Ini termasuklah dua anak hasil perkahwinan Nor Azam yang terdahulu dan anak angkat Rebecca sendiri iaitu Nor Adam Daniel.
Pasangan yang bertunang selama 25 minit sebelum dinikahkan itu disatukan dalam sebuah majlis ringkas yang berlangsung di kediaman baru mereka di Sering Ukay, Ampang, pada malam 14 Januari lalu.
Disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang iaitu Ustaz Muhammad Ibrahim, Rebecca selamat bergelar isteri dengan hanya satu lafaz oleh Nor Azam tepat pukul 9.40 malam dengan mas kahwin RM333.33.
Mengenali duda beranak dua itu sejak tiga tahun lalu membuatkan hati keibuan Rebecca mudah tersentuh. Apatah lagi, bagi dirinya Nor Azam cukup tebal dengan sikap kebapaan.
"Banyak tarikan yang ada pada dirinya. Salah satunya dia menunjukkan sikap kebapaan yang tinggi. Alhamdulillah, saya dah sedia jadi ibu kepada dua anak Azam.
"Saya seorang yang bersifat keibuan. Saya sangat sukakan kanak-kanak. Selain anak saya, dia mempunyai dua orang anak yang comel.
"Azam seorang bapa yang lembut dengan anak-anak malah, tidak suka marah.
"Ini berbeza dengan sikap saya sendiri yang sedikit tegas dengan anak-anak," katanya yang tidak merancang untuk mendapatkan zuriat.
Melangkah ke gerbang perkahwinan memberi pengertian yang cukup besar buat Rebecca sendiri apatah lagi, dia bukan hanya berkahwin dengan Nor Azam tetapi seikhlasnya menerima dua cahaya mata hasil perkahwinan Nor Azam sebelum ini.
"Berkahwin dengan Nor Azam sekali gus saya perlu menerima dua anaknya. Insya-Allah saya akan berusaha semai kebahagiaan untuk kami sekeluarga.
"Syukur alhamdulillah, setelah tiga tahun mengenali Nor Azam kami akhirnya disatukan.
"Apa yang saya harapkan, rakan-rakan dan juga ahli keluarga mendoakan kebahagiaan dan jodoh kami kekal hingga ke akhir hayat," kata Rebecca yang berseri dengan busana putih rekaan Calvin Thoo.
Pasangan itu pada majlis yang sama bertukar-tukar dulang hantaran iaitu 13 hantaran daripada Nor Azam berbalas 15 hantaran daripada Rebecca.
Selain wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya, Rebecca menerima sebuah rumah mewah bernilai lebih RM500,000 sebagai tanda cinta dan bakal menjadi mahligai rasmi mereka selepas ini.
Bertunang ikut adat - Rebecca
Memilih untuk ditunangkan pada hari yang sama, jelas Rebecca dia sekadar melengkapkan adat dalam perkahwinannya.
Tidak mahu bertunang lama membuatkan pelakon yang cukup sinonim dengan imej seksi itu mengambil keputusan untuk bertunang beberapa minit sebelum diijabkabulkan.
"Majlis sebelum ini sudah ada merisik jadi apa salahnya jika buat majlis bertunang sekali.
"Cuma saya kalau boleh memang tidak suka bertunang lama-lama sebab itu kami ambil keputusan untuk percepatkan mana yang baik," katanya.
Rebecca pada majlis bertunang menerima seutas gelang tangan sebagai tanda pertunangan
No comments:
Post a Comment