Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Thursday, January 20, 2011

Jzelynn yang sebenar


KEMBARA seni penyanyi kecil molek ini, Jzelynn atau nama penuh Jenice ‘Zelynn, bukan semudah seperti disangkakan ketika awal pembabitannya 15 tahun lalu.

Dilahirkan sebagai anak kacukan Cina - Siam, kerjaya seninya terpaksa ditempuhi dengan pelbagai onak dan duri dalam mengejar cita-cita bergelar penyanyi.

Bermodalkan rancangan hiburan Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1999 sebagai platform, Jzelynn atau lebih mesra dengan sapaan Jez ini menjangkakan cita-citanya itu akan mudah dicapai.

Apatah lagi dia pernah dilamar oleh seorang komposer terkenal sebagai artis rakaman dan dijanjikan dengan pelbagai kata-kata manis.

Malangnya, janji hanya tinggal janji. Album yang dirancang penghasilannya akhirnya hanya tinggal memori pahit untuk ditelan walaupun proses rakaman lagu yang bakal dimuatkan telah pun selesai.

Alasan komposer itu, pasaran bagi penyanyi bukan Melayu tidak begitu memberangsangkan ketika itu.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Jez mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya bersama syarikat rakaman tersebut atas persetujuan bersama.

Menurutnya, demi mencapai hasratnya yang diidamkan sejak kecil itu, Jez nekad menyambung pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media (Penyiaran) di Universiti Indiana State, Amerika Syarikat.

“Setelah tamatpengajian, saya terus bekerja di beberapa buah organisasi demi mencari modal untuk menyambung langkah yang pernah terhenti sebelum ini.

“Mujur, tahun ini meninggalkan kenangan manis buat saya apabila akhirnya, album sulung saya, Percayalah berjaya disiapkan dengan duit saya sendiri.

Bersemangat

“Bertambah manis, walaupun dikeluarkan dalam bentuk digital, album tersebut berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records dan Best Digital Album di Voice Independent Music Awards 2010,” katanya yang fasih berbahasa Melayu itu.

Kejayaannya itu lantas menyuntik semangat yang membara buat Jez apabila pada 13 November lalu, dia melancarkan album keduanya yang berjudul This Is Me .

Mengulas lanjut mengenai album terbarunya itu, Jez memberitahu, ramai peminatnya yang dikenali menerusi laman sosial Facebook memintanya agar menghasilkan sendiri lirik-lirik lagu yang menyentuh hal peribadinya.

“Disebabkan dorongan itulah yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengeluarkan album kedua walaupun album pertama baru dilancarkan awal tahun lalu.

“Saya sahut galakan yang diberikan peminat itu untuk menghasilkan lirik buat lima daripada tujuh buah lagu yang dimuatkan dalam album ini.

“Kesemua lima lagu itu menceritakan kisah hidup saya. Sebab itulah judulnya This Is Me (Inilah Saya).

“Walaupun dua buah lagu bukannya hasil tulisan saya, tapi saya turut terlibat dalam susunan muziknya,” cerita anak jati Pulau Pinang itu.

Selain Jez yang terlibat selaku penerbit utama album tersebut, tunjang belakang yang menguatkan penerbitannya ialah Sham Kamikaze, Martin, Jamie Wilson dan Cheong W.L.

Berbicara tentang album yang menampilkan pelbagai genre lagu, Jez menambah, gabungan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Hokkien diharap dapat menambat hati peminat dari pelbagai bangsa.

“Walaupun sasaran utama adalah pasaran Melayu, saya percaya ia boleh menarik minat bangsa lain untuk mendapatkan album ini.

“Saya juga mempelbagaikan genre agar ia tidak terhad dan untuk semua peminat,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Genit 2000 bagi negeri Kedah.

Berpuas hati dengan perkembangan kariernya kini, Jez berharap peminat boleh menerimanya dan tidak menolak kebarangkalian untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan jika diberi peluang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...