untuk melakukan perubahan drastik untuk pembaharuan.
Namun, apabila muncul bakat-bakat baru yang memiliki sentuhan yang segar, ia telah menjadikan dunia penyiaran itu semakin menarik dan berwarna.
“Semuanya perlu mempunyai keyakinan diri dalam apa jua yang dilakukan. Tidak dilupakan keberanian untuk terus maju ke depan,” kata Dr. Mahathir.
Melihat kepada kejayaan sulung team Riuh Pagi Era dalam merealisasikan impian pendengar setianya, duda beranak dua ini tidak menolak kemungkinan akan meneruskan projek ini di masa hadapan.
Namun, katanya, hanya impian yang dirasakan munasabah dan praktikal sahaja akan ditunaikan.
“Selain Siti Nurshiela, kami menerima banyak permintaan yang mahu impian mereka ditunaikan.
“Tidak kurang juga ada yang menyatakan impian untuk bersanding sekali lagi kerana ketika dia bersanding dulu, semuanya tidak berjalan dengan sempurna seperti mana yang diharapkan.
“Insya-Allah, kami akan meneruskan projek seperti ini pada bulan Disember setiap tahun,” kata Aznil yang kini muncul dengan rancangan Serasi Bersama bersama Sharifah Shahirah.
No comments:
Post a Comment