BEBERAPA bulan kebelakangan ini, nama penghibur tersohor ini agak sepi dari sebarang publisiti di media massa.
Sehinggakan ramai yang mula bertanya ke manakah hilangnya Anita Sarawak atau lebih mesra disapa Kak Nita itu.
Kalau dia 'menghilang' sekali pun, selalunya bukanlah dalam tempoh masa yang lama. Paling kurang pun dalam sebulan dan destinasi utama pilihannya adalah Amerika Syarikat.
Apabila berpeluang bertemu dengan Anita dan bertanyakan perihal itu, wanita yang cukup mesra media itu merungkai segala 'misteri' kehilangannya selama hampir tiga bulan ini.
Seperti lazimnya, setiap kali Anita muncul selepas bercuti, setiap kali itu jugalah dia akan tampil dengan imej baru yang membuat ramai yang mula berbisik memuji penampilannya.
Manakan tidak. Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd. Taib ini tampil anggun dengan imej berpakaian serba hitam sedondon bersama suami tercinta, Mahathir Abdullah.
Ditambah pula dengan aksesori mewah dari jenama Suhara menambahkan lagi nilai eksklusif Anita yang selama ini menjadi identitinya.
"Sebenarnya, saya tidak ke mana pun. Sekitar pertengahan bulan Ramadan, saya dan suami telah ke Amerika Syarikat untuk menguruskan perniagaan serta bercuti.
"Dalam masa yang sama, kami juga sempat berlayar ke Eropah dan hanya pulang ke tanah air pada minggu kedua Aidilfitri.
"Kembalinya ke Malaysia, saya sudah sibuk dengan kerjaya seni dan rakaman rancangan Astana yang memerlukan saya bekerja tanpa henti.
"Dalam masa cuti pun, saya masih sibuk bekerja dan menguruskan Astana. Jadi, faktor itulah barang kali boleh menjawab persoalan anda ke manakah saya menghilang kebelakangan ini," jelas Anita disulami ketawa kecil.
Penghibur berusia 58 tahun ini ditemui pada majlis pelancaran program terbarunya, Astana di Restoran Ibunda, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis itu juga menyaksikan kehadiran Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pensonic, Dixon Chew.
Seperti mana yang diketahui ramai, Anita bukan sahaja hebat di pentas nyanyian tetapi juga bijak mewarnakan karakternya sebagai seorang perantara program yang dikendalikannya.
Program-program seperti Chef Diva, Anita, Kwek Mambo dan Perang Kuali telah membuktikan kredibiliti Anita sebagai seorang pengacara di dalam kelasnya yang tersendiri.
Biarpun sudah pelbagai program dikendalikan Anita, namun, penghibur sejati ini mengakui cabaran mengendalikan Astana juga bukan calang-calang.
Lebih-lebih lagi, pendekatan Astana memang jauh berbeza dengan program lain yang pernah dia kendalikan kerana Astana memaparkan gaya hidup dan cara hidup eksklusif para pemilik rumah mewah di negara ini.
Mungkin dari segi luaran, penonton dengan mudah akan membuat kesimpulan apabila melihat Anita menjalankan tugasnya dalam rancangan itu.
Tetapi kata Anita, semuanya bukanlah semudah yang disangka kerana tidak semua personaliti yang dipilih bersedia untuk berkongsi gaya hidup mereka dengan masyarakat.
Ini kerana takut mereka akan dituduh sebagai riak dan sengaja mahu menunjukkan kemewahan yang mereka miliki.
"Astana bukan soal menunjuk-nunjuk tetapi saya mahu masyarakat mengambil sesuatu yang positif kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
"Kesemua personaliti yang dipaparkan dalam program ini bermula dari bawah dan perlahan-lahan mereka membina nama sehingga mampu mencapai kejayaan.
"Selalunya orang akan menyangka kalau sudah menjadi kaya-raya, mereka hanya akan duduk di rumah dan goyang kaki sahaja. Namun, hakikat sebenarnya tidak.
"Mereka masih lagi gigih bekerja sehingga sekarang dan aspirasi mereka juga sebenarnya mendorong semangat saya untuk berjaya seperti mereka," luah Anita penuh jujur dan bersungguh tentang program yang mengambil konsep rancangan Barat, Lifestyles of the Rich and Famous sekitar tahun 80-an dan 90-an.
Bukan itu sahaja, Anita juga mengharapkan Astana dapat membantu dan memberi inspirasi kepada audiens khususnya dalam aspek hiasan dalaman.
No comments:
Post a Comment