Malah, lagu-lagu lama mereka juga belum luput ditelan zaman dan kebanyakannya boleh dikategorikan sebagai malar segar.
Paling penting, dua kumpulan itu juga terus bertahan dalam persada muzik tanah air sehingga kini. Di saat trend muzik silih berganti, misalnya dengan kemunculan ramai pemuzik generasi baru, tetapi Wings dan Search tetap utuh di hati para peminat.
Keutuhan mereka itu terbukti setiap kali muncul di atas pentas konsert seperti pada Konsert Gemuruh Double Trouble yang telah diadakan di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 18 Disember lalu dengan ditonton hampir 7,000 peminat setia masing-masing.
Turut menguatkan lagi kehebatan Search dan Wings ialah sokongan para peminat yang tidak berbelah bahagi walau di mana juga persembahan mereka diadakan.
Sambutan itu juga dapat dilihat menerusi konsert terbaru mereka iaitu Konsert Gemuruh Double Trouble yang diadakan di Sunway Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor pada 25 Disember lalu.
Pada konsert yang bermula pukul 9 malam, dua kumpulan itu bukan setakat berjaya menarik hampir 7,000 penonton, tetapi kawasan di sekitar pusat membeli-belah Sunway Pyramid yang berhampiran turut sesak dengan lalu lintas kenderaan.
Keadaan mula sesak dua jam sebelum konsert itu berlangsung sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa menutup jalan masuk ke kawasan sekitar taman tema dan pusat membeli-belah terkenal itu.
Penangan itu sama sewaktu mereka mengadakan Konsert Double Trouble di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu yang ditonton hampir 20,000 peminat juga telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Semua itu menggambarkan bahawa Wings dan Search masih mampu menarik penonton menyaksikan konsert-konsert mereka. Mereka boleh berbangga dengan sambutan itu.
Cuma dalam hal ini, Wings dan Search seharusnya menyedari realiti itu dengan cara berusaha lebih keras bagi mempertingkatkan lagi mutu persembahan mereka termasuklah pada konsert dengan kerjasama DiGi tersebut.
Ini kerana, sewaktu Konsert Gemuruh Double Trouble yang diadakan di Sunway Lagoon pada sambutan Hari Krismas itu, ada terdengar suara rasa tidak puas hati peminat dengan persembahan dua kumpulan tersebut.
Ia termasuklah mutu sistem bunyi yang agak teruk kedengaran yang seolah-olah tidak menggambarkan kematangan mereka sebagai sebuah kumpulan rock berpengalaman.
Tidak tahu di mana silapnya apabila banyak gangguan teknikal terutamanya pada sistem mikrofon yang digunakan Amy selaku vokalis Search sedikit sebanyak telah menjejaskan kualiti lagu-lagu nyanyiannya.
Sewaktu menyanyikan lagu Balada Pemuzik Jalanan suara Amy tenggelam timbul biarpun dia terkenal dengan nada suaranya yang lantang. Sistem bunyi yang agak teruk itu telah mencetuskan pelbagai tanda tanya banyak pihak termasuklah media massa.
Antaranya, ke manakah perginya jurutera bunyi atau juruteknik yang bertanggungjawab memastikan kelancaran pada sistem audio dan speaker di bahagian kiri kanan pentas?
Sebagai sebuah konsert berskala besar, apatah lagi dengan tiket berharga RM70 perkara-perkara seperti itu harus mendapat perhatian daripada pihak penganjur. Semua itu penting bagi kepuasan halwa telinga para peminat yang datang memberi sokongan.
Bukan setakat gangguan pada mikrofon Amy, malah sistem bunyi pada speaker gitar yang digunakan oleh gitaris Wings iaitu Joe juga kerap kedengaran tenggelam timbul.
Konsep persembahan pada malam itu tidak banyak beza dengan Konsert Gemuruh Double Trouble sebelum ini yang menggabungkan vokalis Wings iaitu Awie dan Amy secara duet bersama ahli-ahli dua kumpulan tersebut.
Awie misalnya, bergabung dengan anggota-anggota Search seperti Din (gitaris), Kid (gitaris), Nasir (bass) dan Yazit pada persembahan lagu Wings yang berjudul Opera Hidup sebagai suatu kelainan.
Begitu juga dengan Amy yang diiringi persembahan muziknya oleh anggota-anggota Wings seperti Joe (gitar), Black (dram) dan Eddie (bass) menerusi lagu Search yang bertajuk Balada Pemuzik Jalanan.
Para penonton ramai yang teruja dan menyanyikannya bersama-sama setiap kali Wings mendendangkan lagu-lagu lama yang dipetik daripada album pertama mereka, Belenggu Irama (1987). Lagu-lagu seperti Inspirasi Taming Sari dan Opera Hidup antara yang dinyanyikan bersama-sama para peminat.
Begitu juga dengan Search menyampaikan lagu-lagu lama terutama yang dipetik daripada album sulung mereka yang berjudul Cinta Buatan Malaysia (1985) dan Langit Dan Bumi (1987). Lagu-lagu seperti Rozana dan Pasti antara yang paling mendapat sambutan hangat para penonton pada malam itu.
Ini seakan-akan menggambarkan bahawa lagu-lagu lama Search dan Wings lebih diterima para peminat berbanding lagu-lagu baru dua kumpulan terbabit.
Sayangnya, lagu-lagu lama yang mereka ketengahkan pada malam itu kebanyakannya dalam bentuk medley sehingga ramai yang tidak puas mendengarnya.
Antara lagu yang dipersembahkan secara medley hasil gabungan vokal Amy dan Awie antaranya berjudul Gemuruh, Rozana, Gadisku, Pasti, Taman Rashidah Utama, Meniti Titian Usang dan Misteri Mimpi Syakilla.
Jika diselami apa yang para penonton lebih gemar, Search dan Wings sepatutnya mengurangkan jumlah persembahan lagu-lagu baru mereka yang kurang menangkap perhatian para peminat pada kebanyakan konsert yang mereka adakan.
Tidak pasti sama ada lagu-lagu baru mereka kurang sedap atau ia jarang didengar serta lama tidak disiarkan di radio dan televisyen menyebabkan sambutannya agak malap setiapkali ia dipersembahkan pada konsert seperti itu.
Konsert itu membawa sedikit tarikan berbanding sebelumnya dengan menjemput Lan daripada kumpulan Azlan & The Typewritter sebagai artis undangan bersama bekas gitaris Search, Hillary Ang menyerikan lagi konsert tersebut.
Bukan setakat gangguan teknikal dan pemilihan lagu-lagu yang tidak menjurus kepada lagu-lagu lama, malah persembahan muzik dua kumpulan itu juga agak 'longgar'.
Banyak susunan lagu dan keseragaman rentak permainan muzik mereka yang tidak sekata dan kurang kemas seakan-akan kurangnya latihan bersepadu sebelum konsert itu dijayakan.
Wings dan Search boleh mengutamakan pada lagu-lagu baru mereka tetapi harus dipastikan terlebih dahulu agar melodinya menyengat sama seperti album-album lama mereka.
Biarlah penumpuan diberi kepada lagu-lagu lama dua kumpulan itu kerana kebanyakan peminat belum jemu-jemu untuk menghayatinya termasuklah pada konsert itu.
Apatah lagi, konsert seperti itu bukannya diadakan pada setiap hari, setiap minggu atau pun setiap bulan. Ia hanya diadakan sekali sekala sahaja dalam setahun!
google: Album terbaru wings, album terbaru search, konsert Double Trouble, konsert digi Double Trouble
No comments:
Post a Comment