Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Sunday, December 5, 2010

Kes curi motor, Mamat kontoversi lagi

BAGAIKAN tak berkesudahan berbicara mengenai kisah bekas penyanyi kumpulan Exist ini. Satu persatu peristiwa hitam melingkari dirinya sehingga ada yang beranggapan Mamat memang manusia yang bermasalah.

Tak cukup dengan itu ada juga cakap-cakap nakal yang memberitahu kontroversi dan Mamat bagaikan aur dengan tebing. Tak boleh dipisahkan biarpun sering kali berjanji untuk menjadi manusia yang baik.

Kadang kala apa yang dikatakan itu ada benarnya. Tak cukup kisah rumah tangga yang sudah berkecai itu menjadi perhatian umum, Mamat juga didapati bersalah mencuri telefon bimbit ketika berada di Singapura sebelum ini.

Itu belum lagi melibatkan cerita-cerita panas mengenai dirinya sebelum ini. Kisah intim dia dengan wanita lain sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya sedangkan ketika itu dia masih berstatus suami orang.

Kali nama Mamat kembali panas apabila dia ditangkap gara-gara memiliki motosikal curi. Kejadian yang berlaku di Johor Bahru baru-baru ini menguatkan lagi cerita yang penyanyi ini memang suka mencari masalah.

Sehingga kini kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.

Apa sebenarnya yang berlaku pada Mamat? Apa yang masih dicari oleh penyanyi yang cukup popular dengan lagu Untukmu Ibu sedangkan satu ketika dahulu dia pernah mengecapi populariti yang cukup hebat.

Kalau ada yang masih ingat pada tahun 1991 menerusi album pertama Exist pernah mencecah jualan sebanyak 250,000 unit. Melalui itu jugalah nama Mamat naik mendadak menjadikan dia antara penyanyi yang cukup popular.

Biarpun pelbagai andaian yang boleh dikeluarkan oleh sesiapa sahaja, hanya Mamat yang ada jawapan

Berbicara dengan pemilik nama sebenar Mohd. Ali Kamaruddin baru-baru ini, dia cukup terkesan dengan apa yang telah berlaku. Apa yang telah terjadi cukup mencengkam lubuk sanubarinya itu.

“Memang saya cukup sedih dengan apa yang berlaku. Untuk bercerita mengenai hal motosikal yang dikatakan motor curi itu, saya enggan mendedahkan apa yang berlaku memandangkan kes tersebut masih lagi dalam siasatan.

“Lagipun pegawai polis yang menguruskan kes tersebut menasihatkan saya agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara tersebut,” jelas Mamat lagi.

Dalam nada yang cukup santai, Mamat bagaikan tidak berselindung. Apa sahaja yang ditanya pasti akan dijawab oleh bapa kepada tiga orang anak ini tanpa sebarang masalah.

Cuma bila memasuki bab maruah dan harga diri, Mamat bagaikan tersentak. Bukan apa, dia sedar maruahnya jatuh akibat kontroversi yang melanda. Ramai yang mula hilang kepercayaan kepadanya gara-gara insiden berkenaan.

“Memang perit nak lalui semua itu. Saya bukan seteruk yang disangka. Arwah ayah dan ibu saya banyak mencurahkan ilmu dan mengajar saya untuk jadi manusia yang berguna.

“Biarpun kami bukan datang dari keluarga yang kaya-raya tapi semua serba cukup. Mungkin laluan yang saya lalui selama ini tak secerah mana.

“Saya sedar apa yang telah berlaku. Insiden macam ini memang cukup memalukan tetapi ia memberikan pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati.

“Kadang kala saya sedar yang orang masih lagi sayang kepada bakat yang ada dalam diri ini. Biarpun kes tersebut masih lagi dalam siasatan, alhamdulillah ramai yang memberi semangat.

“Ramai yang masih lagi mahu melihat saya berjaya. Biarpun terhimpit dalam nista orang masih ada yang memberi ruang dan membuka rezeki buat saya.

“Masih ada yang mahu mengambil saya untuk membuat persembahan walaupun bukan dalam skala yang besar. Kalau tak banyak pun, sikit jadilah. Itu sudah cukup untuk meneruskan kehidupan saya sebagai anak seni,” kata Mamat tanpa berselindung.

Sehingga kini Mamat sedang sibuk menguruskan hal album yang sering kali tertangguh akibat pelbagai masalah dan dijangka keluar selewat-lewatnya tahun hadapan.

Bagi Mamat kecintaannya terhadap bidang seni tidak pernah berkesudahan biarpun dia tahu ramai yang mula sangsi terhadap dirinya. Saban hari dia tidak pernah lupa memanjatkan doa agar menjadi manusia yang lebih baik biarpun apa yang terjadi.

Bercerita mengenai perihal anak-anak pula, Mamat yakin mereka akan membesar dengan baik di bawah jagaan bekas isterinya.

Kata Mamat sebagai bapa dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk memberikan nafkah kepada anak-anak yang sedang membesar.

“Ada rezeki lebih, lebihlah boleh saya bagi dekat anak-anak. Kalau sikit macam mana nak bagi banyak. Saya masih lagi tahu tanggungjawab saya sebagai bapa,” ujar duda ‘panas’ ini lagi

google: Mamat facebook, mamat artis panas, mamat kecoh lagi, skandal terbaru mamat

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...