Legenda Raja Pop Jamal Abdillah di Panggung Sari, Istana Budaya pada 7 Januari hingga 10 Januari depan selagi lagi akan menyingkap semula kehebatan penyanyi itu beraksi di pentas.
Sebagai artis yang mempunyai rekod pencapaian yang masih belum dapat ditandingi, Jamal tetap melakukan persediaan sebelum menjelang konsert berkenaan.
Tumpuan diberikan kepada mental dan fizikal meskipun tempoh sebelum membuat persembahan berbaki kira-kira sebulan.
‘‘Saya manusia biasa, kena jaga kesihatan dan pantang-pantang tertentu. Lagi pun, ini konsert saya, mana boleh buat sambil lewa,’’ katanya bersungguh-sungguh.
Impiannya hanya satu iaitu menghiburkan para penonton yang masih setia menyokongnya sejak menjuarai pertandingan nyanyian Bintang RTM 1979.
‘‘Bagi saya, jenama Jamal Abdillah masih belum cukup kukuh dan saya masih belum puas menghiburkan peminat. Sebelum ini, saya telah membuat dua konsert di Istana Budaya dan pastinya setiap persembahan saya mahukan yang terbaik,’’ bicaranya tatkala bercerita tentang pencapaian dirinya.
Justeru, penyanyi lagu Penghujung Rindu mencari kelainan untuk konsert J2011-Legenda meliputi persembahan secara orkestra pada segmen pertama dan simfoni orkestra (segmen kedua).
Selain itu, Jamal turut menggunakan penataan cahaya berkonsepkan PANI (teknik pencahayaan daripada Austria) yang direka khas mengikut mood dan suasana persembahan turut disediakan.
‘‘Sepanjang empat hari J2011-Legenda dipentaskan, saya tidak menggunakan konsep yang sama. Keunikan itu meliputi permintaan mahukan peminat yang hadir memakai pakaian berwarna merah dan hitam sebagai tanda menyokong kempen Kami Prihatin,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, pihaknya masih mengalu-alukan tajaan andai ada mana-mana pihak yang berminat untuk menaja konsertnya kali ini.
Kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang konsert tersebut atau membuat tempahan dan pembelian tiket boleh melayari www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-41498600.
No comments:
Post a Comment