Lalu, apabila ditawarkan berlakon teater Natrah musim kedua oleh sutradara handalan, Erma Fatima, Fizz Fairuz menganggapnya sebagai satu peluang terbaik bagi meluaskan lagi skop lakonannya.
Malah, apabila menerima tawaran itu, Fizz menganggapnya sebagai satu cabaran untuk dirinya sendiri.
Watak yang diberikan kepadanya bukan calang-calang iaitu Ahmad Ibrahim, seorang tokoh yang cukup terkenal dan memainkan peranan penting sewaktu kes Natrah hangat diperdebatkan ketika itu.
Meskipun wataknya hanya beberapa babak, Fizz tidak menafikan proses lakonan dalam teater ini cukup menguji kesabaran dan kredibilitinya sebagai seorang aktor.
Selepas sembilan tahun selesa di depan seluloid, Fizz sama sekali tidak menyangka teater bukanlah semudah yang disangka.
"Ekspresi emosi, lontaran vokal dan bahasa tubuh merupakan elemen penting dalam menghidupkan watak. Banyak yang saya belajar menerusi teater ini dan berlakon di bawah arahan Erma cukup memuaskan hati saya kerana banyak input yang saya perolehi.
"Ini pun bukan kali pertama saya berlakon di bawah arahan Erma kerana pernah membintangi beberapa buah drama arahannya sebelum ini. Namun, berlakon teater di bawah arahannya memberikan pengalaman baru buat saya," ujar Fizz ketika ditemui pada sesi latihan teater itu di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.
Bagi jejaka berusia 31 tahun ini, membawakan watak Ahmad Ibrahim memerlukannya menghayati perjuangan dan semangat tokoh itu yang mahu memastikan Natrah mendapatkan semula hak yang sepatutnya menjadi milik wanita kelahiran Belanda itu.
Untuk itu, setiap terma dan fakta yang dilontarkan oleh Ahmad Ibrahim perlu dihayati sedalam-dalamnya oleh Fizz agar lakonannya dapat memberikan impak kepada audiens kelak.
"Semakin lama saya membaca skrip dan menghayati watak Ahmad Ibrahim, barulah saya tahu apa sebenarnya yang mahu dilakukan olehnya ketika kes Natrah itu berlangsung. Saya harus akui memang gementar dan takut kerana watak yang saya bawakan adalah watak yang sebenar.
"Jadi kita tidak boleh terlalu tokok-tambah dan harus mengikut apa yang ditetapkan dalam skrip. Barulah saya tahu bukan mudah sebenarnya berlakon teater kerana ia memerlukan semangat serta disiplin yang tinggi.
"Ia cukup berbeza dengan filem atau drama yang boleh disunting dan diperbetulkan jika kita tidak puas hati dengan persembahan kita.
"Namun, untuk teater, ia adalah secara langsung dan untuk membuatkan penonton tidak berganjak daripada tempat duduk mereka, ia benar-benar satu cabaran," kata pemeran watak Aidil dalam drama bersiri Nur Kasih ini bersungguh.
Sebelum membintangi Natrah, anak kelahiran Raub, Pahang ini pernah ditawarkan untuk berlakon dalam teater Sri Mersing. Namun, kerana salah faham dan komunikasi, maka, peluang Fizz untuk menonjolkan bakatnya tidak kesampaian.
Lalu, apabila Erma memberinya peluang membintangi teater ini, Fizz tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuannya. Malah, dia berterima kasih kepada Erma yang mempercayai bakatnya dan bertoleransi dengan jadual padatnya.
"Kerana itu, kalaulah Erma tetap dengan pendiriannya mahu menarik diri daripada mengarahkan teater Natrah, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan kerana saya berurusan sendiri dengan Erma dalam mengatur jadual saya.
"Saya cukup bimbang kalau pengarah baru yang mengambil alih kerana takut orang itu nanti tidak dapat berkompromi seperti mana Erma. Tetapi, syukurlah, kini Erma sudah kembali bersama produksi Natrah. Itu sudah cukup menggembirakan saya," kata Fizz atau nama sebenarnya, Mohd. Fairuz Zainal Abidin ini ceria.
Natrah musim kedua ini masih lagi mengekalkan tiga teraju utamanya iaitu Maya Karin, Remy Ishak dan Umie Aida masing-masing dengan watak Natrah, Mansor Adabi dan Che Aminah.
Hanya Samantha Schubert tidak dapat beraksi kali ini dan watak Adeline Hertogh itu telah digantikan dengan pelakon yang sekian lama menyepi, Susan Lankester.
Untuk kelainan, Natrah musim kedua ini juga menampilkan bintang-bintang popular negara seperti Ziela Jalil, Aaron Aziz, Liyana Jasmay, Nabila Huda termasuk Luftya dan Sharifah Sofea yang akan memegang watak Natrah pada usia 30 dan 50 tahun.
Natrah yang mendapat sokongan Kumpulan Utusan sebagai media rasmi itu akan dipentaskan di Panggung Sari, IB bermula 25 November ini sehingga 5 Disember.
Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150 kini sudah pun dijual dan dikhabarkan jualannya begitu memberangsangkan.
Bagi mereka yang belum mendapatkan tiket, bolehlah membuat tempahan dan pembelian menerusi laman web, www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4147 8600.
google: fizz facebook, fizz twitter, fizz lelaki seksi, fizz myspace, gambar terbaru fizz, fizz berlakon teater
No comments:
Post a Comment