Pakej Fotografi Bajonz Jambul

Followers

Berita Terkini

Thursday, December 16, 2010

OneMusic popularkan Shazroul


BIARPUN kehadirannya di persada muzik tanah air kurang mendapat perhatian, namun bakatnya tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi lain yang ada di Malaysia.

Platform Konsert Prelude Akademi Fantasia 4 (AF4) yang menyaksikan penyingkirannya dari AF4 menjadi pentas terbaik bagi Shazroul atau nama sebenarnya Shazroul Fazlie Zahari memulakan langkahnya mencipta nama dalam bidang nyanyian.

Diakui, penyingkirannya empat tahun lalu itu pernah mengecewakannya. Namun, anak didik guru vokal dan penyanyi Hazami itu tidak pernah patah semangat untuk terus menempuhi ranjau bergelar anak seni.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaru keluaran syarikat telekomunikasi Maxis yang diadakan di Damansara Perdana baru-baru ini, Shazroul bersyukur kerana diberikan banyak ruang untuk mempromosikan produknya.

Sebagai contoh, pelancaran perkhidmatan muzik integrasi OneMusic oleh Maxis memberikannya laluan mempelbagaikan bentuk promosi terhadap sembilan buah lagunya yang diabadikan dalam album sulungnya berjudul Cuma Satu.

Kata pemuda berusia 25 tahun itu, OneMusic merupakan capaian yang mudah dan cepat buat pengguna untuk mendapatkan muzik kegemaran mereka walaupun lagu tersebut bukannya sebuah lagu baru dan terkini.

“Perkhidmatan ini cukup bagus untuk membantu penyanyi dalam menjana pendapatan mereka. Lebih daripada 30,000 buah lagu disenaraikan dan jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Khidmat muat turun yang disediakan melalui OneMusic bukan sahaja boleh memberi pendapatan sampingan kepada penyanyi bahkan turut memasarkan bakat artis itu sekaligus memberi publisiti kepada mereka.

“Selain boleh memuat turun lagu-lagu kegemaran mereka dalam bentuk fail MP3 dengan mudah dan cepat, pengguna juga boleh mendapatkan paparan visual dan klip video," jelas penyanyi tinggi lampai itu.

Sementara itu, albumnya yang dilancarkan setahun lalu adalah bukti kesungguhan Shazroul demi melakar nama sebagai penyanyi.

"Walaupun tiada publisiti, alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang ini agak stabil.

"Saya akan terus menyanyi selagi mampu," katanya.

Bagi peminat muzik pop, lagu-lagu nyanyian Shazroul boleh dibeli secara online di www.2ps.com.my selain memesannya menerusi laman sosial Facebook atau pun MySpace miliknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...