USIA bergelar anak seni tidak sampai setahun, tetapi juara program realiti Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Ahmad Shahir Zawani, 22, atau Shahir sudah berdepan pelbagai ujian.
Bermula dengan musibah ditimpa kemalangan jalan raya seterusnya kisah SMS kepada pelakon cantik, Rozita Che Wan.
Lebih mengaibkan lagi gosip dia ‘ditaja’ hanya kerana menggunakan kereta BMW yang dipinjamkan daripada keluarga angkat selepas kereta Nissan Fairlady 350z mengalami kerosakan dan diperbaiki di bengkel.
Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalams Perpisahan ini semua yang menimpa dirinya dianggap sebagai takdir dan ketentuan daripada Yang Maha Esa. Sebagai manusia, dia perlu tabah dan menerima semua ujian yang dilalui dengan hati terbuka.
“Saya tidak kisah apa pandangan masyarakat. Memang sukar untuk menutup mulut orang luar. “Saya tidak bimbang atau menyalahkan sesiapa dalam soal ini. Saya bersyukur dengan pencapaian setakat ini. “Saya anggap diri ini masih baru dalam dunia seni dan banyak perkara yang perlu dipelajari.
“Mungkin orang salah faham selepas melihat saya menukar kenderaan. Akibat kemalangan itu, kereta saya terpaksa dibaiki di bengkel. “Menyedari kereta adalah keperluan saya untuk bergerak ke sana ke mari, jadi keluarga angkat membenarkan saya meminjam kereta mereka. “Mujur saya mempunyai keluarga angkat yang cukup memahami dan menyokong karier seni saya. Mereka adalah keluarga yang diamanahkan ibu bapa untuk menjaga saya,” katanya.
Sharir tidak mahu lagi diulit dengan berita kontroversi. Tumpuannya kini hanya kepada mengukuhkan nama dalam dunia seni. Soal jodoh pertemuan terpulang kepada takdir yang menentukan. Tidak seperti bintang AF sebelum ini, Shahir dikatakan memanjat puncak populariti agak perlahan. Malah, selepas enam bulan keluar dari AF8, Shahir belum mempunyai album solo pertama. Mengakui perkara itu, Ikon Belia Perak 2010 itu memaklumkan selepas keluar AF8 dia sibuk membuat persembahan termasuk Konsert Reunion AF disusuli terbabit dalam lakonan di bawah arahan Yusry Abdul Halim dalam filem Karak. Begitupun, menghormati permintaan KRU Studio supaya dia tidak menceritakan mengenai pengalaman dan watak pertamanya menerusi filem itu, Shahir berharap rakan media dan peminat menantikan sidang media yang bakal diadakan KRU nanti.
“Saya akui baru ke arah menumpukan usaha menghasilkan album. Ketika ini saya masih dalam proses memilih lagu yang sesuai. “Bukan tiada lagu untuk dirakamkan. Lagu sudah ada, cuma saya mahu memastikan lagu berkenaan benar-benar kuat untuk dirakamkan seterusnya dimuatkan dalam album solo pertama nanti.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal lambat atau cepat sebaliknya mengutamakan lagu yang benar-benar sesuai. “Kalau ikutkan jiwa saya memang kepada irama balada. Namun saya mungkin cuba pelbagai irama mungkin lagu berentak rancak, rock atau lagu irama Timur Tengah.
“Jika ada rezeki, saya dimaklumkan akan berduet dengan artis dari negara jiran untuk satu lagu khas. Begitupun, semuanya masih dalam perbincangan dan terlalu awal untuk diperkatakan,” katanya.
Shahir ditemui selepas rakaman Dari Studio - Shahir dan Jamal Abdillah di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Kata Shahir, dia sangat mengagumi Jamal sejak kanak-kanak lagi dan berasa bagai impian jadi kenyataan apabila diberi peluang oleh Astro untuk bergandingan dengan raja pop tanah air itu. “Saya pernah menyuarakan hasrat untuk berduet dengan penyanyi senior idola saya seperti M Nasir, Ramli Sarip dan juga Jamal. “Sebelum ini, saya pernah berhajat menyaksikan konsert Jamal secara langsung. Bukan saya saja meminati Jamal, malah keluarga juga antara peminat setia dan membesar dengan lagu-lagu Jamal.
“Antara lagu Jamal yang saya minati ialah Penghujung Rindu dan Derita Cinta. Saya juga menyanyikan lagu Derita Cinta pada minggu ketiga konsert AF8. “Kalau ada peluang, saya tidak akan menolak untuk berkerjasama merakamkan lagu bersama Jamal pada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun dalam rakaman itu, Jamal tidak dapat hadir dan rakaman membabitkan dirinya diadakan pada hari lain
No comments:
Post a Comment