kini, Saleem tidak pernah surut dengan sokongan ribuan peminatnya meski diduga dengan pelbagai kontroversi seusia perjalanan seninya.
Pernah dilabel sebagai artis bermasalah selepas terjebak dengan najis dadah satu ketika dahulu, buat sementara imejnya juga turut tercalar gara-gara sejarah hitam ciptaannya itu.
Cukuplah. Itu cerita dulu. Sekarang banyak perubahan yang dapat dilihat pada diri seorang Saleem. Jauh berbeza berbanding Saleem yang dikenali sebelum ini.
Nampak kejernihan pada air mukanya apatah lagi selepas melihat dia kini bahagia membina keluarga bersama sang isteri, Juriah Bachok, 46.
Selama 10 tahun hidup bersama, Saleem juga seringkali dilihat membawa isterinya itu ke mana sahaja kakinya melangkah.
Baik ke majlis-majlis tertentu termasuklah memenuhi undangan persembahan.
Dek kerana selalu sangat dilihat gemar mengheret isteri, ada yang mendakwa Saleem sebenarnya dikongkong wanita itu.
Malah, lebih tajam lagi ada yang mendakwa Saleem takutkan bini. Maka kerana itulah dia sentiasa ‘dikawal’ oleh isterinya ke mana sahaja.
Sempat bertemu mata dengan penyanyi lagu Tinggal Kenangan tersebut baru-baru ini, Pancaindera lalu membuka mulut mencari jawapan.
“Ya, memang saya dikongkong isteri. Malah, kalau ada yang kata saya ni suka duduk bawah ketiak isteri, ya silakan, sebab saya memang suka begitu.
“Kenapa? Sebab rasanya saya lebih selamat jika dia sentiasa ada disebelah dan memantau semua gerak geri saya.
“Saya berani katakan begitu kerana sebab dialah saya menjadi manusia semula dan tidak terus terumbang-ambing sehingga orang boleh mempersampahkan saya, ” katanya sedikit tegas.
Kata anak jati Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini lagi, mungkin ada yang tidak tahu selain memegang status isteri, Juriah yang mesra disapa Julia itu juga merupakan pengurus peribadinya.
Cerita Saleem, jika dia tidak ‘dipungut’ Julia, mungkin dia sehingga kini masih belum dapat membuka mata dan sedar siapa itu kawan, siapa itu sahabat dan siapa itu musuh.
Malah, pernah satu saat semasa masih hanyut dalam dunia hitamnya, Saleem mengaku pernah menadah tangan dan memohon doa supaya dipertemukan dengan seseorang yang boleh membantu dan memimpinnya ke jalan yang lurus.
Seolah memberi bayangan bahawa doanya dimakbulkan, kata Saleem tidak lama kemudian tuhan telah menemukannya dengan Julia yang kini menjadi isterinya.
“Dia adalah satu-satunya insan yang datang membantu di saat tiada siapa di sisi. Orang lain? Bawa saya ke jalan yang memusnahkan saya adalah.
“Itu termasuklah mereka yang menipu dan kaki kikis. Kalau nak tahu satu ketika dahulu saya memang tiada apa-apa langsung. Nama sahaja artis tetapi harta tak ada. Semuanya kerana orang-orang macam ni lah.
“Bila sekarang ada Julia, barulah saya rasa terurus sedikit. Dialah yang menguruskan segala-galanya mengenai diri saya daripada A sampai Z.
“Jadi kalau ada yang kata saya ni dikawal isteri atau dikongkong, peduli kan mereka, yang penting saya bahagia dengan kehidupan dan peluang kedua yang diberikan Allah S.W.T ini.
“Kepada mereka yang ada sifat hasad dengki dan suka mengata kami, satu sahaja doa saya, biarlah hidup mereka diberkati tuhan, ” kata Saleem, 6.
Seawal perbualan dengan Saleem, Julia yang setia berada di sisinya dilihat tidak lekang dengan senyuman.
Saat dimaklumkan mengenai cakap-cakap orang terhadap dirinya, Julia yang seakan sudah memahami selok-belok dunia artis bagaimanapun mengaku tidak melatah.
Kata Julia, dia tidak pernah kisah dengan apa yang dikatakan orang kerana baginya apa yang dilakukannya terhadap Saleem adalah berlandaskan sifat ikhlas di samping rasa kasih dan sayang.
“Buat apa saya hendak peduli cakap-cakap orang? Mulut orang memang kita tak dapat tutup.
“Cuba bayangkan kalau saya tidak uruskan dia, siapa lagi yang sanggup? Satu perkara yang perlu orang faham, Saleem seorang artis, maka tak ada orang yang tak mahu mendekati dia.
“Tetapi orang-orang yang mendekati dia sebelum ini semuanya ada agenda tersembunyi. Boleh dikatakan tak jujur.
“Saya tidak menolak kerana jodoh kami dipertemukan. Tetapi apa yang penting, saya tidak ambil kesempatan ke atas dirinya. Saya ikhlas membantu dia sehingga dia berjaya mencari dirinya semula sekarang,” katanya.
No comments:
Post a Comment