Bekas isteri Akhil Hayy didakwa meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Ipoh, Perak, awal tahun baru lalu.
Mengakui sangat terkilan dengan fitnah tersebut, dia yang mesra disapa sebagai Maiza menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang sangat melampau.
Menurut Maiza, dia tidak menyangka ada pihak yang sanggup mengeluarkan cerita bohong sedemikian rupa terhadap dirinya.
Kata Maiza, sebelum ini dia hanya berdiam diri apabila orang memperkatakan apa sahaja hal mengenainya.
Pun begitu, sehingga menyentuh soal kematian, apatah lagi melibatkan dirinya yang masih hidup, jelas Maiza, itu bukanlah satu perbuatan yang harus dipandang ringan.
“Saya pun tak tahulah dari mana datangnya cerita yang mengatakan saya sudah mati. Malah saya pelik, semasa kejadian orang yang mengeluarkan kenyataan itu di Internet berada di situkah?
“Siapa dia sebenarnya? Kenapa dia tergamak mengeluarkan cerita bohong macam tu sedangkan saya, Alhamdulilah masih hidup sampai saat ini
“Memang saya ada terlibat dalam kemalangan, tetapi syukur, Tuhan masih sayangkan saya dan bayi yang saya kandungkan ini. Saya masih hidup,” tegasnya.
Menceritakan kembali detik mencemaskan itu, kata Maiza, semasa kejadian, dia yang menaiki Proton Gen 2 sedang dalam perjalanan dari Medan Gopeng menuju ke Bercham, Ipoh, Perak pada 28 Disember lalu.
Kemalangan tersebut berlaku kira-kira pada pukul 4.30 pagi selepas dia dan suaminya menghantar keluarga angkat mereka ke perhentian bas Medan Gopeng untuk pulang ke Singapura.
Tambah Maiza, selain suami, Mohd Yassiin Ben, 24, tiga daripada enam orang anak hasil perkahwinannya terdahulu iaitu Siti Maisarah, 14, Mohd. Syarif Hidayatullah, 12, dan Mohd Syatiri, 3, turut menaiki kereta yang sama.
Semasa kejadian, kenderaan yang dipandu Maiza dikatakan terbabas apabila sebuah Proton Wira tiba-tiba melanggar keretanya menyebabkan wanita itu terlanggar kenderaan berkenaan.
Akibat daripada kemalangan, Maiza yang pengsan di tempat kejadian mengalami patah tangan selain cedera ringan di bahagian kakinya.
Bagaimanapun, suami serta anak-anak hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kebetulan, pada hari tersebut, kami sekeluarga baru sahaja pulang dari bercuti di Bukit Merah, jadi suami saya agak kepenatan sebab seharian memandu kereta.
“Jadi, saya pun bergilir dengan dia memandu. Sebenarnya, saya ada terasa berat hati untuk pulang pada ketika itu memandangkan waktu sudah lewat.
“Tetapi, disebabkan keluarga angkat saya beria-ia menyuruh kami pulang sebab kasihankan anak-anak, maka kami turutkan sahaja.
“Tetapi apa yang berlaku bukan salah mereka, saya anggap ini sebahagian dugaan buat saya dan suami. Namun syukur Alhamdulillah, saya, kandungan dan juga keluarga terselamat daripada malapetaka ini,” katanya.
Rasa nak pengsan
Sementara itu, Mohd. Yassin, sempat melahirkan kekecewaannya mengenai pihak yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu mengenai isteri kesayangannya itu.
Menurut anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu, sebagai suami, dia tentunya tidak akan membiarkan pihak yang terlibat terus berada di dalam ‘zon aman’.
“Terus terang saya katakan, saya terkejut dengan berita itu. Saya dihubungi oleh seorang kenalan artis yang mahu bertanyakan mengenai kesahihan berita itu.
“Saya rasa macam nak pengsan pun ada. Iyalah, orang kata isteri kita dah mati, padahal tidak. Saya memang marah, geram dan sakit hati dengan orang yang mengeluarkan cerita tak betul macam itu. Ini soal kematian. Bukan perkara main-main!” tegasnya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai musuh dalam selimut, kata Maiza yang juga duta produk kecantikan Avon, dia tidak pernah memusuhi sesiapa sepanjang terdedah dalam dunia glamor ini.
“Setahu saya saya tidak ada bermusuhan dengan sesiapa. Tetapi saya tak tahulah, kalau-kalau ada orang yang dengki ataupun tak suka dengan saya. Saya pun tak mahu menuduh.
“Pada saya, itu adat. Tak semua orang suka kita kalau kita baik sekali pun.
“Tapi dalam hal ini, pihak terlibat bukan sahaja membuat cerita palsu, malah menyebarkannya sampai orang percaya saya dah mati.
“Tak ada usul periksa. Kalau saya dan suami berjaya kenal pasti siapa orang itu, memang kami tak akan lepaskan. Ingat! Sampai ke lubang cacing saya akan cari,” katanya.
Kehamilan penuh dugaan
Umum mengetahui, Maiza kini mengandungkan anaknya yang ketujuh.
Selepas enam kali melalui pengalaman berharga sebagai seorang ibu kepada enam orang anak, akui Maiza, pengalaman mengandungkan anaknya yang ketujuh ini ternyata berbeza.
Menyifatkannya dengan penuh dugaan, kata Maiza, antara dugaan yang dilaluinya termasuk berat badannya yang menyusut.
Di awal kehamilan, menurut Maiza, berat badannya menyusut sebanyak tujuh kilogram daripada 65 kg kepada 58 kg kini.
“Selain itu, saya juga turut mengalami alahan yang teruk. Memang lain benar pengalaman hamil kali ini.
“Paling tak boleh lupa dugaan ditimpa kemalangan baru-baru inilah. Kalau ikutkan, kemalangan sebegitu boleh memberi kesan kepada bayi ini.
“Tetapi kuasa Tuhan, kandungan ini selamat. Alhamdulillah,” katanya.
No comments:
Post a Comment